ASUS Memperkenalkan Siri Komputer Padat ProArt PA90 Untuk Profesional Kreatif – Hadir Dengan Spesifikasi Berkuasa

Siri komputer padat ASUS ProArt ialah siri komputer yang hadir dengan komponen-komponen berkuasa yang dibina khusus untuk golongan profesional kreatif yang melakukan tugasan-tugasan seperti rekaan industri, seni bina dan sebagainya.

Terkini, pihak ASUS baru sahaja mengumumkan model terbaru di dalam siri komputer ProArt ini, iaitu ASUS ProArt PA90, sebuah komputer padat yang dilengkapi dengan komponen-komponen yang terbaru dan berkuasa.

Ia dikuasakan oleh pilihan CPU Intel Core i9 atau Core i7 generasi kesembilan, memori DDR4 sebanyak 64GB, storan gabungan SSD dan cakera keras berkapasiti tinggi dan juga kad grafik NVIDIA Quadro yang biasanya digunakan untuk tugasan-tugasan pengolahan profesional.

Dalam pada itu, komputer ProArt 90 ini juga hadir dengan dua sambungan Thunderbolt 3 yang hadir dengan kelajuan penghantaran data setinggi 40Gb/s, yang cukup pantas untuk menghantar filem resolusi 4K dalam 30 saat.

Dari segi penyejukan pula, PA 90 ini dimuatkan dengan sistem penyejukan cecair yang menyejukkan kedua-dua CPU dan GPU komputer ini, dan hadir dengan kipas penyejuk yang mengalirkan haba keluar daripada komputer dengan senyap.

Ia juga hadir dengan sistem pengaliran udara baru dimana jika suhu CPU meningkat melebihi 80 darjah Celcius, terdapat ruang pengudaraan yang akan dibuka untuk membolehkan lebih banyak lagi haba dikeluarkan.

Buat masa ini, ASUS masih belum mengumumkan bilakah komputer ASUS ProArt 90 ini akan dijual, mahupun tanda harganya.

Sumber : Amanz