‘Apabila anda buat maksiat, ia mengundang kemurkaan Allah dan itulah puncanya tsunami datang’ – Ahmad Dusuki

Walaupun kenyataannya dipertikaikan netizen, namun pemimpin PAS, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani tetap mempertahankan dan menegaskan kenyataannya mengenai tsunami Selat Sunda yang dikaitkan dengan maksiat adalah tidak ada salah. 

Terdahulu, Ahmad Dusuki memuat naik kenyataan di Instagramnya bahawa bencana tsunami yang turut membadai kumpulan Seventeen baru-baru ini berpunca dari maksiat dan menasihatkan orang ramai tidak melakukan maksiat. 

A post shared by Ustaz Ahmad Dusuki (@ustazahmaddusuki) on

Memetik kenyataannya dari Malay Mail, Ahmad Dusuki berkata, dia hanya mengingatkan orang ramai agar tidak terlibat dengan maksiat yang mengundang kemurkaan Allah. 
“Apa yang saya ingin katakan ialah, jangan buat maksiat. Apabila anda buat maksiat, ia mengundang kemurkaan Allah. Itulah puncanya tsunami datang,” katanya. 
Ketika diminat menjelaskan lebih lanjut apakah beliau bermaksud bahawa tsunami yang melanda Selat Sunda berpunca daripada kegiatan maksiat, Ahmad Dusuki dengan tegas berkata, “Tidak (bermaksud demikian)”. 
Bagaimanapun, beliau yakin bencana tsunami yang melanda Palu pada 29 September lalu adalah berpunca daripada maksiat seperti gejala LGBT. 
“Macam LGBT, seperti di Palu. Sama macam isu yang terjadi di Palu. Janganlah kita lakukan perbuatan ini. Di Palu ada kegiatan maksiat. Saya ada di situ,” katanya. 
Mengenai perkongsian tiga nombor akaun bank milik sekolah tahfiznya yang diselitkan pada status media sosialnya itu, beliau berkata sumbangan tersebut akan disalurkan kepada mangsa tsunami Indonesia di Palu. 
Tsunami yang melanda Selat Sunda baru-baru ini adalah berpunca daripada letusan gunung berapi Anak Krakatau yang menyebabkan runtuhan di bawah dasar laut. 
Bencana itu telah menyebabkan 400 orang terkorban, ratusan cedera, 150 masih dilaporkan hilang. 

Sumber : TheReporter