Cip Samsung Exynos Auto V9 Diumumkan Untuk Sistem Infohibur Kenderaan – Bakal Digunakan Oleh Audi

Kita semua mempunyai peranti pintar di tangan dan saya yakin ianya lebih canggih berbanding sistem audio visual yang ditemui di dalam kereta yang dipandu majoriti pembaca Amanz. Jadi tidak mengejutkan wujud keperluan sistem audio visual yang mampu menandingi telefon pintar sedia ada. Samsung hari ini mengumumkan cip Exynos Auto V9 yang direka khusus untuk sistem infohibur kenderaan masa hadapan.

Exynos Auto V9 ialah cip pertama yang dikeluarkan mereka khusus untuk tujuan ini. Cip yang dihasilkan menggunakan teknologi 8nm ini dilengkapi lapan teras Cortex-A76 pada kelajuan 2.1 GHz, dan cip grafik Mali G76. sokongan audio HiFi 4 dan sebuah NPU untuk tujuan kecerdasan buatan.

Walaupun dibangunkan untuk sistem audio visual kenderaan, ia turut boleh menjadi otak kepada sistem pintar kenderaan. Ia boleh menyokong paparan sehingga enam skrin dan 12 kamera pada kenderaan. Audi telahpun memilih Exynos Auto V9 sebagai cip yang bakal digunakan pada sistem infohibur kenderaan mereka yang dijangka tiba pada tahun 2021.

Sumber : Amanz