Amaran Cuaca Buruk Di Terengganu Ditarik Balik

Keadaan cuaca di Terengganu hari ini semakin pulih dan Jabatan Meteorologi Malaysia menarik balik amaran angin kencang dan laut bergelora di kawasan perairan Terangganu.

Ketua Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Lt Kol Che Adam A Rahman berkata Terengganu tidak lagi menerima impak daripada ribut tropika Pabuk kerana dilapor menuju ke Teluk Benggala di Asia Selatan.

Amaran cuaca buruk (peringkat waspada) oleh Jabatan Meteorologi Malaysia juga ditamatkan pada pukul 10 pagi ini, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada Rabu dan Khamis, beberapa kawasan di Terengganu dibadai angin kencang, tempias daripada ribut tropika Pabuk itu, mengakibatkan beberapa pokok tumbang di daerah Kuala Terengganu dan beberapa buah rumah di daerah Kuala Nerus mengalami kerosakan.

“Hasil pemantauan pagi ini mendapati persekitaran pantai pulih seperti biasa, malah orang ramai mula beriadah berhampiran pantai kerana cuaca semakin baik berbanding semalam,” katanya.

— BERNAMA

Sumber : SiakapKeli