Shiba (柴犬) Inu: Khazanah negara Jepun

Shiba Inu
merupakan salah satu baka anjing asli Jepun selain daripada Akita, Kishu Ken,
Hokkaido, Ainu, dan lain-lain. Di Amerika Syarikat, para penternak atau pakar
anjing mengkategorikan Shiba Inu sebagai baka Spitz atau Spitz Breed
yang merujuk kepada ciri-ciri fizikal anjing yang merupai serigala (Murnane
2018). Spitz Breed sangat popular sebagai anjing buruan dan anjing pengembala.

Walaupun dikenali
sebagai anjing terkecil Jepun, Shiba Inu serta saudara maranya (Akita, Kishu
Ken, Shikoku, Kai, Hikkaido, dan Ainu) diiktiraf dan dilindungi sebagai
khazanah negara Jepun. Oleh itu, artikel ini akan berbincang mengenai sejarah
Shiba Inu, signifikasinya kepada rakyat Jepun, dan bagaimana ia diiktiraf sebagai
khazanah negara Jepun.

Ciri-ciri fizikal Shiba Inu

Gambar 1: Shiba Inu bermain dalam salji

Umumnya, warna-warna bulu Shiba Inu termasuklah warna merah, hitam, dan perang. Muncung, bawah rahang, pipi, perut, dan leher Shiba Inu pula bewarna putih. Ketinggian Shiba Inu adalah antara 14.5-16.5 inci untuk jantan manakala bagi yang betina pula ketinggiannya adalah antara 13.5-15.5 inci. Berat Shiba Inu pula dianggarkan antara 7 kg sehingga 10.4 kg (American Kennel Club n.d). Walau bagaimanapun, warna merah merupakan idaman masyarakat Jepun yang ingin memelihara seekor Shiba Inu, kerana menepati ketulenan dan merupakan warna tradisional Shiba Inu (Prisco 2005). Telinga Shiba Inu berbentuk segi tiga, mempunyai bulu pendek dan rata di bahagian muka, telinga, dan kaki. Ekor Shiba Inu berbulu seakan-akan merupai berus dan sentiasa dalam keadaan “berdiri”. Jangka hayat seekor Shiba Inu adalah antara 13 sehingga 16 tahun.

Sejarah Shiba Inu

Tinggalan tertua
Shiba Inu bertarikh seawal 8000 SM, dan pakar arkeologis berpendapat
tulang-tulang tersebut merupakan milik nenek moyang Shiba Inu (Prisco 2005).
Terdapat juga inskripsi atau lukisan pada tembikar-tembikar zaman Jomon (8000
SM – 200 SM) yang menunjukkan nenek moyang kepada Shiba Inu ini dipelihara oleh
masyarakat awal Jepun untuk memburu babi hutan, burung, beruang, dan rusa
(Prisco 2011, dan Takeuchi, Kaneko, Hashizume et.al 2009).

Namun begitu,
asal-usul perkataan “Shiba” dalam Shiba Inu sehingga kini merupakan satu
misteri. Perkataan “Shiba” menurut sesetengah sarjana berasal daripada warna
dahan atau ranting patah (brushwood)
yang berwarna merah (Prisco 2005, Holden n.d dan JSRC n.d). Teori seterusnya
mengatakan bahawa Shiba bermaksud kecil, dan mungkin merujuk kepada saiz Shiba
Inu yang kecil (Holden n.d dan JSRC n.d). Manakala perkataan “Inu” dalam bahasa
Jepun bermaksud anjing.

  1. Signifikasi
    Shiba Inu kepada masyarakat Jepun
Gambar 2: Shiba Inu bersama beberapa wanita Jepun (American Kennel Club n.d).

Shiba Inu bukan sekadar anjing buruan mahupun anjing pengawal, tetapi ia juga mempunyai signifikasi kepada masyarakat dan budaya Jepun. Masyarakat Jepun mengambarkan Shiba sebagai Kan-i yang bermaksud semangat keberanian dan ryosei yang bermaksud bersifat baik. Soboku pula merujuk kepada sifat lembut dan sifat rendah yang ada pada Shiba Inu (Holden n.d). Seawal abad ke-7 Masihi, kerajaan Jepun zaman Yamato telah menubuhkan pejabat pengembala anjing yang bertujuan untuk memelihara anjing asli Jepun sebagai sebahagian daripada kebudayaan Jepun (Holden n.d).

Di Amerika
Syarikat pula, American Kennel Club (AKC) mengambarkan dan mendefinisikan Shiba
Inu sebagai taat dan penyayang. Memetik kata-kata AKC:

A spirited
boldness, a good nature, and an unaffected forthrightness, which together yield
dignity and natural beauty. The Shiba has an independent nature and can be
reserved towards strangers but is loyal and affectionate to those who earn his
respect.
At times aggressive toward other dogs, the Shiba is always under
the control of his handler.”

– (Prisco 2005: 28).

Ciri-ciri atau
rupa fizikal Shiba Inu juga bagi masyarakat Jepun adalah sempurna dari segi saiz
dan sifat atau ekspresi. Keseimbangan ciri-ciri fizikal dan sifat Shiba Inu
menunjukan keharmonian yang amat penting bagi masyarakat Jepun. Pada pendapat
masyarakat Jepun juga, keseimbangan ini perlu ada pada badan dan roh.

  • Shiba
    Inu pada abad ke-19

Pada abad tahun
1850-an, Jepun telah dipaksa oleh Amerika Syarikat untuk membuka pintunya
kepada dunia luar. Polisi isolasi Jepun yang berlangsung selama 200 tahun telah
dimansuhkan dan perdagangan dengan dunia luar telah diteruskan semula. Namun,
apakah impak peristiwa ini kepada Shiba Inu?

Para pedagang
Barat telah memperkenalkan anjing-anjing Eropah seperti German Shepherd,
Poodle, English Setters, Dachshunds, dan lain-lain. Anjing-anjing Eropah yang
digunakan sebagai anjing buruan seperti German Shepherd telah menjadi idaman
dan kesayangan golongan elit Jepun kerana keistimewaannya dalam bidang
pemburuan dan dipandang sebagai “anjing eksotik”. Akibatnya, Shiba Inu serta
saudara-maranya yang lain telah disisihkan oleh masyarakat Jepun untuk
berdekad-dekad lamanya (Prisco 2005).

  • Shiba
    Inu menghampiri kepupusan

Kemasukan
anjing-anjing Eropah dan penyisihan Shiba Inu oleh masyarakat Jepun telah memberikan  impak yang besar ke atas Shiba Inu. Pertama,
terdapat tindakan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab yang telah cuba
membiak anjing asli-asli Jepun dengan anjing-anjing Eropah untuk melahirkan
anjing kacukan. Kedua, Westernisasi atau Westernization
telah mengakibatkan masyarakat Jepun memandang tinggi dan mengidamkan apa-apa
yang Barat – termasuklah memelihara anjing-anjing Eropah sebagai anjing
peliharaan dan anjing buruan. Sedemikian rupa sehingga populasi baka anjing
Eropah telah melebihi populasi baka anjing asli Jepun dan Shiba Inu serta
saudara-maranya hampir pupus (Prisco 2005).

Bagaimana Shiba Inu menjadi khazanah negara Jepun?

Menyedari
hakikat bahawa Shiba Inu dan baka anjing asli Jepun lain sedang menuju ke arah
kepupusan, Dr. Hiroyoshi Saito telah mengambil keputusan untuk menubuhkan
sebuah persatuan dengan objektif untuk memelihara baka anjing asli Jepun pada
tahun 1928. Persatuan tersebut dinamakan Nihon
Ken Kozonokai
dan telah berjaya memujuk kerajaan Jepun untuk mengiktiraf
baka anjing asli Jepun sebagai khazanah negara atau National Monuments pada tahun 1930-an di bawah Cultural Properties Act (Prisco 2005 dan JSRC n.d).  

Gambar 3: Senarai Baka anjing-anjing asli Jepun (Prisco 2011).

Usaha Jepun menyelamatkan Shiba Inu

Shiba Inu serta
anjing-anjing asli Jepun lain telah kembali ke persada antarabangsa apabila
anjing-anjing tersebut telah memasuki pelbagai pertandingan yang diadakan oleh
kelab-kelab atau persatuan pencinta anjing di Jepun (Prisco 2005).  Minat terhadap Shiba Inu dan baka anjing asli
Jepun lain telah menarik perhatian masyarakat Jepun sehingga akhirnya Shiba Inu
telah kembali menjadi anjing kesayangan Jepun.

Namun, keadaan
menjadi teruk semasa Perang Dunia Kedua apabila ramai Shiba Inu telah menjadi
mangsa korban perang akibat kekurangan makanan dan wabak penyakit(Prisco 2011
dan American Kennel Club n.d). Para pembiak telah cuba menyelamat baka Shiba
Inu dengan membuka semula program pembiakan dan cuba membiak Shiba Inu dengan
anjing-anjing asli Jepun yang lain seperti anjing Mikawa. Kini, Baka Shiba Inu
moden datang dari 3 keturunan iaitu San’in, Mino, dan Shin Shu (American Kennel
Club n.d).

Selepas Perang
Dunia Kedua, All Japan Guard Dog
Association
(AJGDA) telah ditubuhkan untuk mengawal pembiakan anjing-anjing
baka Eropah sekaligus cuba menyelamatkan anjing-anjing asli Jepun. Kemudian
pada tahun 1971, Asia Kennel Union telah
ditubuhkan dan mempunyai objektif untuk mempromosikan dan memelihara baka
anjing asli di Asia. AJGDA telah menjadi pengerusi persatuan tersebut di bawah
nama Japan Kennel Club (JKC). Kejayaan
Jepun menjadi pengerusi Asia Kennel Union
mungkin telah membolehkan Jepun memperkenalkan anjing-anjing asli mereka di
persada antarabangsa dan mempopularkan Shiba Inu sekaligus menyelamatkannya
daripada kepupusan. Pada tahun 1992, dilaporkan bahawa sebanyak 300,000 anjing
asli Jepun telah didaftarkan dan populasi ini kemudian telah meningkat kepada
520,000 pada tahun 2002 (Prisco 2005).

Shiba Inu di Amerika Syarikat

Shiba Inu telah
dibawa ke Amerika Syarikat selepas Perang Dunia Kedua tetapi dalam jumlah yang
sangat kecil. Prisco (2005) melaporkan bahawa satu atau dua Shiba Inu mungkin telah
dibawa ke Amerika Syarikat sejurus tamatnya Perang Dunia Kedua, namun tidak
dapat dipastikan kesasihannya. American Kennel Club (n.d) pula dakwa yang Shiba
Inu terawal sampai ke Amerika Syarikat datang pada tahun 1954.

Gambar 4: Laman web rasmi ‘National Shiba Club of America’

Populasi Shiba
Inu serta popularitinya meningkat pada tahun 1970-an apabila Shiba Inu mula
diexport dari Jepun ke Amerika Syarikat. Pada tahun 1980-an tertubuhnya kelab
dan persatuan Shiba Inu seperti Shiba
Club of America
dan National Shiba
Club of America
(NSCA). Kedua-dua kelab tersebut telah berusaha untuk
menepati piawaian Jepun untuk memelihara sekaligus menghasilkan dan membiak
Shiba Inu yang tulen. Shiba Inu menjadi semakin popular di Amerika Syarikat dan
United Kingdom apabila anjing ini seringkali memenangi pertandingan dan menarik
perhatian para pencinta anjing di expo anjing antarabangsa.

Konklusi

Shiba Inu
merupakan anjing yang unik bukan kerana kecantikan bulunya atau kecomelannya
sahaja tetapi untuk juga sejarahnya, nilainya, dan sifatnya. Nilai-nilai ini
yang terdapat pada Shiba Inu hampir pupus akibat pengenalan anjing-anjing baka
Eropah pada abad ke-19 dan Perang Dunia Kedua. Walau bagaimanapun, masyarakat
Jepun dan para pencinta anjing yang mula menyedari hakikat ini telah bertungkus
lumus untuk menyelamatkan Shiba Inu serta anjing-anjing asli Jepun lain daripada
kepupusan. Maka tidak hairanlah usaha mereka untuk memelihara Shiba Inu serta
maknawinya telah menjadikan Shiba Inu sebagai salah satu khazanah negara Jepun.

Rujukan

American Kennel Club (n.d) Shiba Inu Dog Breed Information.
Available at: https://www.akc.org/dog-breeds/shiba-inu/ (Accessed: 31 December
2019).

Holden, J. (n.d) ‘An Introduction
to the Shiba Inu (part 1) General Information on the Shiba Inu’. National Shiba
Club of America, pp. 1–6. Available at: http://www.shibas.org/standard.html.
(Accessed: 30 December 2018).

JSRC (n.d) NPO Co. Jomon Shiba Inu Research Center. Available at:
http://www.jomon-shiba.com/index_e.html (Accessed: 30 December 2018).

Murnane, C. (2018) Meet the Spectacular Spitz Breeds — American Kennel
Club
, American Kennel Club. Available at:
https://www.akc.org/expert-advice/lifestyle/spitz-dog-breeds/ (Accessed: 29
December 2018).

National Shiba Club of
America (n.d) National Shiba Club of America: About the Shiba. Available
at: http://www.shibas.org/about.html (Accessed: 31 December 2018).

Prisco, A. (2005) Shiba Inu: A Comprehensive Guide To Owning and Caring
For Your Dog
. New Jersey: Kennel Club Books.

Sumber : ThePatriots