LG Mempatenkan Jam Tangan Pintar Dengan Sokongan Kamera Modular

LG adalah syarikat yang terkenal yang menghasilkan telefon pintar dengan kemampuan audio yang hebat. Seperti pesaing lain, LG turut menghasilkan jam tangan pintar dan turut menggunakan Wear OS sebagai pilihan sistem operasi.

Terkini, LG dilihat telah mempatenkan sepasang jam tangan pintar dengan sokongan kamera. Tetapi jam tangan pintar ini bukanlah seperti Samsung Galaxy Gear yang hadir 5 tahun dahulu. Tetapi apa yang LG patenkan ini, sokongan kameranya adalah melalui sambungan modular. Terdapat empat jenis kamera modular untuk jam tangan pintar LG ini; yang pertama adalah sambungan pada bahagian tali jam, kedua terbina pada tali jam, ketiga kamera pada tali jam itu boleh ditanggalkan dan keempat adalah melalui sambungan klip.

Fokus LG pada kamera untuk jam tangan pintar ini bukannya untuk mengambil gambar, tetapi lebih kepada mencari informasi. Bayangkan ia adalah Google Lens untuk jam tangan pintar. Menurut imej yang dipatenkan, jika jam tersebut merakam gambar kek – ia boleh memberitahu jumlah kalori, atau jika mengimbas kod QR boleh terus lihat informasi dan mengimbas bar kod untuk melihat tawaran atau promosi sesuatu produk.

Jam tangan pintar ini hanyalah paten buat masa ini, tidak pasti jika paten ini akan jadi realiti atau akan terkubur di dalam arkib paten. Apa-apa pun konsep ini agak menarik, lebih menarik jika kamera itu terus diintegrasi dengan Google Lens.

Sumber : Amanz