Samsung Memperkenalkan Cip Exynos Auto Pertama – Akan Hadir Bersama Kereta Audi Menjelang 2021

Samsung hari ini telah memperkenalkan cip pemprosesan Exynos pertama yang dijenamakan khusus untuk arena automotif, iaitu Exynos Auto V9. Cip pemprosesan ini akan hadir secara rasminya melalui sistem inforia pada kenderaan Audi terpilih sekitar 2021 kelak.

Exynos Auto V9 hadir dengan rekaan 8nm, dimana ia dilengkapi cip ARM Cortex-A76, sokongan GPU Mali G76, selain sokongan DSP HiFi 4 untuk audio. Cip ini juga turut menyertakan sokongan NPU, selain teras khusus untuk piawaian Automotive Safety Integrity Level (ASIL)-B.

Samsung Exynos Auto

Dengan cip pemprosesan ini, Samsung menjanjikan sokongan audio yang baik melaluinya, selain turut membolehkan sesuatu kenderaan itu dilengkapi dengan sekitar 6 panel paparan dan sehingga 12 kamera padanya.

Melalui cip ini juga, Samsung kini bukan sahaja menawarkan cip pemprosesan yang dioptimasikan untuk peranti mudah-alih, tetapi juga untuk kenderaan. Dengan lebih banyak kenderaan dan sistem inforia pintar di atas jalan raya dari tahun ke tahun, semestinya Samsung dan pelbagai pengeluar cip lain tidak ingin ketinggalan dalam arena berkenaan.

Selain cip, Samsung juga sebelum ini telah mengumumkan kerjasama penawaran panel OLED untuk Audi.

Sumber : Amanz