Apabila Pulut Dan Sotong Bertemu: Kisah Ketupat Sotong

Pernah dengar mengenai ketupat sotong? Tidak,
ia bukanlah ketupat yang berbentuk sotong. Makanan tradisi ini merupakan antara
hidangan yang sangat terkenal di Kelantan dan Terengganu, dengan dua versi yang
sangat berbeza, namun dengan keenakan yang sama mengikut citarasa
masing-masing. Ketupat sotong, atau nama lainnya, sotong bersumbat pulut,
adalah hidangan tradisional yang menggunakan sotong dan beras pulut sebagai
bahan utamanya. Apa yang menarik mengenai hidangan ini ialah, ia merupakan
hidangan asli masyarakat Melayu di pantai timur, yang tidak terdapat di
negeri-negeri pantai barat yang lain.

Sejarah ketupat sotong

Jika ingin diceritakan kisah sejarah dan asal
usul ketupat sotong ini, secara asasnya, ia tidak mempunyai sejarah yang
spesifik seperti mana hidangan tradisional utama yang lain seperti nasi dagang,
pulut kuning, rendang dan lain-lain lagi. Ketupat sotong ini pada asalnya
adalah sajian yang sering menjadi pilihan bagi para penduduk di perkampungan
nelayan di perairan Terengganu dan Kelantan. Suatu masa dahulu, apabila tiba
musimnya, sotong boleh didapati dengan begitu banyak di laut Terengganu dan
Kelantan ini. Malah, para nelayan juga menghadapi masalah lambakan sotong yang
terlalu banyak dan tidak habis untuk dijual. Untuk mengelakkan lambakan sotong
ini daripada menjadi busuk dan seterusnya dibuang begitu sahaja, masyarakat
nelayan ini telah mencipta suatu hidangan berasaskan sotong dan beras pulut
yang direbus dan dimasak di dalam kuah bersantan.

Uniknya hidangan ini adalah, bagaimana
kreativiti masyarakat Melayu yang bukan sahaja menggunakan sotong untuk dimasak
bersama santan, malah turut menggunakan beras pulut untuk disumbatkan sebagai
isi di dalam sotong bertujuan bagi menjadikannya sebagai suatu hidangan lengkap
yang lebih mengenyangkan. Beras pulut ini pula sebenarnya telah dimasak
terlebih dahulu sebelum diisikan di dalam sotong berkenaan. Sesetengah pakar
masakan menyatakan bahawa kaedah meletakkan atau menyumbatkan pulut yang telah
dimasak ke dalam sotong ini adalah merupakan suatu kaedah bijak dalam memberi
perubahan kepada cara masakan menggunakan flavored stuffing ini.

Sebenarnya, terdapat hidangan lain dalam
rantau Asia Tenggara yang hampir menyamai ketupat sotong ini, namun bezanya, hidangan
berkenaan langsung tidak menggunakan sebarang beras sebagai bahan di dalam
sotong tersebut. Hidangan lain yang dimaksudkan ini ialah rellenong pusit,
iaitu hidangan sotong sumbat dari Filipina serta muc nhoi thit, iaitu
sajian sotong sumbat dari negara Vietnam. Kedua-dua hidangan sotong sumbat
Filipina dan Vietnam ini hanya menggunakan campuran daging (pork)
bersama bahan-bahan lain seperti cendawan, bawang dan lada hitam untuk
dimasukkan ke dalam sotong. Oleh kerana itulah, masyarakat Melayu ini dianggap
sebagai perintis dalam kaedah masakan sotong sumbat atau ketupat sotong yang
mempunyai pulut sebagai bahan isian di dalamnya.

Perbezaan ketupat sotong Terengganu dan
Kelantan

Pada asasnya, kedua-dua ketupat sotong dari
Terengganu dan Kelantan ini mempunyai kaedah penyediaan dan bahan utama yang
sama, namun perbezaan jelas antara keduanya ialah penggunaan gula melaka di
dalam kuah santan bagi ketupat sotong versi Kelantan. Manakala, bagi ketupat
sotong versi Terengganu, kuahnya hanyalah santan yang telah diperasakan dengan
sedikit garam, gula, bawang dan rempah ratus lain iaitu halba dan halia.

Apa yang istimewanya dalam proses penyediaan
ketupat sotong ini adalah kulit sotong yang berwarna kemerahan itu haruslah
dibuang terlebih dahulu untuk mengelakkan bau hanyir dalam hidangan ini. Malah,
beras pulut juga haruslah direndam buat seketika bersama sedikit santa dan
garam sebelum dikukus dan dimasukkan ke dalam sotong. Sotong yang telah
diisikan dengan pulut ini pula akan dicucuk dengan lidi kecil sebagai cara
untuk mengetatkannya dan mengelakkan isi pulut tersebut terkeluar sewaktu
dimasak di dalam kuah santan.

Proses pembuatan ketupat sotong ini,
sepertimana hidangan tradisional Melayu yang lain, mempunyai langkah-langkah
tertentu yang mungkin dianggap cerewet dan renyah, namun, setiap kaedah yang
dilakukan inilah yang mengekalkan keaslian rasa dan melazatkan lagi hidangan
ini.

Ketupat sotong Kelantan

Kesimpulan

Hidangan ketupat sotong yang asalnya dicipta
hanyalah untuk mengelakkan pembaziran akibat lambakan sotong kini menjadi salah
satu hidangan istimewa yang harus dinikmati terutamanya apabila berkunjung ke
Terengganu dan Kelantan. Hidangan ini juga menjadi antara sajian mahal yang
turut boleh didapati di sesetengah restoran di negeri-negeri tersebut. Namun,
kebanyakan masyarakat di Terengganu dan Kelantan lebih gemar untuk memasak
sendiri hidangan ketupat sotong ini bagi menjaga keaslian rasa dan menjamin keenakannya.  

Rujukan

Jasmine,
A. (2017). Ketupat Sotong, Bagaimana Ketupat dan Sotong Bersatu? Retrieved
December 19, 2018, from
http://www.butterkicap.com/open-house/ketupat-sotong-ketupat-sotong-bersatu

Lena. (2012). Ketupat
Sotong versi Terengganu – Stuffed Squid with Glutinous Rice. Retrieved December
18, 2018, from
https://travelling-foodies.com/2012/10/12/ketupat-sotong-versi-terengganu-stuffed-squid-with-glutinous-rice/

Norzailina, N. (2005).
Variasi Masakan Pantai timur. Shah Alam, Selangor: Alaf 21 Sendirian
Berhad.

Shokri, M., Chui
Hoong, G., Khairil, A., Hellen, F., & Ezekiel, A. (2014). Lost Recipes
of Malaysia
. Petaling Jaya, Selangor: MPH Group Publishing Sdn Bhd.

Sumber : ThePatriots