Kaum Parsi (678 Sm – 651 M): Pembina Empayar Terbesar Dan Kerajaan Dunia Pertama

Kita
mengenali Iran sebagai sebuah negara Islam kerana sejarahnya di mana tanah Asia
Barat ini pernah dimiliki oleh empayar-empayar Islam terdahulu, kemudian
menjadi negara republic setelah berhadapan pelbagai perang seperti Perang Dunia
I serta revolusi yang popular pada tahun 1979 yang dikenali sebagai Islamic
Revolution. Namun tahukah anda, Iran pernah menjadi sebuah empayar purba yang
agung sebelum menjadi  tarikan para
khalifah Islam?

Pada tahun 2000
SM,  kaum Iran Purba iaitu orang
Indo-European yang bertutur dalam bahasa Iran datang ke tanah yang kita panggil
sebagai Iran dari padang rumput Eurasia. Mereka menjarah perkampungan penduduk
asal dan mula menyebarkan populasi ke seluruh kawasan yang dipanggil sebagai
Greater Iran (merangkumi kawasan Kaukasus, Asia Barat, Asia Tengah, dan
sebahagian Asia Selatan). Maka, tanah Iran didominasi oleh puak Medes, Parsi,
dan Parthia.

Dari akhir
abad ke-10 hingga akhir abad ke-7 SM, puak-puak berbahasa Iran beserta kerajaan
yang mereka tubuhkan telah ditakluk oleh empayar Assyria yang lokasinya berada
di utara tanah Mesopotamia. Masuk ke zaman pemerintahan raja Cyaxares, iaitu
raja ketiga puak Medes yang mempunyai kekuatan tentera yang besar, menubuhkan
perikatan dengan raja Babylon iaitu Nabopolassar bersama puak Iran lain iaitu
Parsi, Scythia, dan Cimmerians, seterusnya menyerang empayar Assyria.


Gambar 1: Ukiran dinding yang mengisahkan tentang perikatan puak Medes dan Parsi di Persepolis, kota keagamaan Archaemenid.

Perang
saudara yang berlaku di Assyria pada tahun 616 SM dan 605 SM telah membebaskan
orang-orang Iran dari genggaman Assyria selama 3 abad. Penyatuan puak Medes
sejak dari pemerintahan raja pertama iaitu Deioces pada 728 SM membawa kepada
penubuhan empayar Medes di mana pada tahun 612 SM, raja puak Medes menguasai
seluruh Iran dan timur Anatolia (Turki).

Pada 505 SM,
Cyrus the Great iaitu anak lelaki Mandane (puteri puak Medes) dan Cambyses I
(raja kota Anshan) menggulingkan empayar Medes dan menubuhkan kerajaan baru
iaitu empayar Achaemenid dengan menyatukan negara-kota lain. Tindakan Cyrus ini
yang dipanggil sebagai Persian Revolt kerana wilayah Persis yang dimiliki oleh
puak Persia yang ingin membebaskan diri dari empayar Medes terutamanya
pemerintahan raja Astyages yang zalim. Pembebasan ini merebak ke wilayah lain
dan kemudian bersatu dengan Parsi bagi menggulingkan empayar Medes.

Selepas
penggulingan raja Astyages, Cyrus dan para pewarisnya meluaskan empayar dengan
menguasai kerajaan Lydia, Babylon, Mesir, sebahagian tanah Balkan dan Eropah
Timur, dan bahagian barat Sungai Indus. Tahun 539 SM adalah tahun yang
signifikan kerana Parsi telah berjaya mengalahkan tentera Babylon di
negara-kota Opis, seterusnya menumbangkan empayar Neo-Babylonia. Cyrus melawat
kota Babylon dan melantik dirinya sebagai raja monarki yang mengamalkan budaya
Mesopotamia. Dari situlah sistem politik Mesopotamia dipengaruhi dengan budaya
orang Parsi.

GAMBAR 2: Makam Cyrus the Great

Di zaman pemerintahan Darius I dan Xerxes I, empayar Achaemenid merangkumi Iran, Azerbaijan, Armenia, Georgia, Turki, kawasan pinggir pantai Laut Hitam, timur laut Yunani dan selatan Bulgaria, utara Yunani iaitu kerajaan Macedonia, Iraq, Syria, Lubnan, Jordan, dan wilayah-wilayah Palestin. Empayar orang Parsi juga merangkumi kawasan tanah milik tamadun Mesir Purba hingga ke Libya, Kuwait, kawasan utara Arab Saudi. Tambahan juga Pakistan, Afghanistan, dan sebahagian Asia Tengah milik Achaemenid. Jajahan takluk yang begitu besar ini menjadikan empayar Achaemenid menjadi kerajaan dunia pertama yang mempunyai empayar terbesar dunia.

Dikatakan
pada 480 SM, sebanyak 50 juta orang tinggal di empayar Achaemenid. Ini
bermaksud empayar Achaemenid mempunyai 44% peratus dari populasi dunia, lebih
tinggi dari apa yang dimiliki oleh pempayar lain.

Orang Parsi
di zaman Achaemenid memberi sumbangan yang masih diamalkan sehingga kini iaitu
pembinaan lebuh raya yang dipanggil sebagai Royal Road dan sistem perkhidmatan
pos iaitu Chapar. Bahasa Aramaic Lama (Old Aramaic) menjadi bahasa linguistic
di seluruh wilayah Parsi. Empayar itu juga mempunyai kuasa pemusatan dan
pengurusan birokratik di bawah perintah seorang maharaja, kekuatan tentera yang
besar, dan menubuhkan sistem perkihdmatan awan.

GAMBAR 3: Empayar Archaemenid di zaman kemuncak (pemerintahan Darius I dan Xerxes I)

Pada
pertengahab abad ke-5 SM, empayar Achaemenid semakin goyah bermula dari
pemberontakan penduduk Ionia yang meletuskan perang Greco-Persian. Peperangan
antara Yunani dan Parsi berakhir dengan Achaemenid melepaskan jajahan Balkan
dan Eropah Timur.

Pada 334 SM,
Alexander the Great menjarah empayar Achaemenid dan mengalahkan raja Parsi
terakhir, Darius III dalam Peperangan Issus. Selepas kemangkatan Alexander,
tanah Iran berada dalam kekuasaan empayar Seleucid yang mengamalkan budaya
Hellenistik. Pada pertengahan abad ke-2 SM, empayar Parthia ditubuhkan dan
menjadikan Iran sebagai pusat pemerintahan. Empayar Parthia kekal sebagai kerajaan
feudal yang diperintah oleh raja monarki selama 5 abad walaupun sentiasa
berkonflik dengan empayar Rom. Pada 224 M, empayar Sassanid atau Neo-Persia
menggantikan Parthia dan menjadi salah satu kuasa besar selain kerajaan
Byzantine selama 4 abad.

GAMBAR 4: Ukiran batu dengan pengaruh Sassanid sekitar abad ke-4 Masihi yang bertempat di Taq Bostan, kawasan pergunungan Zargos.

Empayar
Sassaind meneruskan legasi Achaemenid dan menempatkan ibu kota di Ctesiphon.
Sassanid juga meluaskan pengaruh budayanya hingga ke empayar Rom, Afrika,
China, dan India dengan memainkan peranan penting dalam seni zaman pertengahan
Eropah dan Asia.

Kebanyakkan
era dalam empayar Sassanid sentiasa dibayangi dengan peperangan antara Rom dan
Parsi yang berlangsung di sempadan Anatolia, barat Kaukasus, Mesopotamia, dan
Asia Barat selama lebih 700 tahun. Akhirnya persengketaan kedua-dua kuasa ini
berakhir dengan kedatangan para tentera Muslim. Maka berakhirnya kekuasaan
orang Parsi di Iran dengan menjadikannya sebahagian wilayah empayar khilafah
Umayyah.

RUJUKAN:

1. Abrahamian, Ervand (2008). A History of
Modern Iran. Cambridge University Press.

2. Afary, Janet; Peter William Avery; Khosrow
Mostofi. “Iran (Ethnic Groups)”. Encyclopædia Britannica. Retrieved 28
December 2018.

3. A. G. Sagona (2006). The
Heritage of Eastern Turkey: From Earliest Settlements to Islam
. Macmillan Education AU. p. 91

4. Del
Guidice, Marguerite (August 2008). “Persia – Ancient soul of
Iran”. National Geographic Magazine.

5. Jakobsson, Jens (2004). “Seleucid Empire”. Iran Chamber Society. Archived from the original on 5 June 2011. Retrieved 28 December 2018.

6. “Largest empire by percentage of world population”. Guinness
World Records. Retrieved 28 December 2018.

7. Olmstead, Albert T. E. (1948). The History of
the Persian Empire: Achaemenid Period. Chicago: University of Chicago Press.

8. Schmitt,
Rüdiger. “Achaemenid dynasty”. Encyclopaedia Iranica.
vol. 3. Routledge & Kegan Paul. Archived from the original on 28 December 2018.

Sumber : ThePatriots