Dunia Tanpa Tembok II: Nasib Etnik Uyghur

Selain persaingan geopolitik
China dan negara-negara serantau, isu-isu dalaman China juga sering menjadi
tumpuan orang ramai, terutamanya isu yang ada kaitan dengan rekod hak asasi
manusia China.

Pada tahun 2018, sekali lagi
isu mengenai hak asasi manusia penduduk etnik Uyghur di Xinjiang menjadi isu. Laporan
beberapa media antarabangsa seperti Reuters yang mendakwa PBB mengesahkan penahanan
1 juta etnik Uyghur telah oleh kerajaan China telah mencetuskan protes terhadap
China, bersolidariti atas nasib umat Islam.

Namun dakwaan tersebut bukanlah
datang dari PBB secara rasmi. Ia dibangkitkan oleh Gay McDougall semasa sesi semakan
Committee on the Elimination of Racial Discrimination iaitu semakan
tentang kepatuhan China terhadap ICERD yang diadakan pada 10 Ogos. McDougall
sendiri tidak spesifik tentang sumber. Tapi cerita itu telah disebarkan oleh
kumpulan-kumpulan seperti Voice of America dan Radio Free Asia
yang merupakan media propaganda AS.

Laporan-laporan ini mendakwa
bahawa punca berlakunya penahanan dan penyeksaan terhadap Uyghur kerana
kepercayaan mereka. Mereka melihat China di bawah pemerintahan Xi cuba
mewujudkan kembali kultus personaliti seperti di zaman Mao Zedong (1949-1976)
yang mengharamkan ideologi selain komunisme. Jadi, etnik Uyghur sebagai umat
Islam menjadi sasaran utama kempen brainwashing yang dianjurkan oleh
Parti Komunis. Mereka dipaksa untuk meninggalkan amalan agama seperti bersolat,
berpuasa dan tidak memakan makanan haram.

Namun kejadian yang sama tidak
berlaku kepada umat Islam yang lain, misalnya Hui yang merupakan majoriti di
daerah Ningxia. Mungkin kerana ia dilakukan secara rahsia, tapi sebab yang
lebih utama ialah kerajaan China tidak memusuhi umat Islam tetapi lebih kepada
memerangi gerakan separatis Uyghur yang sudah lama berakar di Xinjiang.

Xinjiang merupakan salah satu
daripada 5 kawasan yang diberi taraf autonomi bersama-sama Mongolia Dalaman,
Tibet, Guangxi, Ningxia kerana majoriti penduduknya ialah etnik Uyghur. Namun
semangat separatis telah lama wujud menuntut kemerdekaan Xinjiang, dan di
antara gerakan yang paling terkenal ialah Pergerakan Kemerdekaan Turkestan
Timur (East Turkestan Independence Movement). 

Kalau Turki ada masalah
separatis Kurd, Rusia ada masalah separatis Chechen, maka China ada masalah
Uyghur. Orang Uyghur melihat diri lebih kepada etnik Turkik yang tidak
berkongsi identiti dengan orang Han iaitu etnik majoriti China. Mereka berbeza
dengan Hui yang telah berasimilasi dengan Han dari segi budaya malah rupa
fizikal. Nama “Uyghur” sebenarnya dicipta oleh Sheng Shicai, warlord
yang memerintah Xinjiang dari tahun 1933-1944.

Malah, sejarah pemerintahan
China di Xinjiang hanya bermula pada tahun 1759. Dinasti Qing telah
menggabungkan Dzungaria dan Tarim Basin sebagai satu entiti dan dinamakan
sebagai Xinjiang yang bermaksud “sempadan baharu”.

Pada penghujung Dinasti Qing,
Yaqub Beg dari Kokand di Asia Tengah telah mendirikan negara bernama Yettishahar
Uygʻur Davlati (1864-1877) di
Xinjiang, mengambil kesempatan ke atas pemberontakan Hui dari tahun 1862-1877
di sebelah Ningxia, Shaanxi dan Gansu. Yaqub Beg mendapat sokongan daripada
Rusia dan Britain yang masing-masing ingin memaksimakan pengaruh mereka ke
dalam Asia Tengah. Malah Yaqub Beg juga diiktiraf sebagai amir oleh Khalifah di
Istanbul atas dasar pan-Turkisme. Namun China telah berjaya menawan semula
Xinjiang pada tahun 1878.

Hasrat kemerdekaan telah
membawa kepada penubuhan Republik Turkestan Timur Pertama pada tahun 1933-1934
dan Republik Turkestan Timur Kedua pada tahun 1944-1949. Republik kedua
ditubuhkan dengan bantuan Soviet yang ketika itu cuba memperluaskan kuasanya ke
dalam China yang berada di bawah kerajaan nasionalis. Selepas kerajaan komunis
ditubuhkan di China pada 1949, Soviet tidak lagi bercampur tangan dalam urusan
Xinjiang.

Namun gerakan pemisah tidak
pernah berhenti. Untuk menyelesaikan masalah, kerajaan China memperkenalkan
dasar Great Leap West pada tahun 1999 yang sebenarnya ialah Hanifikasi
iaitu pemindahan penduduk Han ke Xinjiang dengan tujuan untuk mengurangkan
identiti Uyghur. Namun tindakan China hanya mengundang bantahan yang lebih
keras. Insiden keganasan menjadi semakin kerap malah kumpulan militan yang
berkaitan dengan Al-Qaeda juga mula meresap masuk ke Xinjiang.

Atas sebab geopolitik, China tidak akan sesekali membenarkan Xinjiang merdeka. Ini kerana Xinjiang merupakan kunci kepada China untuk menjayakan strategi dua lautan (two-oceans strategy). Strategi dua lautan ini bertujuan untuk menjadikan Lautan Hindi sebagai kawasan perairan kepada Lautan Pasifik di bawah kawalan AS. 

Oleh kerana China tidak
bersempadanan dengan Lautan Hindi, maka China perlu bergantung kepada dua
negara yakni Pakistan dan Myanmar untuk mencapai Lautan Hindi. Itu sebabnya
China mempunyai hubungan khas dengan dua buah negara ini. Melalui hubungan khas
antara China dan dua negara ini, China telah pun membina infrastruktur di Pakistan
dan Myanmar sebelum OBOR diumumkan.

Mengikut strategi dua lautan
ini, sekiranya laluan China di sebelah Pasifik disekat, China akan terus
menggunakan pelabuhannya di Gwadar, Pakistan dan pelabuhan Sittwe, Myanmar sebagai
pelabuhan. Barangan import tersebut seterusnya akan diangkut melalui jalan raya
Karakorum yang menyambungkan Pakistan dan Xinjiang, China atau jalan darat yang
menyambungkan Myanmar dan Yunnan, China.

Bayangkan kalau tiada Xinjiang,
bagaimana strategi dua lautan China boleh berjaya. Soal kedaulatan Xinjiang berkaitan
dengan hidup dan mati China, justeru isu Xinjiang amat sensitif dan dilihat
sebagai perkara  non-negotiable bagi
China. 

Tidak kira samada tuduhan mengenai pembersihan etnik ke atas Uyghur itu fakta atau rekaan oleh pihak-pihak yang berkepentingan seperti Turki yang cuba memperluaskan kuasa menerusi sentimen pan-Turkisme (keserumpunan Turki dan Uyghur) atau Jepun yang cuba mensabotaj China di luar dan dalam, China tidak sesekali akan kompromi dalam isu Xinjiang. Isu ini akan terus menghantui China selagi China menjumpai formula yang dapat menyelesaikan masalah identiti Uyghur yang menjadi punca persengketan.


Ini ialah petikan artikel daripada buku DUNIA TANPA TEMBOK II. Untuk membaca lebih banyak ulasan-ulasan kritikal dan ilmiah di atas berkenaan isu semasa, anda boleh dapatkan DTT II pada pautan (Beli:
https://goo.gl/xe4G2u).

Cover Dunia Tanpa Tembok II

Sumber : ThePatriots