Imej Pengolokan Moto Z4 Play Tertiris – Satu Kamera, Bertakuk Kecil Dan Sokongan Modular Kekal

Telefon pintar Motorola kini dimiliki oleh Lenovo dan siri Moto Z adalah siri modular mereka di mana modul-modul perlu disambung melalui sambungan magnetik. Model terakhir Moto Z yang dilancarkan adalah Moto Z3 dan Moto Z3 Play dengan sokongan modul 5G.

Kini, model terbaru Moto Z tertiris iaitu Moto Z4 Play. Disebabkan ia adalah ‘Play’ jadi spesifikasi peranti ini adalah spesifikasi pertengahan. Apa yang tertiris ini adalah imej pengolokan sahaja, jadi tiada butiran jelas mengenai spesifikasi penuh peranti ini. Moto Z4 Play ini dikatakan akan menggunakan skrin 6.2-inci dengan rekaan takuk kecil, kamera utama satu lensa, kekal dengan sokongan modular dan ura-ura mengatakan ia akan mempunyai port bicu audio.

Rekaan peranti ini boleh dikatakan sedikit janggal, kerana sudah mempunyai bingkai tebal – tetapi kekisi kamera masih cuba dimuatkan di bahagian atas peranti seakan peranti ini mempunyai rekaan nirbingkai. Menurut XDA, selain daripada Moto Z4 Play – peranti mercu Moto Z4 dengan kod nama ‘Odin’ mungkin turut akan dilancarkan dengan Snapdragon 855.

Sumber : Amanz