Date Masamune: Naga Jepun Bermata Satu

Sejak kali pertama
gambaran portretnya terpampang di skrin televisyen lama yang disambungkan
PlayStation 2, penulis yang merenung wajahnya berulang-ulang kali, berasa
sungguh tertarik dan kagum dengan aura seorang karakter ini. Ya betul, tokoh
Daimyo tersohor zaman awal Azuchi-Momoyama bernama Date Masamune adalah
karakter yang disebutkan itu. Date dan Masamune masing-masing berbunyi seperti
sebutan ‘te’ dalam perkataan teko dan ‘ne’ dalam nenek.

Kiranya nama Date
Masamune bukanlah sesuatu yang terlalu asing lagi buat masyarakat hari ini.
Selain menjadi ikon sejarah dan kebudayaan Jepun yang masyhur, Date Masamune
juga banyak dijadikan karakter dalam siri permainan. Tanyalah mana-mana gamer
yang kerap menghabiskan masa dengan siri permainan seperti Nobunaga’s Ambition,
Onimusha, Kessen, Sengoku Basara, Warrior Orochi, Samurai Warriors, Nioh atau
apa-apa permainan yang bertemakan Zaman Perang Antara Wilayah (Sengoku Jidai),
nescaya nama ini merupakan antara nama yang paling diingati mereka.

Ataupun bagi mereka yang
agak berimaginasi dan gemar menulis tentang kisah alternatif tokoh-tokoh zaman
Sengoku Jidai di platform seperti Wattpad dan Archive of Our Own, besar
kebarangkalian tanpa diselitkan karakter Masamune, suatu ‘fanfic’ itu tidak
akan berhasil kerana auranya yang tersendiri. Gayanya yang memukau, ‘cool’ dan
mempesonakan sudah tentu menjadi ramuan penting bagi menarik minat
pembaca-pembaca ‘fanfic’ yang rata-ratanya perempuan. Begitu juga dengan siapa-siapa
yang pernah menyelusuri permainan Otome atau Dating Simulation bertema Sengoku,
pasti kenal dengan Masamune. Kerapkali karakter Sanada Yukimura juga
digandingkan dengannya.

Bagi peminat anime,
mungkin anime yang bertajuk Masamune-kun no Revenge pernah sekali menjadi
tontonan saudara-saudari. Mungkin juga light novel atau manganya yang
diadaptasi menjadi anime ini pernah kalian baca. Dengan protagonisnya yang
bernama Masamune, plot anime ini tertumpu kepada percintaan berlatarbelakangkan
zaman persekolahan remaja. Kalau diikutkan, agak cliché sebenarnya. Adapun
demikian, Masamune-kun no Revenge yang dikategorikan dalam genre harem dan
komedi romantik ini tidak langsung ada kena mengena dengan fakta sejarah atau
kronologi kehidupan Date Masamune yang akan dihuraikan sebentar sahaja lagi.

Puak
Date
 

Mon atau lambang puak Date

Mengikut catatan sejarah zaman Edo, puak Date (juga
dipanggil Idate) merupakan salah satu daripada sebahagian kecil puak samurai
yang masih wujud sehingga ke hari ini. Puak Date didakwa mula-mula ditubuhkan
pada akhir abad ke-12 oleh Fujiwara no Kamatari iaitu salah seorang ahli
bangsawan dari keluarga Fujiwara yang asalnya berketurunan Maharaja Jepun.
Merujuk kepada Azuma Kagami, seorang
pengikut Shogun Minamoto no Yoritomo yang mengasaskan Keshogunan Kamakura
bernama Hitatchi Ninyoudosai telah menduduki kawasan Isa di Mutsu untuk
beberapa lama. Keturunannya pula telah mengambil nama Date dan mendirikan
penempatan di sekitar kawasan tersebut.

Pada era Nonboku-chō di mana menyaksikan pergolakan
kuasa di Jepun dengan terbahaginya sistem pentadbiran kepada dua iaitu di
Northern Court, Kyoto dan di Southern Court, Yoshino, puak Date telah berpihak
kepada Southern Court dan memerangi puak-puak yang setia kepada Keshogunan Ashikaga
yang menunjangi Northern Court. Walau bagaimanapun, Northern Court menang pada
akhirnya dan majoriti kawasan Date dirampas.

Puak Date juga terkenal dengan pilihan lambangnya
yang di atas. Lambang atau mon Date dalam rajah di atas dikenali sebagai Take-ni-Suzume
yang membawa maksud Burung Pipit dan Buluh. Kita dapat melihat dua ekor burung
pipit dikelilingi batang buluh serta pucuk buluh yang tumbuh bercambah di
tepinya.

Date Masamune (伊達 政宗) dilahirkan di Istana Yonezawa pada 5 September 1567 dalam puak Date yang terletak di kawasan Tōhoku sekali gus menjadi pewaris kepada keturunan pemerintah-pemerintah wilayah yang berkuasa. Anak pertama kepada Daimyō Date Terumune dan cucu kepada Date Harumune ini digelar Bontenmaru dan kemudiannya Tojiro semasa zaman kanak-kanaknya. Mengapa Terumune memilih nama Masamune? Kerana ketua puak Date yang ke-9 juga bernama Masamune. Terumune berharap anaknya mampu menjadi sehebat moyangnya kerana moyangnya ini pernah dengan masyhurnya merampas balik banyak kawasan Date yang dijajah Northern Court pada zaman Noboku-chō serta meningkatkan semula reputasi puak.

Perkahwinan Politik dan Yoshihime

Untuk memastikan keselamatan puak, perkahwinan
politik merupakan sebahagian daripada norma masyarakat ketika itu. Masamune
merupakan anak kepada Terumune dan Mogami Yoshihime. Ketika itu, Terumune
memerlukan seorang anak lelaki untuk menjadi pewaris puak. Daimyō Terumune pula
sememangnya terkenal dengan sifat lemah-lembut dan taat kepada ajaran agama.

Peta menunjukkan lokasi beberapa buah puak Sengoku Jidai termasuklah Date dan Mogami

Dikhabarkan apabila selesai utusan Date mempersembahkan cadangan perkahwinan ini kepada bapanya Yoshimori, Yoshimori bertanyakan pula kepada Yoshihime tentang akal fikirannya. Yoshihime dengan pantas bersetuju serta berkata, “Jika dapat ku lahirkan seorang bayi lelaki, akan ku bawa lari pewaris takhta itu sebagai tebusan ke sini, berserta kepala suamiku bersama.”

Bapanya terkejut mendengar kata-kata anaknya itu.
Tidak disangka yang anaknya sungguh berani dan tekad untuk melakukan apa-apa
saja demi kebaikan puak Mogami. Perlu diingatkan bahawa puak-puak pada zaman
ini saling bercakaran. Perkahwinan politik bukanlah satu jalan muktamad yang
menjanjikan keamanan abadi. Hanya mereka yang naif akan berfikir sedemikian.

Lahirnya Masamune

Maka, Masamune pun dilahirkan. Terumune sangat
gembira sehinggakan beliau melanggar pantang larang dengan masuk ke bilik
persalinan melihat bayinya yang baru lahir. Pelan kejam Yoshihime pula
tertangguh kerana beliau mengandung anak yang kedua. Yoshihime juga semakin
lembut hati dengan layanan penuh mesra yang diberikan Terumune kepadanya.

Masamune membesar seperti ditatang minyak yang
penuh, disayangi kedua-dua orang tuanya ketika mana Jepun sedang berperang
sesama sendiri. Sebuah kuil bernama Shifuku dibina khusus untuk Masamune. Dua
pembantu juga dipilih iaitu Date Shigezane (sepupu) dan Katakura Kojuro (adik
angkat ibu susuan Masamune). Jurulatih peribadi bagi seni menggunakan tombak
pula ialah Okano Sukezaemon Harutoki. Semasa berumur dua tahun, sarjana
Confucian Aida Koan ditugaskan mengajar Masamune mengenai tatacara ajaran
Confucius.

Dengan segala persiapan, Masamune pun membesar
menjadi seorang yang gagah. Beliau juga menunjukkan kebolehan dalam upacara teh
(tea ceremony) dan berpuisi. 

Krisis Mogami

Karakter Mogami Yoshiaki dalam permainan Nobunaga’s Ambition

Dengan harapan tinggi yang diberikan kepada
Masamune oleh para pegawai puak Date, Yoshihime berpaling arah dan mula
memberikan lebih kasih sayang kepada adiknya, Tsukimaru (Kojiro, bukan Kojuro).
Sampai pula kepada Yoshihime berita pergeseran antara bapanya dan abang
sulongnya, Yoshiaki. Yoshihime segera berangkat ke Yamagata untuk meleraikan persengketaan
mereka dengan izin suaminya. Pertempuran demi pertempuran tercetus.

Yoshihime akhirnya tiba dan menasihatkan kedua-dua
ahli keluarganya itu untuk berhenti bertelagah kerana konflik seperti ini bak
peribahasa, yang kalah jadi abu, yang menang jadi arang. Dengan auranya yang
mengancam, Yoshihime berjaya menenangkan keadaan. Jika Terumune seorang yang
lemah lembut dan pasif, Yoshihime pula seorang yang agresif dan berkarisma.
Mungkin itulah sebab mengapa Masamune menjadi seorang yang serba-serbi hebat
kelak.

Mata Tersembul Keluar

Selain dididik oleh sarjana Confucian, Masamune
juga diajar oleh seorang sami terkenal yang bernama Kousai Osho. Osho tidak
memberikan sebarang layanan istimewa kepada Masamune hanya kerana kedudukannya.
Latihan keras terus diberikan bertubi-tubi. Osho juga tidak hanya menumpukan
kepada jasmani tetapi juga aspek yang paling penting, rohani anak muridnya itu.

Pernah sekali, Osho menunjukkan sejambak bunga
kepada Masamune dan ditanyakan warnanya. Masamune menjawab, “Ungu.” Osho
membalas, “Saya tidak tanya warnanya yang dilihat dari mata kasar, saya tanya
apa yang kamu nampak dalam hati kamu. Sesungguhnya, jika kamu melihatnya dengan
hati, maka bunga ini akan kelihatan lebih cantik.” Beberapa hari kemudian, Osho
memanggil Masamune dan memarahinya, “Kamu kata warnanya ungu tetapi kenapa
sudah perang kekuningan? Adakah kamu menipu hari itu?!”. Masamune menjawab
sambil memejamkan mata, “Warna bunganya masih ungu, wahai guruku, kerana saya
melihatnya menggunakan hati.” Osho tersenyum dan berpuas hati dengan jawapan
Masamune.

Watak Masamune seperti dalam permainan popular Sengoku Basara

Ketika berumur 5 tahun, satu kejadian telah berlaku. Masamune ketika itu sedang sakit kerana diserang demam campak. Nak dijadikan cerita, demamnya itu amatlah dahsyat sekali sehingga mata kanannya dijangkiti kuman. Biji matanya tersembul keluar dari soket mata kanan serta tergantung di situ. Lantas direntapnya biji mata itu dan dimamahnya. Mengapa? Kerana bagi Masamune, matanya yang tersembul keluar itu hanya akan memberi beban kepadanya dalam pertempuran. Sifat tidak teragak-agak yang ditunjukkan memberikan gambaran betapa uniknya personaliti yang empunya diri.

Kehilangan matanya ketika kecil inilah yang membawa
panggilan Naga Bermata Satu buat Masamune. Juga dipanggil Dokuganryū dalam
bahasa Jepun.

Perkahwinan

Ketika berusia 13 tahun (rekod lain mengatakan 15,
16 tahun), Masamune dikahwinkan dengan Tamura Kiyoaki dari puak Tamura. Usianya
yang muda tidak bermaksud Masamune tidak matang, malahan sebaliknya.
Perkahwinan ini bukan sahaja bertujuan untuk bersekutu dengan Tamura tetapi
juga sebagai syarat untuk majlis datang umur (coming-of-age) yang mahu
dijalankan segera.

Kebiasaannya, majlis ini dijalankan bagi mereka
yang berusia 18 tahun tetapi tidak bagi Masamune kerana bapanya Terumune mahu
Masamune turun merasai suasana di medan perang demi meningkatkan moral dan
semangat puak Date yang sedang memerangi puak Soma.

Pertempuran Pertama

Sebelum Masamune turun ke medan perang buat pertama
kali, sami Osho berpesan dengan nada yang tegas kepadanya agar berperang bukan
kerana kemarahan terhadap musuh. Sebaliknya, kasihanilah mereka, hancurkan
impian mereka yang sia-sia dan tunjukkan jalan yang benar.

Masa ini, umurnya baru 14 tahun. Satu Mesyuarat Perang (War Council) diadakan di istana dan proses merekrut orang ramai bermula. Alangkah terkejutnya Daimyō Terumune apabila mendapat tahu seramai 43,700 orang samurai dan pahlawan menyambut kempen seruan perangnya itu hanya kerana Masamune akan bertempur bersama.

Terumune berkeriut kerana pada masa-masa biasa, beliau yang merupakan pemerintah wilayah (Daimyō) pun hanya mampu merekrut lebih kurang 20,000 orang. Hal ini menunjukkan betapa popularnya nama Masamune dalam kalangan rakyat jelata.

Date Shigezane dalam anime Sengoku Night Blood

Tahun berikutnya, bala tentera Masamune digerakkan untuk menakluk istana Omori yang dikawal puak Soma. Sekelip mata sahaja istana tersebut jatuh. Dengan momentum yang melambung tinggi, Masamune dan dua orang pembantunya Kojuro dan Shigezane menunjukkan prestasi yang amat memberangsangkan. Istana Kanatsu yang dikawal puak Ashina pula dikepung bala tentera Masamune. Gabungan tentera Ashina, Soma, Ouchi dan Hatakeyama berusaha memecahkan kepungan Date. Pertempuran tercetus di sepanjang Sungai Abukuma.

Walaupun digasak hebat oleh tentera dari 4 puak
musuh, pasukan Masamune tidak menunjukkan sebarang kelemahan. Akhirnya,
musuh-musuhnya berundur. Istana Kanatsu pula ditakluk apabila pengikut Ashina
membelot dan membunuh ketua mereka, Ashina Jubei. Bekalan beras dirampas dan
kempen perang diteruskan. Kali ini, Istana Marumori pula tumpas.  Seterusnya, Istana Kayanama mengalami nasib
yang sama.

Pada waktu ini jugalah, Daimyō Oda Nobunaga dari
puak Oda yang dijangka pasti menyatukan seluruh tanah Jepun telah dikhianati
panglimanya sendiri, Akechi Mitsuhide di Kuil Honnō. Ketika itu, puak Oda telah
pun menakluki hampir 1/3 kepulauan Jepun! Insiden di Honnō-ji ini telah
mengubah landskap feudal Jepun secara keseluruhannya.

Daimyō Date Masamune

Ketika berusia 17 tahun, Masamune telah dilantik
menjadi Daimyō puak Date apabila bapanya mengambil keputusan untuk bersara.

Tidak seberapa lama, salah seorang pegawai Date
bernama Ouchi Sadatsuna membelot dan berkhidmat dengan puak Ashina di Aizu. Masamune
melancarkan perang ke atas Ashina dengan serta-merta. Panglima Ashina, Inawashiro
Morikuni berjaya memberhentikan kemaraan Masamune. Berang, Masamune menuju ke
Otemori (kubu Sadatsuna) menggunakan tipu helah lalu menakluki istana tersebut.
800 orang pembelot dibunuhnya.

Puak Hatakayema yang berada di Miyagi (selatan
Iwate) mahu berdamai dengan Masamune. Ketuanya, Yoshitsugu beberapa kali cuba
berdamai dengannya namun ditolak Masamune kerana beranggapan yang Yoshitsugu
ini bukanlah seorang individu yang boleh dipercayai. Bila-bila masa saja mereka
boleh mungkiri perjanjian kalau dibuat. Yoshitsugu tidak mahu mengalah dan memujuk
pula Terumune. Sekarang, segala kuasa dan keputusan terletak sepenuhnya kepada
Masamune, bukannya dirinya.

Gugurnya Bapa Kesayangan

Portret Date Terumune

PTerumune yang lembut hatinya itu, mengajak Yoshitsugu untuk menjamu selera sambil berbincang. Keesokan harinya, setelah mengucapkan penghargaan kepada tuan rumah atas layanan baik yang diberikan, Yoshitsugu dan beberapa orang pengikutnya telah menculik Terumune sambil diacukan pedang katana di lehernya. Mereka segera beredar. Pengawal-pengawal istana tidak mampu berbuat apa-apa kerana takut Terumune dibunuh penculiknya itu jika cuba menghalang.

Masamune yang baru sahaja pulang dari sesi melatih
burung helang (falconry) terkejut dengan berita yang didengarnya itu. Persis
kilat, tentera beristinggar Date (arquebus) segera dilancarkan untuk
menyelamatkan bapanya itu. Drama kejar-mengejar berlanjutan sehinggalah ke
tebing Sungai Abukuma.  Tenteranya segera
membidik senapang ke arah penculiknya itu. Terumune pula berteriak dari jauh,
“Masamune! Arahkan mereka untuk segera tembak bedebah ini. Jangan hiraukan ayah.”

Masamune teragak-agak. Lagipun, sebagai seorang
anak, Terumune ialah bapanya yang telah banyak berjasa. Dalam suasana
hiruk-pikuk, Yoshitsugu mengambil kesempatan mengelar leher bapanya dan
melarikan diri ke Nihonmatsu. Hancur berkecai hati Masamune melihat bapanya
longlai dan rebah ke bumi. Kiranya, inilah pengajaran paling pahit buat
sepanjang hayat untuk dirinya. Ada juga kisah lain yang mengatakan bahawa
Yoshitsugu juga mati dan gagal melarikan diri.

Dendam Yang Membara

Untuk membalas dendam atas kematian bapanya, bala
tentera Date dikerahkan untuk menyerang puak Hatakeyama yang bersekutu dengan
puak Satake, Ashina, Soma dan beberapa puak tempatan. Pertempuran tercetus.
Percaturan Masamune serba tidak menjadi. Berkemungkinan besar kerana
kemarahannya telah mempengaruhi cara beliau berfikir. Ego Masamune pula kian
menebal kerana dia percaya akan kemampuannya untuk menang. Tentera Date yang
berjumlah 7000 orang berlindung di dalam Kubu Motomiya menunggu serangan 30,000
tentera gabungan musuh.

Satu demi satu kubu berhampiran jatuh ke tangan
musuh. Salah seorang panglimanya, Moniwa Yoshinao juga terbunuh. Kubu utama
Motomiya semakin dihampiri musuh. Yang menghalangnya hanyalah sebatang sungai
dan sebuah jambatan. Masamune tercedera teruk bertempur di atas jambatan
tersebut. Keadaan amat parah sehinggakan kem utama Date dipindah ke sebuah
rumah usang berhampiran sungai tersebut.

Sami Osho yang juga terlibat dalam pertempuran itu
memukul Masamune dengan tongkatnya berkali-kali. “Bukankah sudah diajar dahulu?
Jangan membunuh kerana dendam. Sekarang lihatlah di sekelilingmu, berapa ramai
yang mati? Macam mana kamu hendak bertanggungjawab kepada keluarga mereka? Jika
kamu terus begini, lebih baik kamu bunuh diri. Syaitan seperti kamu hanya akan
menyusahkan rakyat biasa jika kamu menakluki seluruh kawasan Oshu!” Tengking
Osho berkali-kali. Masamune hanya tunduk diam.

Keesokan pagi, Masamune mendapat berita gembira
apabila musuhnya telah berundur kerana salah satu puak musuh, Satake, telah
diserang oleh puak Satomi. Walaupun mereka telah berundur, pertempuran kali ini
disifatkan sebagai satu kekalahan teruk bagi Masamune. Mungkin kerana sifatnya
yang agresif dan tingkahlaku yang mudah berubah-ubah, Masamune digelar Naga
Bermata Satu.

Ibu Durjana

Dalam masa yang sama, ibunya, Yoshihime berkomplot
untuk menjatuhkan Masamune dan digantikan dengan adiknya, Kojiro. Menggunakan
alasan yang Masamune sudah tidak siuman lagi selepas menyebabkan kematian ramai
tentera Date dalam pertempuran sebelum ini, mereka yakin komplot ini ada
justifikasinya. Semenjak awal lagi, Kojiro lebih disayangi Yoshihime berbanding
Masamune.

Insiden terjadi apabila Yoshihime bersama Kojiro
makan bersama Masamune setelah lama tidak ketemu. Arak dituangkan lalu diminum
Masamune. Kojiro dengan pantas menghunuskan katananya untuk membunuh Masamune.
Terkejut, Masamune bingkas bangun dan mencapai pedangnya berdekatan. Berlakulah
pergelutan antara kedua-duanya. Kesudahannya, Kojiro mati dibunuh Masamune yang
cedera ringan. Yoshihime pula diberi pengampunan penuh oleh Masamune.

Penakluk Oshu

Rajah menunjukkan wilayah Oshu pada zaman Sengoku

Rajah menunjukkan wilayah Oshu pada zaman Sengoku

Kini, Masamune tidak lagi membenarkan emosi
mengawal dirinya. Beliau melancarkan beberapa siri serangan terhadap jiran
sekeliling demi meluaskan pengaruh Date. Masamune sudah lama berhasrat untuk
menakluki seluruh wilayah Oshu. Sejak kecil lagi beliau telah memikirkan
perancangan jangka masa panjang untuk menaklukinya. Perancangan ini dipanggil,
‘Perancangan 10 Tahun Oshu’ kerana dalam perancangannya itu, beliau
menggambarkan Oshu mampu ditaklukinya dalam masa 10 tahun.

Kemudian, tibalah Pertempuran Suriagehara, pertempuran
terbesar dan terakhir bagi Masamune sebelum dapat menakluki seluruh kawasan
Oshu. Dalam pertempuran ini, Date berjaya memujuk Iwanashiro Morikuni dari puak
Ashina untuk berpaling tadah. Tentera Date berjumlah 23,000 manakala tentera
Ashina dan sekutunya berjumlah 16,000.

Istana Kurokawa, salah satu istana hebat pada zaman
itu digegarkan dengan kemaraan tentera Masamune. Tentera Ashina berduyun-duyun
keluar dari istana dan bergabung dengan tentera bantuan yang dihantar
musuh-mush Date. Kedua-dua pihak memulakan pertempuran di Suriagehara, tidak
jauh dari situ. Ternyata skil dan kemahiran tentera Date yang jauh lebih
berpengalaman, ditambah pula dengan strategi ulung Masamune, berjaya
menghancurkan pasukan musuh. Kurokawa ditakluk dan puak Ashina lenyap dari peta
Jepun.

Maka, layaklah Masamune digelar sebagai Penakluk
Oshu. Satu gelaran yang tidak pernah diberikan kepada mana-mana pemerintah
sebelum ini.

Pertempuran ini dianggap sebagai pertempuran
terakhir bagi Masamune dalam kempen peluasan kuasa puaknya kerana ketika ini,
sebahagian besar Jepun telah pun ditakluki oleh dua puak berkuasa, sama ada
puak Toyotomi atau puak Tokugawa. Ketika ini Toyotomi Hideyoshi telah pun
menjadi Shogun dan Ieyasu Tokugawa dilantik menjadi Kanselor Jepun. Tiada lagi
ruang untuk Masamune meluaskan kuasa. Menentang salah satu puak di atas adalah
perkara bodoh yang tidak akan dilakukan sesiapapun yang berfikiran wajar.

Akhirnya, puak Date dibawah pemerintahan Masamune
berkhidmat sebagai ‘vassal’ untuk Toyotomi dan seterusnya Tokugawa selepas
Pertempuran Agung Sekigahara yang menyaksikan penyatuan Jepun.

Pengepungan Odawara

Masih ada satu puak yang berdegil tidak mahu tunduk
kepada kekuasaan Toyotomi iaitu puak Hojo. Puak Hojo amat yakin dengan
kemampuan Istana Odawara yang dianggap salah satu istana terhebat pada zaman
itu, sebaris dengan istana Himeji, Osaka dan Azuchi. Hideyoshi tidak mahu
berlengah lagi dan melancarkan kempen menakluki Odawara. Masamune diperintah
untuk membantu dalam kempen ini.

Menggunakan kelicikannya, Masamune memberi pelbagai
alasan untuk melengah-lengahkan tenteranya. Ini kerana, jika mereka sampai
lewat, pertempuran sudah hampir tamat dan tentera Date tidak perlu bertempur
serta dapat mengelakkan kematian. Masamune juga menjangka, jika pertempuran itu
dimenangi Hideyoshi, kemungkinan besar anginnya juga dalam keadaan yang baik.
Maklumlah, sudah menang perang.

Namun, Hideyoshi tidak kurang bijaknya juga. Segala
percaturan Masamune dapat dihidunya satu persatu. Setelah pertempuran tamat,
Masamune tiba dengan pakaian serba indah dan berkualiti, dengan wajah yang
tiada sedikit pun tanda ketakutan. Hideyoshi yang marah hanya tersenyum tetapi
menghukumnya dengan memindahkan kawasan pemerintahan puak Date dari Aizu ke
Yonezawa yang lebih rendah bilangan koku. Koku melambangkan hasil kekayaan
sesebuah kawasan itu.

Iwadeyama, Perang Korea dan Tentera Flamboyan

Setelah beberapa tahun berkhidmat untuk Hideyoshi,
Masamune dikurniakan daerah Iwatesawa. Beliau berpindah ke situ dan menukarkan
namanya menjadi Iwadeyama. Sebuah istana juga dibina di puncak Iwadeyama.
Selama 13 tahun puak Date membangunkan kawasan tersebut. Masamune dengan
bangganya berjaya menjadikan Iwadeyama sebagai salah satu pusat perkembangan
ekonomi dan politik.

Pada tahun 1592, Masamune dengan tenteranya seramai
tiga ribu orang (kontinjen terawal) telah menyambut seruan Hideyoshi untuk
turut serta dalam kempen Perang Korea. Menariknya, tidak seperti sebelum ini di
Odawara, Masamune dengan segera mengerahkan tenteranya ke Kyoto untuk perarakan
ketenteraan pra-peperangan apabila mendapat arahan Hideyoshi. Tidak berlengah
walaupun sedikit.  Perarakan ini bukan
sahaja dihadiri Toyotomi Hideyoshi dan para bangsawan di Imperial Court malah
Maharaja Jepun sendiri turut berkenan mencemar duli sebagai tanda sokongan. 

Masamune berbuat demikian kerana berfikiran jika
beliau sampai lewat, bukan saja Hideyoshi akan marah sekali lagi, malah akan
memaksa pasukannya bertempur di barisan hadapan (vanguard) dalam medan perang
di Korea sebagai hukuman. Ini amatlah berbahaya dan merugikan puak Date. Tidak
cukup dengan itu, Masamune telah menempah khas baju perisai hitam (bercampur
emas di beberapa bahagian badan) dan topi berbentuk kon untuk tenteranya
semata-mata untuk perarakan tersebut.

Hasil seni karakter Date Masamune bertema warna hijau dalam permainan Samurai Warriors 3

HBiasa di medan perang, tentera Date memakai perisai
bertemakan warna biru. Ada juga rekod yang mengatakan bukan warna biru tetapi
hijau kerana perbezaan perspektif warna zaman tersebut dan zaman sekarang serta
masalah penggunaan perkataan. Walau bagaimanapun, imej tenteranya yang serba
hitam keemasan dengan topi kon yang aneh telah menarik perhatian seluruh
hadirin. Hadirin bersorak gembira melihat tentera Date.

Malah, Shogun Hideyoshi sendiri merasa sangat kagum
dengan apa yang dilihatnya. Dalam hatinya, beliau mengagumi hasil kekayaan emas
yang dimiliki puak Date sehinggakan perisai mereka pun disaluti warna emas. Ini
merupakan salah satu helah genius Masamune. Hal ini kerana, dengan pasukan
tenteranya yang kelihatan sungguh mengancam, sudah tentu Hideyoshi akan
menugaskan mereka sebagai tentera yang berkawal berhampiran unit kendalian
Hideyoshi. Tidaklah perlu untuk ke Korea dalam masa yang terdekat. Sangkaannya
tepat.

Menurut legenda, keghairahan inilah yang membawa
kepada terhasilnya perkataan ‘Dateotoko’ atau ‘Datemono’. Datemono bermaksud
individu atau kumpulan yang menonjol, menarik perhatian, bergaya,
berwarna-warni (lebih dari satu dua warna) tetapi dalam masa yang sama, tetap
menakjubkan dan mengagumkan. Istilah flamboyant
juga digunakan di sini. Dateotoko pula membawa maksud seseorang yang
berpakaian berwarna-warni atau seseorang yang menggunakan lebih dari satu
senjata serta orang tersebut kelihatan beradab (refined) atau menarik
(attractive). Sekali gus ini membawa kepada kebarangkalian yang Masamune
sememangnya bukan calang-calang hensem.

Ketika di Korea, Masamune berkhidmat dengan
cemerlang dalam beberapa pertempuran serta membantu tentera Jepun yang
terkandas di sana.

Baju Perisai Kalis Peluru

Sebahagian tenteranya juga dilengkapi baju perisai
kalis peluru! Sesiapa yang pernah main permainan Total War Shogun barangkali
pernah melihat salah satu unit unik puak Date yang dipanggil Date Bulletproof Samurai. Betapa
hebatnya pemikiran Masamune sehingga mampu menghasilkan sesuatu teknologi yang
jauh ke hadapan. Ini juga menggambarkan keberanian tentera Date. Satu-satunya
tentera yang tidak takut untuk berhadapan dengan peluru maut yang dimuntahkan
ratusan istinggar dalam satu-satu pertempuran.

Walau bagaimanapun, efektif atau tidak masih tidak
diketahui kerana didakwa perisainya berat dan juga kos penghasilannya yang
mahal.

Pertempuran Agung Sekigahara dan Pembukaan Sendai

Dalam pertempuran ini, Masamune berpihak kepada
tentera gabungan puak Tokugawa ataupun juga dikenali sebagai Eastern Army. Shogun Toyotomi Hideyoshi
sudah meninggal dunia dan digantikan dengan anaknya Hideyori yang masih muda.
Ishida Mitsunari, salah seorang pegawai paling berkuasa dalam puak Toyotomi
telah menjadikan Hideyori sebagai boneka. Rata-rata samurai marah dengan
tindakan Ishida yang mengutamakan kepentingan dirinya sendiri.

Siri pertempuran di Utara bermula apabila Masamune
bersama-sama Mogami Yoshiakira berjaya menghalang Uesugi Kagekatsu daripada
membantu Western Army dengan
mengepung Hataya. Tentera Date kemudiannya menyerang Istana Fukushima dan
menaklukinya.

Tugu Date Masamune di Sendai

Kejayaan ini melicinkan pergerakan tentera Tokugawa
ke Barat (untuk tiba di Sekigahara) kerana segala gangguan sudah dihapuskan.
Pertempuran Sekigahara berakhir dengan kemenangan bergaya Eastern Army. Masamune pula dihadiahkan kawasan Sendai di mana
beliau membina satu istana baru di Aoba. Sendai kemudiannya berkembang maju
sehingga menjadi hab perdagangan dan bandar yang hebat. Di kawasan pertama kali
Masamune tiba di Sendai, sebuah tugu peringatannya telah dibina. Hari ini, tugu
ini menjadi salah satu tarikan pelancongan bagi sesiapa yang melancong ke
Sendai.

Warkah Masamune Untuk Pius Paul V

Pada tahun 1613, Masamune menghantar salah seorang
pegawai samurainya, Hasekura Rokuemon Tsunenaga untuk menyertai satu ekspedisi
ke Eropah untuk tujuan mengadakan perjanjian perdagangan dengan negara di benua
itu. Paderi Sotelo yang dibuang negeri ke Sendai atas kesalahan menyebarkan
ajaran Kristian yang bertentangan dengan undang-undang telah ikut serta dalam
ekspedisi itu. Buat masa ini dalam sejarah, inilah ekspedisi pertama Jepun ke
Eropah.

Sebuah kapal perang galleon yang berinspirasikan Barat telah dibina di pelabuhan
Tsuki-no-Ura di Miyagi, Sendai. Projek ini mendapat persetujuan Keshogunan
Tokugawa. Kapal perang ini dinamai San
Juan Bautista
dan Date Maru dalam bahasa Jepun. Menariknya, kapal ini
mempunyai jata keluarga Hasekura yang berbentuk Swastika dipercayai berasal
daripada ajaran Buddha.

Reka bentuk Jata keluarga Hasekura

Kapal Date Maru tiba di California selepas meredah
lautan Pasifik. Pelayaran diteruskan ke Acapulco, Mexico dan Mexico City. Dalam
perjalanan, ramai pelayar yang memeluk Kristian dan dibaptiskan. Setibanya di
Sepanyol, mereka menghadap Raja Philip III dan Tsunenaga memeluk Kristian serta
dibaptiskan menjadi Francisco Felipe Faxicura. Rombongan mereka disambut dengan
meriah oleh kerajaan Sepanyol tetapi tiada perjanjian yang dimuktamadkan lagi.

Seterusnya, Tsunenaga meneruskan pelayaran ke Rom
untuk menyampaikan sekeping warkah yang ditulis Masamune kepada Pius Paul
kelima, ketua agama Kristian Katolik. Rombongan Jepun itu menyerahkan dua
keping warkah, satu dalam bahasa Jepun dan satu lagi dalam bahasa Latin.
Kandungan warkah tersebut menyatakan dua benda, bahawa tabligh Kristian
dijemput datang ke Jepun dan perjanjian perdagangan antara Mexico (yang dijajah
Sepanyol) dengan Jepun. Warkah tersebut masih boleh dijumpai di Arkib Vatican
hari ini. Antara kandungan warkah tersebut berbunyi,

Kissing the Holy feet of the Great,
Universal, Most Holy Lord of The Entire World, Pope Paul, in profound submission
and reverence, I, Idate Masamune, King of Wōshū in the Empire of Japan,
suppliantly say:

The Franciscan Padre Luis Sotelo came
to our country to spread the faith of God. On that occasion, I learnt about
this faith and desired to become a Christian, but I still haven’t accomplished
this desire due to some small issues. However, in order to encourage my
subjects to become Christians, I wish that you send missionaries of the
Franciscan church. I guarantee that you will be able to build a church and that
your missionaries will be protected. I also wish that you select and send a
bishop as well. Because of that, I have sent one of my samurai, Hasekura
Rokuemon, as my representative to accompany Luis Sotelo across the seas to
Rome, to give you a stamp of obedience and to kiss your feet. Further, as our
country and Nueva España are neighbouring countries, could you intervene so
that we can discuss with the King of Spain, for the benefit of dispatching
missionaries across the seas.”

Warkah berbahasa Latin yang ditulis Masamune

Dapat dilihat bahawa Masamune menamakan dirinya sebagai King of Wōshū iaitu Oshu. Pius bersetuju untuk menghantar missionaries Kristian ke Jepun tetapi menyerahkan keputusan perjanjian perdagangan kepada Raja Sepanyol. Ada juga rekod yang menyatakan kemungkinan Masamune mengirimkan pedang samurai kepada Pius.

Namun, misi Tsunenaga gagal kerana tindakan
Keshogunan Tokugawa yang mengharamkan penyebaran agama Kristian dan menjatuhkan
hukuman bunuh kepada penganutnya.

Sanada Yukimura dan Masamune

Pada tahun 1614-1615, puak Tokugawa melancarkan
serangan habis-habisan ke atas kubu terakhir pengikut Toyotomi di Osaka, dikenali
sebagai Kempen Musim Salji dan Musim Panas Pengepungan Osaka. Pernah sekali, kerana
bosan tiada serangan yang dibuat pasukan sekutunya, Masamune bertindak memerintahkan
pasukan istinggarnya untuk melepaskan tembakan serentak (volley) beberapa kali
di belakang pasukan sekutunya sendiri supaya mereka melancarkan serangan. Sudah
tentu, ini memberi reputasi buruk kepadanya. Sekali lagi, sifatnya yang tidak
dapat dijangka jelas kelihatan dalam insiden ini.

Berbalik kepada peperangan ini, salah satu
pertempuran dari banyak-banyak pertempuran yang berlaku ialah Pertempuran Dōmyōji.

Dalam pertempuran inilah dipercayai Masamune dan
seteru setandingnya, Yukimura mungkin telah berlawan antara satu sama lain.
Pertempuran inilah yang memberi inspirasi kepada fanfiction hari ini yang kerap
mengaitkan Masamune dan Yukimura sama ada dalam permainan ataupun anime seperti
Sengoku Basara.

Sanada Yukimura dan Date Masamune dalam Sengoku Basara

SKemangkatan Ieyas

Ketika
Ieyasu sedang nazak pada tahun 1616, Masamune yang datang melawatnya telah
membacakan satu puisi Zen. Ini menyerlahkan lagi personalitinya yang penuh
beretika. Walaupun Ieyasu tidak pernah mempercayai Masamune sepenuhnya, namun
rekod perkhidmatannya memang baik. Sejak zaman Toyotomi lagi.

Satu
kata-kata hikmat Masamune yang masih diingati sehingga ke hari ini ialah, “Sifat
mulia yang berlebihan akan menjadikan seseorang itu kaku; kebaikan yang
melampaui batas akan menjadi kelemahan.” (Rectitude carried to excess hardens
into stiffness; benevolence indulged beyond measure sinks into weakness).

Kesimpulan

Pada 27 Jun tahun 1636, Date Masamune menghembuskan nafasnya yang
terakhir dengan tenang. Anaknya, Tadamune menggantikan beliau sebagai Daimyō
Date.

Kesimpulannya,
perjalanan hidup Masamune penuh dengan warna-warna. Sifatnya yang lantang,
berani, agresif tetapi licik dan genius dalam mengatur strategi menjadikannya
sebagai seorang yang serba boleh. Beliau juga terbukti sebagai seorang
pemerintah yang bijaksana dan berwawasan mirip Oda Nobunaga kerana
penerimaannya terhadap orang luar dan teknologi asing yang dibawa.

Cuma satu
benda yang penulis yakin Masamune sesalkan sangat sehingga akhir hayatnya
adalah kegagalannya menyatukan seluruh Jepun.

Maka,
tidaklah
menghairankan apabila Masamune pernah mengeluh tentang nasibnya. “Alangkah
baiknya jika aku dilahirkan 10 atau 20 tahun lebih awal. Sudah tentu aku dapat
duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan Toyotomi Hideyoshi, Tokugawa
Ieyasu dan Oda Nobunaga. Ketika itu, tidak mustahil untuk ku menyatukan seluruh
negara ini.”

Rujukan:

Date. (n.d.). Retrieved December 29, 2018, from
http://koei.wikia.com/wiki/Date

Date Masamune. (n.d.). Retrieved December 29, 2018,
from http://badassoftheweek.com/index.cgi?id=584119921490

Masamune Date. (n.d.). Retrieved December 29, 2018,
from http://koei.wikia.com/wiki/Masamune_Date

Museum. (n.d.). Welcome to Date Masamune historical
perspective. Retrieved December 29, 2018, from
http://www.date-masamune.jp/eng.php

Seal, & West. (2017, September 30). Date
Masamune. Retrieved December 29, 2018, from
https://wiki.samurai-archives.com/index.php?title=Date_Masamune

Strusiewicz, C. J. (2018, February 19). The Samurai
Who Met The Pope. Retrieved December 29, 2018, from https://www.tokyoweekender.com/2018/02/the-samurai-who-met-the-pope/

Sumber : ThePatriots