China Menjadi Negara Pertama Berjaya Mendaratkan Proba Pada Permukaan Sisi Jauh Bulan

Bulan Disember lalu, China melancarkan misi untuk mendaratkan sebuah proba angkasa buat pertama kalinya pada permukaan sisi jauh bulan. Proba yang diberi nama Chang’e 4 ini telah berjaya melakukan misi pendaratan pada jam 10:26 pagi waktu Beijing dengan selamat menurut laporan Xinhuanet.

Ia kini akan melakukan kajian ke atas pada kawasan Kawah Van Karman. Mesin spektrometer dan radar penebus tanah akan memberikan maklumat saintifik yang kaya dengan data mengenai sisi jauh bulan yang tidak diteroka selama ini. Sebuah kenderaan kawalan jauh seberat 140 kilogram pula akan melakukan penerokaan ke kawasan berhampiran tapak pendaratan.

Bagi membolehkan maklumat dari proba dihantar pulang ke bumi, satelit Queqiao telah dilancarkan pada Mei lalu. Ia akan menjadi pengantara isyarat di antara Chang’e dan pusat kawalan di bumi. Seterusnya pada tahun 2019, proba Chang’e 5 pula akan dihantar oleh China ke bulan bagi menghantar sampel kembali ke bumi.

Kesemua misi saintifik ini akan membantu China untuk merealisasikan misi menghantar angkasawan seawal 2025. Ini akan menjadi kali pertama manusia pulang ke bulan sejak 1972. Amerika Syarikat turut akan menghantar semula manusia ke bulan sebagai persiapan misi ke Marikh, Rusia mengumumkan akan melakukan perkara yang sama pada 2029.

Sumber : Amanz