Mozilla Akan Mengemaskini Klien Emel Thunderbird Dengan Antaramuka Baru, Sokongan GMail Lebih Baik

Mozilla ThunderbirdMozilla hari ini telah berkongsi beberapa perancangan mereka dalam terus menyokong komuniti disebalik klien emel popular mereka, iaitu Thunderbird. Menurut Mozilla, pada tahun ini mereka akan menambah beberapa staf baru memfokuskan projek Thunderbird, selain pada masa yang sama membawakan beberapa pembaharuan pada klien emel berkenaan.

Salah satunya adalah memfokuskan kepada antaramuka klien emel berkenaan. Selepas sekian lama, Mozilla mengatakan Thunderbird akan dikemaskini dengan antaramuka baru, selain turut mengintegrasikan penggunaan pelbagai teknologi terkini dalam memastikan klien emel berkenaan beroperasi dengan pantas.

Disamping itu, Thunderbird juga akan memfokuskan dalam menambah sokongan GMail yang lebih baik. Thunderbird juga disasarkan dapat diintegrasikan dengan sistem notifikasi sesuatu sistem operasi, sekaligus memberikan pengalaman penggunaan yang lebih baik.

Buat masa ini, bilakah ciri-ciri ini akan diperkenalkan masih tidak diketahui lagi. Kita mungkin mendengar lanjut daripada Mozilla berkenaan Thunderbird dalam bulan-bulan akan datang.

Sumber : Amanz