Badan USB Mengumumkan Program Pengesahan USB-C Bagi Menjamin Keselamatan Peranti

Apa yang kami inginkan pada tahun 2019 ialah tiada lagi peranti menggunakan kabel mikroUSB. Sepatutnya satu kabel sahaja iaitu USB-C digunakan pada kesemua peranti yang menyokong format pengecasan USB PD. Namun kita tahu setiap pengeluar memilih format pengecasan sendiri dan mengakibatkan pembelian kabel menjadi sedikit rumit.

USB Implementers Forum (USB-IF) ialah badan yang bertanggungjawab menuntukan pelbagai piawaian USB. Mereka telah mengumumkan program pengesahan untuk USB-C bagi tujuan keselamatan peranti. Program pengesahan ini akan memastikan kabel USB-C dan pengecas memenuhi protokol kriptografi yang ditetapkan. Ini sekaligus mengurangkan risiko perisian serta  perkakasan hasad yang cuba mengeksploitasi sambungan USB.

Protokol keselamatan 128-bit ini akan melakukan tugas sebelum data dipindahkan atau arus disalurkan ke dalam peranti. Pihak USB-IF memilih  DigiCert untuk menguruskan perkhidmatan PKI dan sijil pengesahan program pengesahan USB-C ini.

Sumber : Amanz