Bersama AWS – Syarikat Perlu Berani Mencuba Sesuatu Teknologi Yang Baru

Tahun 2019 menjelang tiba. Bagaimana dengan prestasi syarikat mahupun startup anda? Atau adakah anda seorang pengaturcara, sudahkah anda mempelajari sesuatu yang baru pada 2018? Dan apa yang anda ingin pelajari pada tahun 2019 ini ?

Pada acara AWS Re:Invent 2018 yang berlangsung Disember lalu, saya sempat meluangkan masa bersama Olivier Klein, iaitu Ketua Bahagian Emerging Technologies dari AWS. Beliau kerap meluangkan masa di rantau Asia Tenggara memberikan pendedahan mengenai teknologi terkini yang menggunakan AWS.

Hujah beliau, satu persamaan di kebanyakan negara-negara membangun (Emerging Countries) adalah kebanyakan syarikat yang masih tidak memanfaatkan teknologi awan. Ia bukanlah terhad kepada perkhidmatan berasaskan awan yang disediakan oleh AWS, tetapi rata-rata masih mempunyai tanggapan negatif terhadap perkhidmatan awan, membuatkan syarikat berasa takut dalam mencubanya.

Tambah beliau, sekiranya syarikat rasa was-was dengan teknologi terkini, mulakan dengan mencuba sesuatu teknologi yang paling mudah digunakan. Seperti contoh jika masalah storan dihadapi kerana pelayan (server) menyimpan gambar imej beresolusi tinggi dan kerap kehabisan kuota bandwidth, pindahkan kesemua gambar kepada sistem Amazon S3, dan lihat jika sistem tersebut dapat memenuhi kehendak pelanggan.

Apabila syarikat sudah biasa dengan salah satu komponen perkhidmatan awan, dan sudah biasa dengan teknikal dan juga kos yang digunakan , barulah syarikat boleh memulakan migrasi sistem lain kepada perkhidmatan awan. Menurut beliau lagi, pihak AWS sentiasa mempunyai tenaga sokongan bagi membantu syarikat dalam pembangunan sistem berasaskan awan mereka, baik dari segi teknikal, mahupun dari sudut perniagaan.

Untuk tahun 2019, beliau percaya topik-topik seperti IoT dan juga pembelajaran mesin akan menjadi perhatian utama syarikat di negara-negara membangun. Ini kerana dunia IoT dan pembelajaran mesin kini lebih popular dan banyak perkongsian mengenainya wujud baik di internet atau menerusi bengkel-bengkel pendedahan teknologi. Dan pihak AWS sentiasa bersedia bagi membantu syarikat atau startup dalam menggunakan teknologi sebegini.


Sekiranya anda berminat untuk mencuba perkhidmatan AWS, anda boleh mencuba program percuma mereka selama setahun menerusi Free Tier.

Cuba: AWS Free Tier

Sumber : Amanz