Cili: Kepedasan Yang Digilai

Baru-baru ini negara sedikit gempar dengan berita
lambakan cili import dari Vietnam dalam pasaran negara meskipun ia sebenarnya
telah diharamkan sejak 14 September 2018 yang lalu. Pihak kerajaan sebenarnya
telah menggantung permit import cili merah Vietnam selepas ia didapati
mengandungi sisa bahan racun perosak melebihi tahap yang dibenarkan, namun,
cili Vietnam ini masih tetap diseludup masuk ke dalam negara dan dijual secara
meluas. Malah, permintaan para pelanggan terhadap cili import dari Vietnam ini
masih lagi tinggi dan keadaan ini sebenarnya adalah kerana harga cili import
yang jauh lebih rendah berbanding dengan harga cili tempatan.

Persoalannya kini, mengapakah masyarakat kita
sangat memerlukan cili sebagai salah satu bahan utama dalam proses penyediaan
makanan? Malah sanggup untuk mencari jenis cili yang pedas seperti cili Vietnam
yang telah diharamkan sebagai perencah utama dalam makanan.  Artikel ini akan mengupas serba sedikit
mengenai sejarah kemunculan cili, bagaimana untuk menentukan tahap kepedasan
sesuatu cili serta pelbagai jenis cili dari seluruh dunia.

Cili merupakan suatu bahan yang sangat
penting dalam penyediaan makanan di Malaysia, malah ia juga merupakan antara bahan
utama dalam kebanyakan masakan di negara-negara di Asia Tenggara. Penggunaan
cili ini adalah berfungsi untuk memberi rasa kepedasan yang hangat, serta
menambahkan keenakan makanan yang disediakan. Cili bukan sahaja dimakan dalam
bentuk yang segar, malah turut diproses untuk dijadikan pes dan serbuk serta
dijerukkan bagi menjamin ketahanannya. 

Sejarah cili

Secara ringkasnya, sejarah cili ini dikatakan
telah bermula sejak 7000 tahun sebelum Masehi, iaitu di Mexico. Namun, penemuan
mengenai penanaman cili dikatakan hanya bermula pada 3500 tahun sebelum Masehi
dan kebanyakan rakyat Mexico ini menggunakan cili bagi menyedapkan lagi makanan
mereka. Cili telah dibawa dan disebarkan ke seluruh dunia oleh Christopher
Columbus dan seterusnya menjadi suatu bahan utama di seluruh dunia.

Cili telah menjadi suatu bahan yang sangat
penting kepada masyarakat di Eropah, dan pada tahun 1498, seorang pengembara
berbangsa Portugis, iaitu Vasco da Gama yang tiba di India, telah membawa cili
ini bersamanya. Pada hari ini, negara India telah menjadi negara pengeluar dan
pengeksport utama bagi cili ke negara-negara seperti Amerika Syarikat, Kanada,
Jerman dan Arab Saudi. Malah, sebahagian besar daripada cili paling pedas di
dunia juga ditanam dan dihasilkan di India.

Di sebalik kepedasan cili

Cili, merupakan suatu tumbuhan yang berasal
daripada keluarga Solanaceae, dan spesisnya pula dinamakan sebagai Capsicum
annuum
(C. annuum). Cili, atau dalam masyarakat kita turut dikenali
sebagai lada atau cabai, mengandungi sejenis komponen aktif yang dinamakan
sebagai capsaicin, berfungsi untuk memberikan sensasi rasa pedas kepada cili.
Capsaicin (8-methyl-N-vanillyl-6-nonenamide) adalah suatu komponen
yang tidak berwarna (colorless) dan tidak berbau (odorless) di
mana kebiasaannya ia ditemui pada membran yang memegang biji cili tersebut. Capsaicin
juga sebenarnya boleh ditemui dalam tumbuhan herba yang lain namun dalam
kuantiti yang sedikit seperti oregano, kayu manis (cinnamon) dan
cilantro.  

Tahap kepedasan sesuatu jenis cili ini boleh ditentukan
dengan menggunakan skala ujian Scoville yang telah diasaskan oleh Wilbur L. Scoville (1865-1942). Ujian bagi
menentukan kepedasan yang dinamakan sebagai Scoville Organoleptic Test
telah dicipta oleh Scoville pada tahun 1912 sewaktu beliau bertugas dengan
sebuah syarikat farmaseutikal, iaitu Parke Davis Pharmaceutical.

Contoh bagi ujian yang dijalankan terhadap cili ini ialah seperti sweet pepper yang langsung tidak mengandungi komponen capsaicin di dalamnya, mempunyai tahap kosong (zero) Scoville, manakala bagi cili yang mempunyai kepedasan yang tinggi, seperti cili habanero, jumlah tahap Scoville yang dicatatkan ialah sebanyak 300,000 dan ke atas.

Pengesanan menggunakan ujian Scoville ini sebenarnya banyak bergantung kepada jenis cili segar yang digunakan. Malah, kesegaran sesuatu jenis cili ini pula ditentukan oleh faktor-faktor lain seperti suhu penanaman, jumlah pendedahan terhadap sinaran matahari, jenis tanah serta jumlah dan jenis baja yang digunakan. Pada masa kini, jumlah kepekatan dan tahap capsaicin yang terdapat di dalam sesuatu jenis tanaman banyak ditentukan menggunakan kaedah saintifik, contohnya dengan menggunakan HPLC (High Pressure Liquid Chromatography).

Senarai cili paling pedas di dunia

Berdasarkan rekod terbaru yang dicatatkan pada tahun
2018, senarai cili paling pedas di dunia adalah mengikut jumlah tahap Scoville
Heat Unit
(SHU) yang mereka miliki. Ini merupakan lima jenis cili yang
dikatakan paling pedas di dunia:

  1. Carolina Reaper

Cili ini mempunyai tahap kepedasan sebanyak 2,200,000 SHU dan telah dinobatkan sebagai cili paling pedas di dunia pada hari ini. Carolina Reaper sebenarnya telah pun diangkat sebagai cili paling pedas di dunia pada tahun 2013, namun setelah diuji kembali, didapati tahap kepedasannya semakin meningkat dan sekali lagi menduduki tangga pertama dalam senarai cili terpedas dunia ini.   

  • Trinidad Moruga Scorpion

Trinidad Scorpion MorugaNama panjang bagi cili ini ialah Trinidad Scorpion Moruga Blend dan berasal
dari tanah Moruga di Trinidad and Tobago. Jumlah kepedasannya yang dicatatkan
ialah sebanyak 2,009,231 SHU, dan seterusnya menduduki tangga kedua dalam
senarai lada paling pedas di dunia.

  •  7 Pot Douglah

Cili ini dicirikan dengan warna coklat gelap atau ungu gelap dengan
kehadiran biji seperti jerawat pada permukaan luarannya. Tahap kepedasan yang
dicatatkan bagi cili ini ialah sebanyak 1,853,936 SHU yang melayakkannya menduduki
tangga ketiga dalam senarai cili paling pedas di dunia. Cili ini yang turut
dikenali sebagai 7 Pot Brown juga berasal dari Trinidad.

  • 7 Pot Primo

Usah keliru dengan namanya yang menyerupai 7 Pot Douglah, serta rupanya
yang hampir menyamai Carolina Reaper, kerana 7 Pot Primo ini hanyalah mempunyai
tahap kepedasan yang jauh lebih rendah berbanding keduanya, iaitu sebanyak
1,469,000 SHU. Cili jenis ini jauh lebih kecil berbanding dengan Carolina
Reaper dan juga berasal dari Trinidad.

  • Trinidad Scorpion ‘Butch
    T’

Pada tahun 2011, cili ini telah menduduki tempat pertama dalam senarai cili
paling pedas di dunia. Cili yang berasal dari daerah Crosby, Mississippi ini
mempunyai tahap kepedasan sebanyak 1,463,700 SHU dan pada tahun 2018 ini, cili
ini tersenarai sebagai cili kelima paling pedas di dunia.

Cara mengurangkan rasa pedas

Bagi mereka yang kurang menggemari rasa pedas
atau tidak tahan dengan rasa pedas, maka terdapat beberapa cara yang boleh
dilakukan bagi menghilangkan atau mengurangkan rasa pedas selepas menjamah
sesuatu makanan. Antaranya:

  1. Minum susu – protein yang terdapat di dalam susu boleh membantu untuk
    mengurangkan rasa pedas pada mulut anda.
  2. Pengambilan nasi putih
    atau roti – nasi putih atau roti boleh membantu untuk menyerap rasa terbakar
    akibat daripada capsaicinoid.
  3. Pisang – pisang juga sebenarnya
    membantu untuk mengurangkan rasa pedas yang anda alami

Kesimpulan

Cili, atau apa jua panggilannya, sama ada
lada atau cabai merupakan antara bahan utama yang sangat digemari dalam masakan
Asia. Ada sesetengah masyarakat di Asia berlumba-lumba untuk menjamah masakan
yang paling pedas dengan jumlah cili paling banyak hanya kerana menggemari
sensasi pedas yang dihasilkan oleh cili tersebut. Kerana inilah, cili kekal
sebagai salah satu bahan yang amat signifikan dalam apa jua jenis kulinari di
dunia.

Rujukan

Pawar, S. S., Bharude,
N. V, Sonone, S. S., Deshmukh, R. S., Raut, A. K., & Umarkar, A. R. (2011).
Chillies as food, spice and medicine: A Perspective. International Journal
of Pharmacy and Biological Sciences
, 1(3), 2230–7605.

Rohrig, B. B. (2014).
Hot Peppers: Muy Caliente! ChemMatters, (January), 6–8.

Sape, S. T., &
Owk, A. K. (2008). A Comprehensive Study On Chilli Peppers (Capsicum L.).
Saarbrucken, Deutschland: LAP LAMBERT Academic Publishing.

Sumber : ThePatriots