Helikopter Prototaip Sikorsky-Boeing SB>1 Defiant Diperlihatkan Dengan Rekaan Dua Kipas Bertingkat

Secara tradisinya sebuah helikopter mempunyai satu kipas utama pada bahagian atas dan satu lagi pada bahagian ekor. Rekaan ini mempunyai kelemahan di mana kelajuan maksimum helikopter terbatas dan kehilangan kuasa pada kipas ekor boleh mengakibatkannya hilang kawalan. Rekaan dua kipas bertingkat menyelesaikan masalah ini tetapi rekaannya jarang sekali dilihat kerana sistem gear yang rumit.

Tahun lalu rekaan konsep Sikorsky-Boeing SB>1 Defiant diperlihatkan bagi mendapatkan kontrak membangunkan helikopter Future Vertical Lift (FVL)  bagi keperluan tentera Amerika Syarikat. Gambar prototaip pertama SB>1 ini telah dikongsi oleh pihak Sikorsky-Boeing pagi ini.  Selain menggunakan kipang bertingkat, sebuah lagi kipas penolak diletakkan pada bahagian ekor bagi menghasilkan tujahan ke hadapan. Kesemua roda boleh disimpan bagi meningkatkan aerodinamik pesawat.

Prototaip yang diperlihatkan ini ialah versi pengangkut infantri yang memerlukan empat anak kapal dan mampu membawa 12 anggota tentera. Terdapat sebuah lagi versi SB>1 yang berfungsi sebagai helikopter tempur. Syarikat yang berjaya mendapat kontrak FVL akan menggantikan helikopter UH-60 Black Hawk, AH-64 Apache, CH-47 Chinook dan OH-58 Kiowa yang kini sudah agak berusia.

Sumber : Amanz