World War Z: The Tenth Man Principle – Antara Realiti Dan Adaptasi Filem

Filem World War Z (2013) adalah sebuah
filem yang mengisahkan wabak penyakit disebabkan oleh sejenis virus yang
merebak dalam kalangan manusia di seluruh dunia. Manusia yang dijangkiti virus
ini akan bertindak sangat agresif dan gila dalam erti kata lain mereka akan
bertukar menjadi ‘zombie’. Terma zombie kini sudah rasmi diguna pakai sebagai
satu istilah yang sah dan mempunyai makna di dalam kamus. Dibintangi oleh
pelakon Hollywood terkenal Brad Pitt, diarahkan oleh Simon Crane dan
diterbitkan oleh Paramount Pictures Corporation, ianya berbeza dengan
filem-filem zombie yang lain. World War Z berjaya mengetepikan klise filem
zombie  dengan mengetengahkan jalan cerita
yang memberi impak berbeza dan permulaan filem yang gempak. Namun yang mahu
difokuskan adalah bukan filem itu sendiri.

Dalam filem ini terdapat satu babak dimana
Gerry Lane(Brad Pitt) pergi ke Jerusalem untuk mencari jawapan dan penyelesaian
bagi krisis wabak tersebut. Jerusalem adalah satu-satunya kawasan yang masih
belum dijangkiti wabak tersebut disebabkan Jerusalem dikelilingi oleh tembok
besar yang dinamai Jerusalem Salvation Gates. Namun, hakikatnya kita
semua pun tahu bahawa tembok yang dimaksudkan adalah The Apartheid Wall
yang dibina oleh regim zionis Israel untuk memisahkan antara Palestin dan
Israel. Ironinya dalam filem, tembok ini memisahkan manusia yang masih belum
dijangkit dengan ribuan zombie yang bertebaran di luar tembok.

The Tenth Man Principle

Di Jerusalem, Gerry Lane telah bertemu dengan bekas agen Mossad, Jurgen Warmbrunn yang dilakonkan oleh Ludi Boeken. Jurgen memberitahu Gerry bahawa Israel telah lama menjangkakan serangan zombie tersebut apabila mendapat memo daripada India bahawa ada seorang pesakit telah bertukar menjadi gila lalu mereka membina sebuah tembok besar mengelilingi Jerusalem.

Mengikut asas logika, adalah tidak masuk akal bahawa memo picisan tersebut diintrepretasikan sebagai satu ancaman yang sangat besar. Seorang pesakit bertukar gila dianggap mampu mencetuskan dan merebakkan wabak virus yang berbahaya hingga ke serata dunia. Ini overthinking tahap dewa! Namun apabila ditanya, Jurgen memberitahu Gerry bahawa inilah peranan The Tenth Man. Jadi siapakah The Tenth Man? Apakah peranannya?

The Tenth Man Principle adalah satu cara yang
diimplimentasikan oleh Israel susulan peristiwa jatuhnya kembali kawasan Sinai
kepada Mesir dalam perang Arab-Israel 6 Oktober 1973.

Dalam Filem World War Z, Jurgen memberitahu
Gerry ;

“In the month before October 1973, we
saw Arab troop movements, and we unanimously agreed they didn’t pose a threat.
Well, a month later the Arab attack almost drove us into the sea.”

Peristiwa ini dikenali sebagai Sittah
Oktober
dalam kalangan orang arab Mesir dan Yom Kippur War dalam
kalangan yahudi Israel. Uniknya, peperangan ini berlaku pada bulan Ramadhan
yang mana tarikh tersebut juga adalah hari perayaan sin atonement day
bagi yahudi, Yom Kippur.

Kejayaan ketenteraan Mesir yang berjaya
memperdaya pihak Israel apabila membuat serangan mengejut pada pagi 6 Oktober
ke atas tentera Israel membuatkan pihak Israel kucar kacir dan hasilnya Sinai
jatuh ke tangan Mesir kembali. Mesir mengisytiharkan cuti umum pada 6 Oktober
setiap tahun bagi mengenang peristiwa ini. Dan susulan itu Perdana Menteri
Israel Golda Meir meletakkan jawatan pada 10 April 1974 atas pelbagai desakan
kerana dituduh  ‘cuai’.

Selepas peristiwa ini, Israel menubuhkan
satu unit yang dipanggil Devil’s Advocate Office. Unit ini
memperkenalkan The Tenth Man Principle. The Tenth Man Principle adalah
suatu peranan yang diberikan kepada seseorang individu. Tugasnya adalah dalam
setiap keputusan yang dibuat secara bersama, The Tenth Man perlu
bersifat menentang, tidak setuju dan was-was mengenai keputusan yang dicapai
bersama. The Tenth Man perlu memikirkan segala risiko yang bakal berlaku
walaupun ianya tidak logik dan masuk akal dan membuat persiapan untuk
menghadapi sebarang kemungkinan.

Sebagai contoh di dalam perbincangan 10
orang, satu keputusan telah dibuat secara bersama dan dipersetujui oleh 9 orang
untuk menyeberangi jambatan. Tetapi ianya merupakan tugas orang kesepuluh untuk
tidak setuju dan memikirkan risiko-risiko yang ada mengenai keputusan itu dan
membuat persiapan untuk menghadapi risiko tersebut. Melalui cara ini, sebuah
keputusan yang dibuat akan disertai langkah berjaga-jaga daripada berada dalam
keadaan terlalu yakin dan terlalu selesa dengan keputusan yang dibuat. Malah
mereka juga akan bersiap sedia jika berlaku sebarang kemungkinan di luar
jangkaan.

Jika dalam satu kumpulan kesemua ahli
kumpulan telah menaiki kereta api, adalah peranan The Tenth Man untuk
tidak menaikinya. Kerana dengan tidak menaikinya dia boleh melihat apa yang
bakal berlaku pada laluan kereta api tersebut berbanding mereka yang menaikinya
dan The Tenth Man boleh bertindak untuk mengelak sebarang kemalangan.
Dalam erti kata lain The Tenth Man bertindak secara kontra dengan
keputusan bersama untuk mengesan perangkap musuh.

Maka, daripada peranan The Tenth Man
ini kita dapat fahami bahawa Israel amat berjaga-jaga dalam sebarang keputusan
yang dibuat dan kaedah ini masih diguna pakai oleh Israel Military Intelligence
sebagai langkah countering the inner circle to detect any probability outer
circle
.

Individu yang memegang peranan The Tenth
Man
ini perlu bersifat kontradik, seorang penganalisis, kreatif, mempunyai
fikiran di luar kotak, berpengalaman dan bijak mengatur strategi.

Berbalik kepada filem World War Z, Jurgen
Warmbrunn yang dilakonkan oleh Ludi Boeken adalah The Tenth Man dalam
menghadapi ancaman zombie. Ketika semua orang menganggap memo ‘rakshasha
(yang apabila diterjemahkan membawa perkataan zombie atau undead)
daripada India berkenaan seorang pesakit yang bertindak agresif dan gila ini
mampu dikawal, Jurgen telah membina tembok disekeliling Jerusalem untuk
menghadapi sebarang kemungkinan.

Walaupun kesemua fakta yang diceritakan
oleh Jurgen di dalam filem ini mengenai perang 1973 dan peranan The Tenth
Man
adalah benar belaka dalam dunia realiti, namun hakikatnya The
Jerusalem Salvation Gate
adalah tetap tembok The Apartheid Wall yang
memisahkan Palestin dan Israel. Cuma ianya diolah untuk menstruktur satu jalan
cerita yang berkonsep rekayasa secara total dalam filem ini.

Ironinya, pelakon Ludi Boeken yang
memainkan watak Jurgen Warmbrunn pernah bekerja sebagai war correspondent
iaitu wartawan perang di bawah BBC yang membuat liputan di Asia Timur dan
beberapa Negara lain di Amerika Tengah, Amerika Selatan dan Afrika. Beliau
merupakan bekas pelajar Tel Aviv University, Israel pada 1973 tahun di mana
berlakunya perang Arab Israel.

The Tenth Man Principle adalah merupakan satu
daripada falsafah pemikiran yang ada. Disebabkan otak manusia senang dipengaruh
dan cenderung untuk mengikut keputusan satu hala tanpa mencuba untuk membelok
ditambah dengan sifat semula jadi manusia yang suka berasa selesa dengan
keputusan bersama menyebabkan beberapa para falsafah pemikiran berpendapat
bahawa minda manusia perlu dicabar dalam pelbagai cabang dalam membuat
keputusan.

Sama juga konsep yang diketengahkan oleh Edward De Bono seorang ahli psikologi Malta yang menulis buku The Six Thinking Hats. Konsep The Six Thinking Hats menggunakan 6 individu yang diwakili oleh topi berwarna putih, biru, hitam, merah, kuning dan hijau untuk memainkan peranan yang berbeza berdasarkan warna topi. Persamaan Six Thinking Hats dan The Tenth Man adalah pada tugas individu yang memegang peranan topi hitam. Individu yang memegang topi hitam perlu memberi alasan-alasan dan hujah-hujah untuk tidak menyokong sesuatu keputusan yang telah dibuat.

Artikel sumbangan Yusri Zulkefli untuk The Patriots.

RUJUKAN

  1. Edgar
    O’Ballance. No Victor, No Vanquished: The Yom Kippur War (1979) 28-370
  2. David Rodman .
    The Israel Journal of Foreign Affair Vol. 6 No. 1 (January 2012)
  3. William B. Quandt
    (2005). Peace Process: American Diplomacy and the Arab–Israeli Conflict
    Since 1967
    . 114. University of California Press. p
  4. Johnson, Zach
    (October 10, 2011). “SWAT Team Raids Brad Pitt’s World War Z Set“.
    US Weekly. Retrieved 12 December, 2018.

Sumber : ThePatriots