Teori-Teori Kemunculan Yakuza

Dunia
sering melihat Jepun sebagai sebuah negara yang serba lengkap dengan
teknologinya. Banyak sisi baik yang disebarkan di media untuk tatapan umum.
Namun, sisi gelap negara itu turut dibincangkan sama ada industri pornografi
yang keterlaluan serta angka bunuh diri dalam kalangan rakyat Jepun yang
semakin rencam saban tahun.

Jika
diceritakan mengenai sejarah lampau negara ini merentas beberapa dekad, ia
pasti berkisarkan era Perang Dunia Kedua dan zaman empayar Jepun yang menjajah
banyak tanah negara asing. Penceritaaan sejarah ini pastinya tidak lengkap jika
kita mengenepikan sejarah kumpulan sindiket jenayah atau pun kongsi gelap
negara ini iaitu yakuza.

Pastinya
perkataan yakuza ini tidak mampu kita
pisahkan dari lagi-lagi peminat filem Jepun. Sedar atau tidak, kumpulan ini
masih wujud di Jepun dengan puluhan ribu ahlinya yang masih aktif beroperasi serta
menjalankan perniagaan. Ia juga telah berakar umbi ke dalam masyarakat Jepun
yang serba moden dan maju ini.

Dalam
artikel ini akan menerangkan asal-usul perkataan yakuza serta teori-teori
kemunculan mereka.

Permainan hanafuda
menimbulkan perkataan Yakuza

Sumber: World Nomads Journal

Kebanyakan
jurnal kajian berkaitan yakuza berpendapat
bahawa perkataan yakuza berasal dari
sebuah permainan judi dari Jepun yang dikenali sebagai hanafuda. Permainan ini mempunyai sembilan nombor iaitu nombor 1
hingga 9. Pemain perlu mengambil tiga kad dan mencampurkan semua nombor dari
tiga kad yang dimiliki.

Daripada
hasil tambah tersebut, nombor paling belakang akan dikira sebagai skor. Maka,
jika pemain itu mendapat hasil campur tiga kad berjumlah 19, maka dialah
pemenang kerana nila skornya adalah 9. Sebaliknya, jika pemain itu mendapat
nombor 20 sekali pun, ia dikira tak berguna kerana skor yang diperolehinya
adalah 0.

Maka,
terhasilnya perkataan Yakuza ini adalah daripada perkataan ya (lapan), ku (sembilan)
dan za (tiga). Campuran nombor ya ku za akan menghasilkan nombor 20.
Seperti yang dikatakan tadi, nombor ini tidak berguna kerana nilai skornya
adalah 0.

Akhirnya,
perkataan ini digunakan di luar permainan judi dengan membawa maksud
orang-orang jahat dan tak berguna.

Teori-teori asal usul pembentukan kumpulan Yakuza

Asal-usul
pembentukan yakuza tidaklah diketahui
secara keseluruhannya, tetapi ia dipercayai wujud ketika pertengahan era
pemerintahan Tokugawa (1603-1868). Ketika era ini, terdapat beberapa kumpulan
yang wujud dalam sejarah lampau Jepun. Dari beberapa kumpulan inilah dipercayai
wujudnya kumpulan yakuza.

  1. Bakuto,
    dari operasi perjudian ke gerakan politik
Sumber dari Wikipedia

Menurut
Ahli Kriminologi Tokyo, Hashino bahawa bakuto
ini adalah kumpulan organisasi jenayah paling berpusat dalam kalangan orang
Jepun. Apa aktiviti mereka? Kumpulan ini bermula apabila kerajaan ketika itu menyediakan
satu skim bergerak. Tujuan skim ini adalah untuk mendapatkan semula gaji yang
telah diberikan kerajaan kepada pekerja-pekerja binaan mereka.

Maka,
bakuto memulakan aktviti rekrut dari
kalangan penjenayah hinggalah para petani. Mereka ini diarahkan untuk bermain
judi dengan pekerja-pekerja binaan tadi. Hasil keuntungan dari permainan itu
akan dibahagikan kepada pemain-pemain judi lantikan bakuto.

Lama
kelamaan, kumpulan ini melebarkan sayapnya dengan membina satu kem (seperti
hotel) berdekatan dengan jalan raya yang sibuk. Orang-orang yang singgah, bukan
sahaja dapat tidur di sana, malah mereka berpeluang untuk bermain judi.

Oleh
kerana rapatnya bakuto dengan
aktiviti judi, maka kumpulan inilah bertanggungjawab yang mempopularkan tradisi
berjudi, adat memotong jari (yubitsume)
dan kumpulan pertama sekali menggunakan perkataan ya-ku-za. Jika diambil kira terkaitnya perkataan ya-ku-za dengan kumpulan bakuto, para pengkaji yang merumuskan
mereka ini adalah yakuza yang
sebenar.

Jika
dikembangkan lagi, kumpulan bakuto
tidaklah hanya tertumpu kepada aktiviti perjudian sahaja. Menurut para
pengkaji, kumpulan ini mempunyai kepakaran dalam aktiviti keganasan. Ianya
bertepatan dengan sifat kumpulan ini yang mempunyai kawasan-kawasan tersendiri.
Mereka akan bertarung dan mengganas bagi melindungi perniagaan dan harta
mereka.

Berdasarkan
sejarah, oleh kerana kumpulan ini bertempur lebih hebat berbanding samurai,
maka mereka direkrut untuk bertarung dalam Perang Saudara Boshin (1868-1869).
Sekitar tahun 1880-an pula, ahli kumpulan bakuto
mula menyertai dan memegang tampuk kepimpinan gerakan Kebebasan dan Hak Rakyat
(Freedom & People’s Right).

Ketika
itu jugalah merupakan fasa paling ganas gerakan itu sehingga mereka menyertai
arena politik. Penyertaan kumpulan ini ke arena politik telah mengubah operasi
mereka daripada aktiviti perjudian kepada operasi lebih besar seperti kumpulan yakuza yang kita kenali hari ini.

  • Tekiya,
    dari penjaja jalanan kepada peniaga kepercayaan kerajaan
Sumber dari Shashasha.co

Salah
satu teori lain kemunculan yakuza
berakar dari sekumpulan penjaja jalanan yang dikenali sebagai tekiya. Mereka ini bermula sebagai saudagar
ubat sebelum bercambah dan mula menjual barangan lain serta terlibat dengan
aktiviti jenayah. Mereka in bukanlah penjaja jalanan biasa, ada helah dalam
aktiviti urus niaga yang dibuat.

Kumpulan
ini seringkali menjual produk yang nampak bagus, hakikatnya tidak berkualiti.
Apabila menjual, mereka akan berlakon menjadi mabuk dan terus bersembang pasal
produk yang dijual. Aktiviti perniagaan mereka juga agak besar kerana mereka
akan mengambil alih gerai di pasar. Penguasaan kumpulan ini di sesebuah pasar
sampai tahap boleh menentukan siapa yang dibenarkan menjual dan barang apa yang
boleh dijual.

Caj
lebih akan dikenakan untuk sewa tapak termasuklah wang perlindungan dan duit
poket. Melaui caj perlindungan ini, peniaga akan terselamat daripada diganggu.
Jika gagal membayar, ahli kumpulan tekiya
akan mencuri barang, menakut-nakutkan pelanggan atau boleh membawa ke tahap
serangan fizikal.

Tidak
seperti bakuto, tekiya lebih kepada aktivti kerja yang sah dan menyebabkan pihak kerajaan
memberi lebih banyak kuasa kepada ketua-ketua kumpulan ini. Kalau difikirkan
semula, taktik tekiya ini salin tak
tumpah seperti kumpulan-kumpulan mafia yang ada diseluruh dunia sautu ketika
dahulu.

Bakuto dan tekiya hilang dari zaman, serta muncul
generasi yakuza

Bakuto dan tekiya muncul pada era yang sama, apa
yang menarik mereka juga beroperasi pada kawasan yang sama. Konflik di antara
dua kumpulan ini kurang berlaku kerana mereka bergembira dengan perniagaan
masing-masing. Bakuto beroperasi di
jalan raya dan pekan, tekiya pula melakukan
perniagaan di pasar jalanan dan pesta-pesta.

Kajian
membuktikan bahawa, kemunculan bakuto
dan tekiya pada abad ke-18 dan hilang
sedikit demi sedikit dari masyarakat ini sebenarnya tidaklah pupus begitu
sahaja. Mereka berkemungkinan muncul semula dan perlahan-perlahan membentuk
kumpulan yakuza.

Maka,
segala bentuk operasi kumpulan yakuza
seolah-olah sama seperti yang dilakukan kumpulan bakuto dan tekiya. Dari
budaya potong jari kepada berjudi dan meminta wang perlindungan dari peniaga.
Sedikit demi sedikit, kumpulan yakuza ini berevolusi hingga satu tahap,
masyarakat Jepun mengganggap kumpulan ini jahat tapi mereka memerlukan mereka
dalam kehidupan seharian. Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Nantikan
penulisan seterusnya.

Rujukan:

  1. Kristinn
    Árnason. (2014). History Of The Yakuza.
    Sigillum Universitatis Islandiae.
  2. Silke
    Higgins. (2014). Yakuza Past, Present and
    Future: The Changing Face of Japan’s Organized Crime Syndicates
    . Research
    Journal of Justice Studies and Forensic Science.
  3. Andrew
    Rankin. (2012). 21st Century
    Yakuza: Recent Trends in Organized Crime in Japan-Part 1.
    The Asia-Pacific
    Journal.

Sumber : ThePatriots