Paten Terkini Huawei Memberikan Petunjuk Mate 30 Mungkin Dilengkapi Lima Kamera Utama

Huawei menjadi pengeluar yang mempelopori rekaan peranti yang mempunyai tri-kamera tahun lalu menerusi P20 Pro. Pada awalnya ia menjadi bahan jenaka tetapi kemampuan kamera P20 Pro dan Mate 20 Pro membuktikan penggunaannya bukanlah gimik murahan. Kami sendiri meletakkan Mate 20 Pro sebagai peranti terbaik 2018 kerana kemampuan kameranya yang terbaik.

Tahun ini terdapat kemungkinan lebih dari tiga kamera utama akan digunakan pada Mate 30. Huawei telah mempatenkan rekaan kerangka dengan lubang kamera yang lebih panjang berbanding yang digunakan pada Mate 20 Pro dan Mate 20 X. Adalah tidak mengejutkan sekiranya Mate 30 akan hadir dengan konfigurasi lima kamera pula pada bahagian belakang.

Rekaan Nokia 9 PureView yang tertiris beberapa hari lalu mengesahkan penggunaan lima kamera. Dua kamera tambahan berkemungkinan besar adalah sensor TOF dan sebuah lagi untuk gambar yang diambil pada dedahan berbeza. Imej pelbagai dedahan ini kemudian boleh digabungkan bagi menghasilkan gambar yang kelihatan lebih terang.

Sumber : Amanz