Granada: Wilayah Terakhir Umat Islam Di Sepanyol

Bila
angkatan perang Bani Umayyah pimpinan Tariq bin Ziyad tiba di pesisir pantai
Sepanyol pada tahun 711 Masihi, ia sebenarnya menandakan permulaan penguasaan
umat Islam ke atas bumi tersebut. Selama lebih 700 tahun, bumi Sepanyol atau
Andalusia ditadbir dengan baik oleh umat Islam. Tetapi semua itu berubah
selepas kejatuhan Granada ke tangan Raja Ferdinand dan Ratu Isabella dari
Aragon pada tahun 1492 kerana ia turut menandakan bermulanya cita-cita
imperialisme negara-negara Eropah terutama Sepanyol ke luar benua berkenaan
termasuk Dunia Baru dan Kepulauan Nusantara.

Titik awal kejatuhan

Peristiwa
kejatuhan Granada dan Andalusia secara keseluruhannya bukan bermula pada abad
ke-15 tetap sudah bermula sejak abad ke-11 lagi. Ini bermula selepas
kemangkatan khalifah terakhir Bani Umayyah di Andalusia, al-Mansur pada tahun
1002 selepas memerintah Andalusia selama 24 tahun. Sejak itu, Andalusia yang
disatukan di bawah pemerintahan Bani Umayyah berpecah kepada 30 negeri kecil di
mana mereka saling berperang sesama sendiri sehingga menjadi buah catur
kerajaan-kerajaan Kristian yang mahu mendapatkan semula Sepanyol dari tangan
umat Islam.

Perpecahan
sebegini bagaimanapun dapat dibendung semasa era dua buah kerajaan iaitu
Al-Murabitun dan Al-Muwahidun. Kerajaan al-Murabitun di Sepanyol diasaskan oleh
Yusuf bin Tashfin pada tahun 1090. Baginda bukan saja berjaya menyatukan
Sepanyol tetapi juga menjadi duri dalam daging kepada kerajaan-kerajaan
Kristian di Sepanyol ketika itu. Apabila kuasa kerajaan berkenaan semakin
pudar, giliran al-Muwahidun pula mengambil alih tampuk pemerintahan dan
meneruskan rentak cemerlang yang ditinggalkan kerajaan al-Murabitun. Antara
pencapaian mereka ialah berjaya menewaskan pasukan besar Kristian di Alarcos pada
tahun 1195. Tetapi kerajaan berkenaan turut dihantui oleh masalah perpecahan
dalaman dan reputasi mereka musnah selepas tewas di Las Navas de Tolosa pada
tahun 1212, satu kekalahan yang memalukan umat Islam ketika itu.

Sejak
itulah, kerajaan-kerajaan kecil di Andalusia saling berperang sesama sendiri
dan ada ketikanya, sanggup berpakat dengan kerajaan Kristian untuk memerangi
jiran mereka sendiri. Ini mengakibatkan satu per satu negeri jatuh ke tangan
kerajaan-kerajaan Kristian sepanjang abad ke-13. Satu-satunya kerajaan yang
menongkah arus dan dapat bertahan dari asakan mereka ialah Granada dan ia
menjadi tumpuan umat Islam yang melarikan diri selepas wilayah kediaman mereka
jatuh ke tangan kerajaan Kristian Sepanyol. Granada dijatuhkan sedikit demi
sedikit pada tahun 1480-an sebelum akhirnya tumbang pada tahun 1492.

Selepas
kejatuhan banyak wilayah Islam seperti Valencia dan Cordoba di tangan kerajaan
Kristian Sepanyol, Granada yang sudah menikmati pembangunan sehingga menjadi
bandar kelima terbesar di Sepanyol ketika itu menerima lebih ramai penduduk
yang melarikan diri dari keganasan jentera perang kerajaan-kerajaan tersebut.
Dan bagi sesiapa yang melihat keindahan bandar berkenaan, ia mengingatkan ramai
terhadap bandar Damsyik di Syria. Wilayah tersebut pernah dikuasai Bani
Umayyah, Bani Hud dan akhir sekali Dinasti Nasrid yang diasaskan oleh Muhammad
bin al-Ahmar. Dinasti Nasrid memerintah wilayah berkenaan sehinggalah ia jatuh
ke tangan kerajaan Aragon pada tahun 1492. Granada dilihat sukar ditembusi
berikutan kedudukannya di tempat yang berbukit, kawasan pedalaman hanya boleh
dilalui oleh beberapa jalan gunung dan laluan mencabar yang dikawal oleh istana
atau bandar-bandar berkubu. Dan pelabuhannya di kawasan berbatu sepert Malaga
dan Almeria tidak memberi akses mudah kepada sesiapa yang hendak pergi ke
kawasan pedalaman. Bagi penduduk Granada sendiri, mereka bersedia
mempertahankan wilayah berkenaan kerana inilah wilayah terakhir dikuasai umat
Islam di Semenanjung Iberia.

Granada mula
mencapai kegemilangannya semasa pemerintahan Dinasti Nasrid di mana pelbagai
jenis barang tekstil dieksport ke luar, pembinaan saluran pengairan dan
aktiviti pertanian rancak dijalankan. Tetapi semua ini dimulakan menerusi
pembinaan Alhambra oleh pengasas dinasti berkenaan, Muhammad bin al-Ahmar. Pada
awalnya, ia dibina sebagai sebuah kubu pertahanan bersesuaian dengan kata-kata
yang menjadi pegangan baginda, “Tiada penakluk selain Allah.” Ia berkemampuan menempatkan
tentera seramai 40,000 orang. Tetapi lama-kelamaan, selepas menjalani proses
penambahbaikan, ia menjadi tumpuan ramai termasuk Charles V. Semasa meninjau
kawasan sekitar dari tingkap balkoni istana berkenaan, baginda bertitah,
“Betapa malanglah manusia yang kehilangan semua ini!”

Reconquista

Selepas
Gibraltar jatuh ke tangan Ferdinand IV dari Castille pada tahun 1309, baginda
menghalau keluar penduduk Islam dari Gibraltar. Antara yang terkesan dengan
insiden ini seorang lelaki tua yang menghadap baginda sambil berpaut pada
sebatang tongkat. Lelaki berkenaan berkata, “Raja Castille, apalah salah patik
terhadap tuanku? Moyangmu menghalau patik keluar dari Seville. Kemudian nendamu
Alfonso menghalau patik keluar dari Xerez dan ayahandamu menghalau patik dari
Tarifa. Kemudian patik tiba di sini dengan harapan mahu mati dengan aman tetapi
kebencian tetap mengikuti patik. Beritahu patik satu tempat di mana patik boleh
mati tanpa gangguan orang Kristian.” Ferdinand IV dengan biadap bertitah,
“Lintasilah laut lepas itu.” Ini merupakan satu bentuk ekspedisi Reconquista
pertama iaitu mendapatkan semula wilayah Sepanyol dari tangan umat Islam.
Aktiviti Reconquista ini bukan saja menghalau umat Islam keluar dari Iberia
tetapi juga menindas dan mengeluarkan mereka dari Afrika Utara juga.

Jika anda
merasakan tiada sebarang penindasan ke atas umat Islam selepas kerajaan
Kristian kembali berkuasa, anda salah. Di wilayah utara misalnya di mana mereka
menetap di bawah pentadbiran kerajaan Kristian, orang Islam dan Yahudi dipaksa
berlutut setiap kali paderi membawa air suci melalui kawasan mereka. Jika
mereka gagal berbuat demikian, mereka akan dipukul oleh orang ramai. Di Aragon,
sesetengah penduduk bertindak biadap dengan mendirikan rumah di atas kawasan
perkuburan umat Islam yang sudah wujud beberapa lama. Ada yang bertindak lebih
berani dengan menukar kawasan perkuburan sebagai rumah pelacuran. Selain itu,
orang Islam dan Yahudi turut dipaksa memakai kippa dan serban berwarna biru
bersaiz buah oren dan dipaksa menghadap sekumpulan kanak-kanak di mana mereka
dihina dan diketawakan. Semua ini digerakkan oleh polisi gereja ketika itu
sebagai cara mengukuhkan kedudukan Kristian di Eropah terutama Sepanyol.

Reconquista
tidak hanya tertumpu di Sepanyol sahaja tetapi turut dilebarkan ke
negara-negara Afrika Utara. Pada tahun 1260, armada laut Alfonso X menyerang
pelabuhan Sale dan berjaya kembali dengan rampasan harta perang dan tawanan
perang yang ramai. Apa yang dilakukan Alfonso X bukanlah sesuatu yang baru
kerana ia pernah digerakkan oleh Raja Louis IX dari Perancis ke atas Tunisia
dan meneruskan cita-cita Ferdinand III yang mahukan beberapa wilayah Afrika
menjadi milik kerajaan Castille. Gerba dan Qarqannah di Tunisia merupakan
wilayah utama Aragon di Afrika selepas ditawan antara 1284 hingga 1286. Ini
kemudiannya disusuli oleh Ceuta yang jatuh ke tangan Portugal pada tahun 1415,
Melilla (Sepanyol/1497), Oran (1505) dan akhirnya, kawasan-kawasan lain di pesisir
Afrika Utara. Bagi memastikan agenda mereka ini tidak bertindih antara satu
sama lain, Dinasti Castille dan Aragon turut memeterai perjanjian bagi
menentukan wilayah yang tertakluk di bawah pengaruh mereka termasuk Perjanjian
Monteagudo yang dimeterai pada tahun 1291. Perjanjian sebegini menyebabkan
penduduk-penduduk Islam sentiasa terdedah kepada ancaman lanun berlesen yang digerakkan
oleh kerajaan-kerajaan ini.

Bagi
Ferdinand dari Aragon, penguasaan mereka ke atas Granada seharusnya tidak
berhenti di situ saja. Ini menyebabkan angkatan perangnya meluaskan serangan ke
atas Afrika Utara di mana satu persatu wilayah Islam jatuh sama ada ke tangan
Portugal atau Sepanyol. Cita-cita mereka mudah saja, menjarah kekayaan
wilayah-wilayah ini, memaksa penduduknya murtad dan menganut agama Kristian
atau berhadapan prospek dibunuh dan bandar mereka dibakar. Namun,
kerajaan-kerajaan ini berhadapan dengan tentangan sengit penduduk tempatan yang
enggan membiarkan identiti dan agama mereka dirobek begitu saja.

Skrip di
Afrika Utara ini sangat berbeza dengan skrip pertembungan orang-orang Eropah
dengan orang-orang tempatan di Amerika Utara dan Amerika Tengah. Pertembungan
sebegitu mengakibatkan lebih 80 hingga 90% populasi mereka hilang sama ada
dibunuh atau mati akibat wabak penyakit yang dibawa orang Eropah. Tetapi itu
tidak menghalang kuasa-kuasa Eropah memperdagangkan penduduk di Afrika sebagai
hamba di mana sehingga abad ke-18 menyaksikan lebih 100 juta orang Afrika mati
akibat perhambaan. Dan tidak seperti populasi orang tempatan di Amerika Utara
dan Amerika Tengah, penduduk Islam mendapat bantuan bukan saja oleh pemerintah
tempatan tetapi juga satu kuasa baru yang muncul di Anatolia, Turki Uthmaniyah
terutama selepas menawan Constantinople pada tahun 1453. Dari situlah,
berlakunya pertembungan sengit membabitkan kuasa-kuasa ini bukan saja di Laut
Mediterranean tetapi juga sehingga ke rantau Nusantara terutama pada awal abad
ke-16.

Granada

Cubaan
menakluk Granada sudah digerakkan sejak awal abad ke-14 lagi tetapi sentiasa
berakhir dengan kegagalan. Namun, semua itu dicemari bukan saja dengan isu
perebutan takhta membabitkan anggota Dinasti Nasrid tetapi juga godaan yang
dilontarkan kerajaan Castille dan Aragon kepada sesiapa saja yang mahu membantu
mereka. Selain masalah dalaman yang membelenggu Dinasti Nasrid, dinasti ini
juga terganggu akibat pemerintah yang lemah dan pukulan psikologi yang
dilemparkan pihak Kristian menerusi kemenangan mereka dalam Perang Sungai
Salado yang berlaku pada tahun 1340. Kejayaan menawan garison pertahanan Tarifa
dan membunuh ramai tentera Islam merupakan satu kejayaan besar bagi pihak
Castille selepas kemenangan di Las Navas de Tolosa satu kurun sebelumnya. Isu
perebutan takhta dilihat semakin meruncing sehingga ke tahap berlakunya
pembunuhan. Sultan Yusuf I misalnya mangkat akibat dibunuh pada tahun 1354.
Begitu juga dengan individu bertanggungjawab merampas kuasa dari Sultan
Muhammad V, Ismail II yang dibunuh bagi membolehkan baginda berkuasa tanpa
sebarang gangguan.

Selain isu
perebutan takhta dan masalah dalaman yang melanda Granada, Granada turut
diancam oleh pakatan kerajaan Kristian dengan bala tentera Mongol pimpinan
Timurlaine. Rancangan sebegini sebenarnya sudah dirancang pada akhir abad ke-14
dan awal abad ke-15 di mana mereka mengancam kedudukan Granada di Barat
sementara tentera Mongol mengancam kedudukan Uthmaniyah di sebelah Timur.
Mereka sudah berpakat untuk sama-sama menyerang kedua-dua kawasan ini bagi
menamatkan terus duri dalam daging terhadap kedua-dua kerajaan ini. Tetapi
rancangan tersebut terbantut selepas Timurlaine mangkat pada tahun 1405 semasa
merancang menyerang China.

Tetapi, itu
sama sekali tidak mematahkan rancangan Aragon dan Castille untuk memusnahkan
Granada. Mereka mengancam kestabilan wilayah berkenaan dengan melancarkan
serangan hendap, merosakkan tanaman dan mencuri haiwan ternakan penduduk.
Kempen mereka turut disokong oleh pihak gereja yang melarang sebarang jualan
barang terhadap penduduk beragama Islam. Malah, mereka menekankan kempen
penawanan Granada ini sama penting dengan kempen perang salib untuk merampas
Baitulmaqdis yang digerakkan beberapa abad sebelumnya.

Di sebalik
kekalahan dan kehilangan wilayah yang teruk, masih ramai yang berjuang
habis-habisan mempertahankan Granada. Ini menyebabkan Ferdinand dari Aragon
terpaksa menanti selama 10 tahun sebelum berjaya merampas wilayah berkenaan
pada tahun 1492. Dan siapa sangka, pertempuran membabitkan pemerintah Granada,
Boabdil dengan bapa saudaranya, Muhammad al-Zenghal yang terus menentang pihak
Kristian membawa kepada kejatuhan wilayah berkenaan. Boabdil yang dianggap
lemah digula-gulakan dengan janji kewangan untuk mengalahkan angkatan perang
al-Zenghal dan seterusnya melemahkan kekuatan umat Islam yang berkubu di
Granada. Selain digula-gulakan dengan janji kewangan, mereka juga dijanjikan
keamanan dan keselamatan sekiranya menyokong baginda. Tindakan Boabdil ini
mencetuskan perpecahan dalam kalangan umat Islam dan mencetuskan perang saudara
antara mereka.

Tetapi
tindakan Boabdil yang menyerahkan Granada tanpa melawan kepada angkatan perang
Ferdinand dan Isabella merupakan satu detik yang memalukan. Ini kerana baginda
sekali lagi digula-gulakan dengan janji penduduk tidak akan diapa-apakan dan
harta mereka tidak akan dirampas. Selain itu menerusi perjanjian rahsia ini,
baginda juga diberi satu wilayah kecil di Alpujarras di selatan Granada dan
dibayar 30,000 wang emas. Bagi Aisha, bonda Boabdil menganggap apa yang
dilakukan puteranya sesuatu yang memilukan. Maka, terkeluarlah kalimah-kalimah
ini, “Menangislah seperti seorang wanita untuk apa yang kamu tidak boleh
pertahankan seperti seorang lelaki.”

Penindasan dan pengkhianatan

Jika Boabdil
merasakan perjanjian tersebut akan dihormati oleh Aragon dan Castille, baginda
salah. Sejak itu, penduduk Islam dan Yahudi sentiasa ditindas oleh kerajaan
Kristian di mana perjanjian dimeterai sebelum ini boleh diibaratkan seperti
menanam tebu di tepi bibir. Masjid dimusnahkan, penduduk dipaksa murtad dan
memeluk agama Kristian atau diseksa sehingga mati atau murtad. Ia sesuatu yang
amat menyedihkan yang menimpa penduduk Islam di Sepanyol ketika itu. Tetapi, cita-cita
Aragon tidak terhenti setakat Granada dan proses kristianisasi di Afrika Utara
sahaja, baginda mahukan tenteranya mengulangi kejayaan menawan Baitulmaqdis.
Namun, di sebalik kedudukan kerajaan Uthmaniyah yang jauh, itu tidak menghalang
mereka membantu wilayah-wilayah di Afrika Utara yang terjejas dengan serangan
Sepanyol setakat termampu seperti membawa seberapa ramai penduduk Islam ke
tempat yang selamat.

Namun, jika
Sepanyol dan negara-negara Eropah lain merasakan tiada balasan di sebalik
jenayah perang dan kemanusiaan mereka, sangkaan mereka meleset sama sekali.
Pada awal abad ke-16 Masihi, kapal-kapal yang dipimpin Hayruddin Barbarossa
(inspirasi kepada Kapten Barbarossa dalam siri filem Pirates of the Carribean)
menjadi duri dalam daging kepada armada-armada kuasa-kuasa Eropah di
Mediterranean. Salah satu kapten kapalnya bernama Caccia Diabolo melancarkan
serangan mengejut ke atas Valencia pada Oktober 1529 dengan menyelamatkan ramai
penduduk Islam dan menawan ramai penduduk Kristian.

Selain itu,
Sepanyol turut dikejutkan dnegan pemberontakan Alpujaras yang berlaku dari 1568
hingga 1571. Mereka berlawan bermati-matian melawan tentera Sepanyol
semata-mata untuk memelihara akidah mereka dari dipadamkan oleh pihak gereja.
Mereka turut mendapat bantuan dari sukarelawan di Anatolia dan Afrika Utara
selain bantuan logistik dari Algiers. Tetapi pihak Sepanyol juga tidak berdiam
diri dengan meminta bantuan Perancis dan Jerman untuk memerangi
pemberontak-pemberontak ini dan melepaskan banduan-banduan dari penjara untuk
membantu melawan mereka. Dan tindak balas mereka terhadap pemberontak amat
kejam. Selain menjadikan anggota keluarga wanita mereka sebagai hamba, ada juga
yang dibunuh dan dirogol beramai-ramai. Dan jika tempoh perang sudah berakhir
sekalipun, masih ada briged tentera yang meronda tanpa kawalan pegawai
pemerintah mereka dengan merompak rumah penduduk, merosakkan hartanah dan
merogol wanita-wanita. Walaupun Sepanyol berjaya menamatkan pemberontakan
tersebut, harga yang dibayar terlalu mahal iaitu maruah dan moraliti mereka sebagai
sebuah negara.

Pada awal
abad ke-17, kumpulan-kumpulan terakhir umat Islam Sepanyol dikeluarkan pada
tahun 1609 dan 1610. Mereka ini sentiasa diprovokasi untuk mengeluarkan
perkataan tertentu yang membolehkan mereka ditahan, diseksa, diusir atau dibunuh.
Kebanyakan mangsa kekejaman polisi gereja yang tiada minat menunjukkan
toleransi terhadap penganut agama lain dibakar hidup-hidup. Di Valencia saja
misalnya pada tahun 1531, 58 orang dibicarakan di mahkamah atas kesalahan
murtad dengan 45 tertuduh dibakar hidup-hidup, kebanyakan mereka merupakan
orang Islam. Dari tahun 1549 hingga 1622, pihak gereja bertanggungjawab
membunuh 1,817 orang lelaki dan 758 perempuan di Zaragoza. Kesalahan mereka
bagi orang Islam hanyalah kerana mematuhi prinsip syariah yang menjadi teras
agama. Hernando de Palma misalnya dituduh mengajar dan mengamalkan ajaran Islam
oleh pihak gereja sebelum diseksa dan akhirnya dibakar di Toledo pada tahun
1606.

Jenayah
kejam sebegini tidak datang tanpa sebarang balasan. Terima kasih kepada sikap
semberono kerajaan-kerajaan ini mengakibatkan Sepanyol sekali lagi ditimpa
kesukaran kerana tidak tahu bagaimana menguruskan kemudahan yang ditinggalkan
pemerintah-pemerintah Islam sebelumnya. Bahkan, ramai cendekiawan yang
menyifatkan gerakan inkuisisi yang digerakkan gereja bukan saja membunuh
perkembangan ilmu tetapi juga memusnahkan peluang negara dari terus mara ke
hadapan. Mungkin atas sebab itulah, ada yang sanggup menyeludup buku-buku hasil
ilmuan Islam terdahulu terutama yang lahir di Sepanyol sebagai bahan rujukan
mereka seperti di Mexico walaupun sedar ia boleh mengakibatkan mereka dihukum
mati.

SUMBER

Zaimeche,
Salah. MuslimHeritage.com. Granada: The Last Refuge of Muslims in Spain. http://muslimheritage.com/article/granada

Sumber : ThePatriots