Indonesia Tingkatkan Status Berjaga-Jaga Gunung Berapi, Perluas Zon Larangan

Jakarta : Pihak berkuasa Indonesia telah mempertingkat status berjaga-jaga berkaitan Gunung Berapi Anak Krakatau dan memperluas zon larangan selepas letusan gunung berapi itu mencetuskan fenomena tsunami di kawasan pesisir Selat Sunda yang meragut 430 nyawa, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan para pegawai agensi bencana pada Khamis.

Tahap bahaya telah dinaikkan kepada kedua tertinggi daripada ketiga tertinggi manakala zon pemindahan diperluas kepada lima kilometer dari kawasan kawah gunung berapi berbanding dua kilometer sebelum ini, kata jurucakap agensi pengurusan bencana nasional, Sutopo Purwo Nugroho.

Beliau berkata letusan gunung berapi itu pada 22 Dis telah mengakibatkan tanah runtuh yang memuncak dengan kenaikan permukaan laut dan memuntahkan lava ke dalam air laut.

Oleh itu, pihak berkuasa telah menggesa orang ramai agar menggunakan topeng.

Ahli volkanologi berkata gunung berapi itu telah mengalami letusan jenis “stromboli” sejak Julai, yang bermaksud aktiviti gunung berapi tersebut sering menghasilkan letusan sederhana .

Ahli volkanologi dan pihak berkuasa pengurusan bencana telah memberi amaran kepada komuniti setempat dan pelancong agar tidak memasuki kawasan pantai dalam lingkungan satu kilometer di sepanjang Selat Sunda susulan kebimbangan berlaku fenomena tsunami yang kedua.

Pemindahan secara besar-besaran yang telah dilaksana membabitkan kira-kira 20,000 orang, berdasarkan angka pada Rabu.

Tsunami pada Sabtu telah memusnahkan sejumlah 312.75 kilometer kawasan pesisir di wilayah-wilayah Banten dan Lampung.

Kebanyakan mangsa telah dipindahkan dari beberapa pusat peranginan dalam daerah Pandglang di wilayah Banten, dan sekurang-kurangnya 1,495 orang cedera, menurut agensi pengurusan bencana.

Imej satelit mendedahkan bahawa kebanyakan kawasan lereng Anak Krakatau runtuh sejurus sebelum tsunami manakala agensi meteorologi dan geofizik Indonesia berkata lereng yang runtuh meliputi kawasan seluas 64 hektar serta menyebabkan berlaku insiden tanah runtuh di bawah air.

Anak Krakatau adalah antara 129 gunung berapi yang aktif di Indonesia dan terletak di atas zon terdedah kepada bencana gempa bumi dikenali sebagai Lingkaran Api Pasifik.

Sumber : Bernama

Sumber : SiakapKeli