Mozilla Bereksperimen Dengan Paparan “Iklan” Pada Halaman Tab Baru Firefox

Mozilla Firefox merupakan salah satu pelayar web alternatif untuk para pengguna, dan digunakan dengan meluas oleh ramai pengguna. Walaubagaimanapun, sejak beberapa hari yang lepas, ia dilihat Mozilla bereksperimen dengan paparan iklan pada halaman tab baru Firefox – sekaligus membuatkan ramai pengguna yang tidak menyukainya.

Salah satu perkara yang membuatkan ramai tidak menyukai paparan iklan ini adalah kerana Mozilla tidak memaklumkan hal berkenaan terlebih dahulu – berbeza dengan paparan artikel daripada Pocket sebelum ini yang diterangkan terlebih dahulu oleh pembangun pelayar web berkenaan.

Firefox Snippets

Eksperimen ini dipanggil dengan nama “Snippet”. Daripada apa yang diketahui, Mozilla bereksperimen dengan memaparkan info daripada perkhidmatan Booking.com – dan iklan berkenaan ditujukan kepada pengguna di Amerika Syarikat.

Pihak Mozilla sendiri mengatakan pengiklanan berkenaan adalah berbentuk eksperimen, dan tiada sebarang data pengguna yang dikongsikan dengan pengiklan. Selain itu, bercakap mengenainya kepada VentureBeat, Mozilla mengatakan ia bukanlah pengiklanan berbayar.

Buat masa ini, eksperimen ini dilihat tidak memberikan impak kepada pengguna tempatan. Bagi pengguna yang tidak mengemari hal ini, anda boleh mematikan ciri Snippets ini melalui halaman tetapan Firefox. Anda hanya perlu ke halaman tetapan, memilih Options > Home > dan nyah-tanda Snippets.

Sumber : Amanz