Sima Qian – Bapa Historiografi Cina

Lahir dalam suasana keilmuan yang tinggi, Sima Qian
sejak kecil lagi telah menguasai literasi klasik dan melakukan pengembaraan
merentas negara bagi mengukuhkan ilmu pengetahuannya. Tidak hanya mewarisi
jawatan ayahnya sebagai Ahli Astrologi Ulung, Qian turut mewarisi amanah yang
bakal dilegasikan sehingga 2 millenia lamanya. Legasinya dianggap sebagai khazanah
yang tidak ternilai bagi pencinta sejarah. Legasi yang berbentuk
catatan-catatan tentang sejarah 2000 tahun pemerintah Cina bermula dari
Maharaja Kuning sehingga Maharaja Han Wu. Shiji, sebuah manuskrip agung
hasilan Sima Qian berjaya mengubah standard penulisan sejarah dan literasi Cina
serta dimetaforakan sebagai anak yang menjulang nama ‘Bapa Historiografi Cina’
ini sebagaimana dunia Greek menjulang Herodotus.

Latar Belakang

Sima Qian dilahirkan pada tahun 145 SM di Longmen
(Gerbang Naga), Xianyang (kini Hancheng Shanxi). Dalam autobiografinya yang
dimuatkan dalam Shiji, Sima Qian langsung tidak menyebut tentang
mana-mana ahli keluarganya, baik adik-beradik, ibu, isteri atau anaknya.
Satu-satunya kerabat beliau yang dapat kita kenali ialah ayahnya, Sima Tan.

Walaupun Sima Tan disebutkan dalam beberapa sumber
sebagai seorang sejarawan ulung atau jurutulis ulung, lebih tepat untuk
mengatakan bahawa beliau ialah seorang ahli astrologi ulung (taishi)
yang berkhidmat untuk Maharaja Han Wu (141-87 SM). Antara job description
seorang taishi termasuklah:

  • Menguruskan
    (atau mungkin sekadar memiliki akses ke) arkib diraja.
  • Memerhatikan
    alam seperti matahari, bulan, bintang serta fenomena alam seperti gerhana
    matahari, gempa bumi dan lain-lain lalu membuat perhitungan, penafsiran dan
    penetapan tentang sesuatu tindakan yang bakal diambil oleh pihak kerajaan.
  • Penghasilan
    kalendar.

Dalam erti kata lain, tugas seorang taishi saling
tidak tumpah seperti Ahli Nujum Pak Belalang dalam filem Allahyarham Tan Sri P.
Ramlee ataupun Syeikh Abdullah Fahim, ulama’ yang menetapkan tarikh 31 Ogos
1957 sebagai tarikh kemerdekaan Tanah Melayu.

Baca juga: Rahasia Ilmu P. Ramlee

Rajah 1: Wilayah Shaanxi yang merupakan wilayah kelahiran Sima Qian (Sumber)

Jawatan Sima Tan ini kemudian diwarisi oleh anaknya,
Qian, selepas kematiannya. Semasa menjawat posisi sebagai taishi, Sima
Qian sempat berjasa kepada Dinasti Han apabila pada tahun 104 SM, beliau terlibat
bersama rakan-rakan sekerjanya dalam usaha menambah-baik dan mencipta Taichuli
(kalendar pertama) berdasarkan kalendar yang digunakan oleh Dinasti Qin. Taichuli
ini dianggap sebagai satu pencapaian besar buat Dinasti Han sebagaimana
pada hari ini, kita masih menganggap Alexander Graham Bell, pencipta telefon
pertama sebagai satu kejayaan memanfaatkan dan memperbaharui teknologi
gelombang dalam sejarah ketamadunan manusia. Hal ini kerana taichuli merupakan
kalendar Cina pertama pada zaman itu yang menyatakan bahawa terdapat 365.25
hari dalam setahun dan 29.53 hari dalam sebulan sekaligus menunjukkan ketepatan
yang dimiliki oleh kalendar tersebut.

Baca juga: Sejarah Penciptaan Kalendar Masihi – Sistem Rom Julian
dan Gregorian

Pendidikan Dan
Kehidupan Awal

Berkat bimbingan dan didikan ayahnya yang merupakan
seorang bijakpandai pada masa itu, Sima Qian berjaya menguasai ilmu-ilmu
pengetahuan yang terkandung dalam teks-teks lama pada usia seawal 10 tahun.
Tidak dapat ditolak kebarangkalian bahawa antara teks yang ditelaah beliau
ialah Annals of Spring and Autumns. Permisalan yang boleh diumpamakan
bagi masyarakat kita pada hari ini adalah anak kita yang berumur 10 tahun sudah
menguasai kitab Sulalatus Salatin karangan Tun Sri Lanang bagi sejarah Melayu
atau kitab Hayatu as-Sahabah (Maulana Muhammad Yusuf), Bidayah wa Nihayah dan
Qisasul Anbiya’ (Ibnu Katsir) bagi sirah nabawiyah. Selain menerima didikan
daripada bapanya, Sima Qian juga merupakan murid kepada penganut Confuciusme
yang masyhur, iaitu Kong Angua dan Dong Zhongshu.

Baca juga: Tun Sri Lanang – Negarawan Ulung Johor dan Acheh

Menjelang usia sekitar 20 tahun (sekitar 125 SM), Sima
Qian keluar mengembara demi mematuhi prinsip ‘jauh perjalanan, luas pandangan’.
Jika Sayyidina ‘Abdullah bin Jabir sanggup bermusafir ke Mesir semata-mata
untuk bertemu Sayyidina Maslamah bin Mukhallid demi mendengar sendiri bacaan
hadis berkenaan menutup aib seseorang mukmin, maka lebih kurang begitulah
maksud pengembaraan Sima Qian. Dengan bentukan daripada didikan ayahnya serta
teks-teks yang telah ditelaahnya sejak kecil, Sima Qian mahu menziarahi sendiri
monumen-monumen purba seperti kubur-kubur masyhur, mendapatkan maklumat sahih
dari mulut rakyat tempatan tentang satu-satu khabar angin atau legenda dan
hal-hal yang seumpamanya. Pengembaraannya ini saling tidak tumpah seperti yang
turut dilakukan oleh ‘kembar’nya dari Greek, iaitu Herodotus. Antara
tempat-tempat yang dilawatnya termasuklah Shandong, Yunnan, Hebei, Zhejiang,
Jiangsu, Jiangxi dan Hunan.

Selepas menamatkan pengembaraannya, Sima Qian
berkhidmat di istana dan diberikan tugas untuk memeriksa keadaan beberapa
wilayah yang berada di bawah pemerintahan Han Wudi. Beliau turut pernah
dihantar ke perbatasan barat dalam sebuah ekspedisi ketenteraan memerangi suku
barbarian pada tahun 110 SM semasa beliau berusia 35 tahun. Sekitar waktu itu
jugalah, bapanya Sima Tan jatuh sakit.

Mewarisi
Tekad Ayahnya

Merasakan dirinya sudah tidak lama lagi berada di
dunia, Sima Tan memanggil anaknya Qian untuk pulang. Sebagai seorang pegawai
istana yang mempunyai akses terhadap arkib negara, Sima Tan memanfaatkan hal
tersebut untuk mengejar cita-citanya. Beliau telah mengumpulkan bahan-bahan
bacaan, menelaahnya, membuat pengelasan dan bahkan mungkin telah memulakan
penulisan sejarah. Walaupun beliau merupakan seorang ahli astrologi ulung (taishi),
Sima Tan banyak meluangkan masa untuk mengusahakan kerja-kerja sejarah. Mungkin
kerana inilah sebahagian sumber menyebutkan bahawa beliau ialah seorang
sejarawan atau jurutulis ulung.

Sebaik sahaja menerima berita tentang keadaan bapanya,
Sima Qian pun segera pulang. Sambil terlantar di tempat perbaringannya, Sima
Tan berwasiat kepada anaknya tentang satu tugas penting yang belum sempat
diselesaikan;

“Wahai anakku, ayah sedang nazak. Ayah minta kamu
menjadi seorang ahli astrologi ulung mewarisi jawatan ayah. Dan apabila kamu
telah mendapatkan jawatan itu, janganlah kamu lupa yang ayah sejak dulu lagi
berhasrat untuk menyusun dan menulis… Raja-raja feudal (warlord-warlord)
di seluruh negara telah pun disatukan. Namun, manuskrip-manuskrip mereka masih
bersepah dan berselerakan; tidak diurus dengan baik. Sekarang, (dinasti) Han
telah semakin maju dan dunia (negara Cina) telah pun disatukan di bawah satu
pemerintah. Tetapi sebagai seorang ahli astrologi ulung, ayah masih belum dapat
menyusun dan merekodkan catatan bertulis tentang kegemilangan dinasti kita,
kehidupan pemerintah-pemerintah kita, menteri-menteri kita yang setia dan
lelaki-lelaki budiman kita yang gugur kerana memperjuangkan kebenaran. Ayat
takut nanti sejarah dinasti kita akan dibuang (diabaikan). Ayah minta kamu
ingat pesan ayah ini.” (Shiji: 130.3295)

Sebagai seorang anak yang dididik dengan ajaran-ajaran
Confucius yang sangat menitikberatkan soal ketaatan dan kepatuhan kepada
ibubapa, maka Sima Qian pun menyatakan janjinya untuk meneruskan tekad ayahnya
dalam menyiapkan penyusunan catatan-catatan sejarah.

Rajah 2: Potret Sima Qian (145-86 SM) (Sumber)

Perlu untuk dinotakan, sebagaimana yang telah kita
ketahui tentang skop kerja ahli astrologi ulung, usaha sejarah yang dilakukan
oleh Sima Tan ini bersifat peribadi (sebahagian sumber mendakwa ia merupakan
usaha warisan keluarga) dan bukanlah suatu kerja yang diarahkan oleh maharaja
ataupun dinasti. Ia merupakan satu kesedaran peribadi untuk memelihara khazanah
ilmu sejarah agar dapat dilegasikan kepada generasi turun-temurun.

Keadaannya persis sebagaimana aduan Sayyidina ‘Umar
al-Khattab kepada Khalifah Abu Bakar as-Siddiq selepas menerima laporan
kasualti yang dialami kaum Muslimin dalam Pertempuran Dataran ‘Aqabah di
Yamamah ketika memerangi Musaylamah al-Kazzab. Seramai lebih 300 orang hafiz al-Qur’an
gugur syahid. “Aku takut al-Qur’an akan hilang dari muka bumi ini”. Maka
Sayyidina Zaid bin Tsabit yang ketika itu berusia sekitar 18-20 tahun pun
diarahkan oleh Khalifah untuk mengumpulkan al-Qur’an, demi memeliharanya agar
dapat dibaca oleh kita generasi yang akan datang.

Baca juga: Fakta-Fakta Menarik Mengenai al-Quran

Sebagaimana yang telah disebutkan di atas, pada tahun
104 SM (sebahagian sumber menyebut tahun 105 SM), Sima Qian terlibat dalam
penghasilan Taichuli. Perkara ini menjadi indikasi bahawa pada waktu itu
Sima Qian sudah mewarisi jawatan ayahnya sebagai ahli astrologi ulung. Sambil
Sima Tan pula jatuh sakit pada tahun 110 SM (sebahagian sumber menyebut tahun
109 SM). Justeru, selamat untuk kita katakan bahawa Sima Qian mula melaksanakan
wasiat ayahnya itu dan menyusun Shiji sekitar 109-105 SM.

Pengorbanan Demi Menabur Jasa

Pada tahun 99 SM, Li Guangli dan Li Ling yang
merupakan panglima tentera dinasti Han diarahkan oleh Han Wudi untuk mengetuai
kempen memerangi puak barbarian Xiongnu di perbatasan utara. Pada permulaannya,
kempen ini berjalan dengan lancar dan meraih kejayaan. Namun seiring masa
berlalu, roda takdir pun berputar ke bawah. Kempen panjang yang dilancarkan ini
akhirnya mula mengalami kasualti yang tinggi. Bekalan senjata dan makanan mula kehabisan.
Malah, ketiadaan bala bantuan daripada maharaja memaksa Li Ling mengambil
keputusan menyerah diri sekaligus ditawan oleh puak Xiongnu.

Berita tentang nasib yang dialami oleh ketumbukan ini
sampai ke istana. Han Wudi menyambut laporan berita itu dengan reaksi berang.
Bagi Han Wudi, tindakan menyerah diri yang diambil oleh Li Ling itu merupakan
satu kekalahan dan pengkhianatan kepadanya. Pandangan yang sama turut
disuarakan oleh semua pegawai yang hadir dalam persidangan tersebut.

Baca juga: Maharaja Wu – Maharaja Teragung Dinasti Han

Namun, Sima Qian yang ketika itu berusia sekitar 40an,
menyatakan pendirian yang tidak senada dengan mereka. Walaupun beliau tidak
pernah pun memiliki hubungan istimewa dengan Li Ling, Sima Qian membela
panglima itu atas dasar hormat. Beliau mengingatkan kepada Maharaja Wu tentang
kejayaan-kejayaan yang dibina oleh Li Ling pada masa lalu. Malah, Sima Qian
menegaskan bahawa dengan menyerah-diri kepada puak Xiongnu, Li Ling dapat
menyelamatkan nyawanya dan bala tenteranya. Memadai dengan kekal hidup, Li Ling
masih mampu berkhidmat kepada Maharaja dan menabur jasa pada masa akan datang.

Jika Hang Nadim putera Jebat (dan menantu Hang Tuah) si
pejuang Melaka terbunuh kerana ketidaksabaran pemerintah yang mahukan kejayaan
dalam masa singkat, nasib yang nyaris-nyaris sama hampir diterima oleh Sima
Qian. Atau mungkin misal yang lebih tepat untuk dikaitkan dengan nasib Sima
Qian ini adalah peristiwa Imam Ahmad bin Hanbal dihukum oleh Khalifah kerana enggan senada mengatakan
bahawa al-Qur’an itu makhluk. Benarlah kata orang-orang tua, kebenaran itu
pahit. Pembelaan Sima Qian terhadap Li Ling hanya mengundang murka Han Wudi.
Beliau didakwa atas kesalahan merendah-rendahkan Maharaja, sebuah kesalahan
yang dianggap satu jenayah yang boleh membawa kepada hukuman mati!

Baca juga: Laksamana Hang Nadim – Genius Perang Melayu Yang Dilupakan

Rajah 3: Maharaja Han Wu (141-87 SM) (Sumber)

Oh tidak. Jika Qian mati sekarang, maka amanah yang
diwarisi daripada bapanya tidak dapat disempurnakan. Ayah pasti tidak dapat
bersemadi dengan aman, fikir Qian. Dalam Shiji, beliau menulis, “Jika
saya memilih untuk menyerah kepada kematian, ia saling tidak tumpah seperti (maharaja)
kehilangan seutas rambut dari sekawanan kerbau atau seekor semut dari selembah
busut (yakni kematiannya tidak memberi sebarang erti).” Qian menambah, “Manusia
hanya memiliki satu kematian. Kematian itu mungkin seberat Gunung Tai atau
mungkin seringan bulu angsa. Semuanya bergantung pada cara bagaimana dia jalani
kehidupan.”

Maka, Qian memilih untuk menebus dirinya dari dijatuhi
dihukum mati. Namun, hanya terdapat dua pilihan sahaja yang mampu menebus
nyawanya dari direntap si algojo. Sama ada membayar wang pampasan, atau
menyerahkan anggota tubuh badannya yang tertentu untuk dikerat (lazimnya
dikembiri).

Sima Qian sekali lagi dilanda dilemma dalam membuat
keputusan. Keadaan kewangannya pada masa itu tidak mengizinkan beliau untuk
mengambil pilihan pertama. Namun, pilihan kedua pula sangat berat untuk
ditempuh. Sebagai seorang penganut ajaran Confuciusme, beliau sangat dituntut
untuk memelihara tubuh badan yang diberikan oleh kedua orang tuanya sebagai
bentuk ketaatan terhadap mereka.

Tulis Confucius dalam The Book of Filial Duty
(Kitab Ketaatan), “Ketaatan seorang anak terhadap kedua ibu bapa merupakan mata
air yang memancurkan kesemua nilai kebaikan yang lain. Ketaatan inilah juga
yang akan menjadi titik-mula pendidikan kita. Badan kita, rambut kita dan
kulit kita semuanya lahir dari kedua ibu bapa kita. Makanya, kita tidak berhak
untuk mencemarkannya (termasuklah mencederakannya). Ini adalah tanggungjawab
pertama seorang anak
.[i]

Baca juga: Confucius – Ahli Falsafah Agung Dari China

Malah, hukuman mutilasi (termasuklah kembiri) itu
sendiri sudah memadai untuk membuatkan ramai manusia membunuh diri berbanding menjalani
hukuman tersebut. Tambahan, lelaki yang dikembiri pula sangat terdedah kepada
kematian kerana kehilangan darah yang banyak atau jangkitan kuman memandangkan
selepas dikembiri, mereka lazimnya dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang
rawatan. Dalam erti kata lain, pilihan kedua yang terpaksa diambil oleh Sima
Qian ini bukan sahaja membawa kepada penamat dalam garis keturunan keluarganya,
malah ia juga berkemungkinan mengundang kematian kepada dirinya sendiri, di
samping rasa malu yang tak tertanggung peritnya.

Namun, Sima Qian menggagahkan diri untuk menempuh
takdir yang telah ditentukan buatnya. Beliau menulis, “Saya berhasrat untuk
mengkaji secara menyeluruh tentang langit (hukum ketuhanan) dan manusia
sekaligus menghubungjalinkan antara perubahan-perubahan yang berlaku pada masa
silam dengan keadaan masa kini. Saya juga berhajat untuk menyelesaikan kesemua
kerja warisan keluarga. Namun sebelum sempat saya menyiapkan manuskrip itu,
saya ditemukan dengan musibah ini. Mengenangkan tugas saya yang belum selesai,
maka saya menyerah-diri untuk menjalani hukuman (kembiri) ini. Sungguh, sebaik
sahaja saya siapkan manuskrip ini, akan saya simpannya di tempat yang selamat.
Jika kelak ia diperturunkan kepada insan yang akan menghargainya dan
menyebarkannya ke kampung-kampung dan kota-kota besar, maka saya rela untuk
menempuh 1000 hukuman mutilasi.”

Demi menabur jasa yang besar ini, Sima Qian melakukan
satu pengorbanan yang begitu besar. Sememangnya, penghasilan Shiji
dibayar dengan harga yang sangat tinggi.

Warisan
Agung Bernama Shiji

Budaya Cina sudah pun mengenali sejarah sebelum zaman
Sima Qian lagi. Naskhah Annals of Spring and Autumns menjadi bukti
bahawa tamadun tersebut memelihara rekod-rekod penting setiap dinasti mereka.
Namun, Sima Qian merupakan orang pertama yang mendekati ilmu sejarah dengan
disiplin dan kaedah yang berhati-hati dan sistematik menerusi karyanya yang
dikenali sebagai Shiji.

Shiji  kebiasaannya diterjemah sebagai
“Catatan-Catatan oleh Sejarawan Ulung”. Kadangkala hanya diterjemahkan sebagai
“Rekod-Rekod Bertulis”. Perkataan ‘shi’ dalam bahasa Cina bermaksud
catatan, tulisan atau arkib. Sebagai ahli astrologi ulung (taishi), Sima
Qian sememangnya merekodkan peristiwa-peristiwa sejarah. Namun mereka tidak
terlibat dalam usaha memahami peristiwa tersebut dengan lebih mendalam yang
merupakan kerja seorang sejarawan.

Tambahan, Shiji bukanlah nama asal karya Sima
Qian. Ia merupakan sebuah istilah umum yang digunakan untuk merujuk kepada
bahan-bahan bertulis. Dalam budaya kita umat Islam, ia saling tidak tumpah
seperti istilah Sahih dan Musnad yang disandarkan kepada
ulama-ulama hadis tertentu seperti Imam al-Bukhari dan Imam al-Muslim
umpamanya. Dari sandaran tersebut, kita pun menyebutkan istilah Sahih al-Bukhari.

Rajah 4: Shiji hasil karya Sima Qian (Sumber dan Sumber)

Sima Qian meluangkan masa selama hampir sedekad bagi mengusahakan karya sejarahnya itu. Shiji dalam versi sempurnanya mengandungi lebih setengah juta aksara Cina. Setiap aksara pula jika diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris ataupun bahasa Melayu, akan melipatgandakan jumlahnya sehingga mungkin mencecah sebanyak sejuta patah perkataan.

Shiji berkisar tentang sejarah-sejarah yang diketahui oleh masyarakat Cina, dari permulaan lagenda hingga ke hari-hari yang ditempuh oleh Sima Qian dalam pemerintahan Dinasti Han (pemerintahan Maharaja Han Wu). Berbeza dengan karya-karya klasik dari dunia Greek dan Rom yang kebanyakannya pupus, hampir keseluruhan lembaran Shiji masih kekal selamat hingga ke hari ini.

Pembaharuan
Dalam Penulisan Sejarah

Tidak seperti ketamadunan lain, penciptaan dunia
bukanlah isu utama dalam tradisi masyarakat Cina. Oleh kerana itu, Sima Qian
tidak memulakan Shiji dengan perbincangan tentang penciptaan dunia,
sebaliknya dimulakan dengan hikayat pemerintah. Bagi Sima Qian, permulaan dunia
dan permulaan ketamadunan adalah perkara yang sama.

Dalam menyusun dan menulis Shiji, Sima Qian
menggunakan sebuah gaya baru iaitu mempersembahkan rantaian sejarah menerusi siri
biografi yang berkesinambungan antara satu sama lain sekaligus menjadikan
sejarah yang ditulisnya bersifat umum dan tidak terkongkong kepada suatu titik
perbincangan seperti dinasti atau period zaman. Ramai ahli sejarah menganggap
karya Sima Qian yang satu ini merupakan model yang mewakili format standard
penulisan sejarah Cina walaupun sebelum zaman Sima Qian, gaya dan bentuk
penulisan sejarah saling berbeza. Hal ini boleh dilihat menerusi pelbagai
manuskrip seperti The Romance of The Three Kingdoms, Tongshi dan Zizhi
Tongjian
yang mengadaptasi gaya Sima Qian.

Shiji mengandungi
130 buah bab yang dibahagikan kepada 5 seksyen:

  1. Hikayat Pertahunan Asas (Basic Annals) [Bab
    1-12]
  2. Jadual Kronologi (Chronological Tables) [Bab
    13-22]

    1. Seksyen ini
      menyeragamkan peristiwa-peristiwa yang berlaku di beberapa buah negeri, wilayah
      utama feudal dan kerajaan. Tahap perincian yang diberikan oleh Sima Qian dalam Shiji
      semakin meningkat seiring kronologi yang bergerak semakin dekat kepada
      zamannya.
  3. Perundangan (Treatises) [Bab 23 – 30]
    1. Dalam seksyen
      ini, perincian yang diberikan turut melibatkan perkara-perkara seperti musik,
      ritual, astronomi, penghasilan kalendar dan ekonomi.
  4. Takhta Turun-Temurun (Hereditary Houses) [Bab
    31 – 60]

    1. Membincangkan
      secara terperinci tentang pewarisan mandat daripada Tuhan (takhta) bermula dari
      dinasti Zhou hingga dinasti Han.
  5. Riwayat Ringkas atau Biografi Terkategori (Memoirs
    or Categorized Biographies
    ) [Bab 61 – 130]

    1. Seksyen ini
      melibatkan catatan tentang biografi individu serta keluarga tertentu.

Shiji ditamatkan
dengan autobiografi Sima Qian sendiri.

Di dalam Shiji, jelas kelihatan bahawa Sima
Qian berhasrat mahu mendalami corak dan prinsip perkembangan sejarah manusia agar
dapat membuat rumusan tentang hubungan antara hukum ketuhanan dengan manusia. Hal
ini disokong dengan tulisannya, “Saya berhasrat untuk mengkaji secara
menyeluruh tentang langit (hukum ketuhanan) dan manusia sekaligus
menghubungjalinkan antara perubahan-perubahan yang berlaku pada masa silam
dengan keadaan masa kini.”

Sima Qian merupakan antara sejarawan pertama yang
menekankan peranan manusia dalam kesan pembangunan sejarah dan ketamadunan.
Sebelum ini, penulisan sejarah sering dicampuradukkan dengan peranan kuasa
sakti para dewa sekaligus menjadikan sejarah-sejarah yang ditulis itu sebagai
mitos, seperti yang berlaku pada Illiad dan Odyssey di dunia Greek. Dalam
masyarakat Cina, elemen tersebut dapat dilihat ketika menelaah tentang Maharaja
Huang (Huangdi), maharaja pertama mereka.

Berbeza dengan Hanshu karya Ban Gu yang ditulis
di bawah seliaan dinasti diraja, Shiji merupakan historiografi tulisan
peribadi. Oleh kerana itu, Shiji tidak hanya berkisar tentang riwayat
hidup orang-orang yang memiliki kedudukan. Biografi orang-orang kelas bawahan
juga turut disertakan sekaligus membolehkan sisi gelap sesebuah dinasti
dizahirkan. Shiji tidak hanya menghidangkan juadah yang manis-manis.
Rasa pahit yang pernah mencalit sesebuah dinasti atau sosok pemerintah juga
turut dipersembahkan tanpa segan-silu. Hal ini membolehkan Sima Qian membuat
ulasan tentang sesuatu peristiwa dengan lebih menjurus dan tidak terkongkong.
Intisari pengajaran yang dikemukakan juga bersifat lebih realistik sekaligus
menjadi salah satu ciri istimewa Shiji.

Berikut adalah contoh catatannya tentang seorang
maharaja dari dinasti Shang yang hidup sekitar 1000 tahun sebelum zaman Sima
Qian.

“Pemikiran
Maharaja Zhou sememangnya tajam. Kecerdasannya kuat dan keupayaan fizikalnya
jauh menjangkaui manusia lain. Beliau mampu melawan haiwan-haiwan buas dengan
tangan kosong. Dengan kebolehannya itu, beliau memandang rendah semua orang di
sekelilingnya. Beliau sering melazimi arak dan asyik terbuai dalam kesenangan
serta gemar berfoya-foya.

Beliau
pernah mengarahkan Guru Musik untuk mengarang musik dan lagu-lagu yang
melalaikan. Dengan kolam yang dipenuhi arak dan daging-daging pula bergantungan
(di dewan) seperti hutan, beliau memerintahkan kepada para lelaki dan wanita
yang bertelanjang agar saling berkejaran dan meminum arak sepanjang malam.

Maharaja turut
menitahkan agar orang-orang yang membantah perintahnya itu dihukum dan
menteri-menteri yang enggan menghadiri majlis tersebut direbus hidup-hidup.”

Kisah hidup Maharaja Zhou ini dijadikan sebagai
gambaran yang jelas untuk Sima Qian mengemukakan idea terhadap perubahan
dinasti. Menurut Sima Qian, sesebuah dinasti itu bermula dengan pemerintahan
seorang pengasas yang sangat mulia hatinya. Kemudian, dinasti akan terus
diperintah oleh siri pemimpin yang ragamnya beraneka sehingga akhirnya jatuh
pada seorang pemerintah terakhir yang buruk keperibadiannya dan rosak pula
moralitinya sehingga dia akhirnya digulingkan.

Maharaja Zhou yang diceritakan di atas merupakan
maharaja terakhir dinasti Shang. Sima Qian menyokong pandangan bahawa matlamat
sejarah itu adalah untuk mengajar para pemerintah bagaimana untuk memerintah
dengan baik. Tidak dapat dinafikan, pendiriannya itu turut dipengaruhi oleh
Confuciusme yang di dalam buku-buku Confuciusme, sering menyebutkan frasa “The
good Emperors of old
” atau “Maharaja-maharaja zaman silam yang baik
ketika mengajarkan tentang suatu sifat yang terpuji.

Nilai
Kesusasteraan Shiji

Tidak hanya dihormati sebagai model penulisan sejarah,
Shiji juga dihargai sebagai sebuah literasi biografi yang memiliki nilai
kesusasteraan yang tinggi. Kesenian yang dipersembahkan di dalamnya jelas
terzahir menerusi pengolahan karakter yang ramai. Beliau mahir dalam
mengekploitasi plot peristiwa-peristiwa sejarah dan memainkannya dengan sangat
indah menerusi penggunaan dialog antara karakter bagi menggerakkan perjalanan
penulisan. Hal ini menjadikan Shiji sebuah karya yang hidup dan
realistik.

Tambahan, bahasa yang digunakan dalam Shiji bersifat
tidak formal, penuh dengan humour sense dan kepelbagaian sekaligus
membuatkan karya itu ringan dan mudah difahami. Perkara ini merupakan suatu
kemajuan dalam penulisan pada zaman itu. Maka tidak hairanlah jika Shiji diangkat
sebagai literasi klasik Cina yang ulung. Lu Xun sendiri menganggap Shiji sebagai
karya sejarah pertama dan terakhir yang paling agung (yang turut memiliki
kualiti seperti) puisi-puisi Qu Yuan tanpa rima.

Karya Sima Qian ini sangat berpengaruh dalam dunia
penulisan China dan menjadi model kepada pelbagai prosa dalam klasik-moden pada
era Tang-Song. Penggunaan watak dan plot juga memberi pengaruh dalam penulisan
fiksyen-sejarah, termasuklah kisah-kisah klasik pendek pada zaman pertengahan
dan lewat (Tang-Ming).

Ideanya yang segar dalam aspek sejarah dan
kesusasteraan memberi pengaruh kepada ahli-ahli historiografi seperti Zhengqiao
ketika menulis Tongshi dan Sima Guang ketika menulis Zizhi Tongjian.
Malah, kesannya turut dapat dilihat di tempat-tempat lain seperti Korea
menerusi The History of Korea. Sehingga hari ini, Shiji masih
digunakan sebagai buku teks dalam pelajaran klasik Cina di seluruh dunia,
seperti hari ini di sekolah-sekolah menengah para pelajar kita diajarkan
tentang syair-syair dan hikayat-hikayat seperti Hikayat Malim Deman dan syair
Siti Zubaidah.

Selain Shiji, Sima Qian juga telah menulis
sebanyak 8 buah sajak. Sajak-sajak tersebut dimuatkan dalam Hanshu karya
Ban Gu. Antara isi sajak tersebut termasuklah luahan penderitaan yang dialami
beliau semasa Peristiwa Li Ling serta kesungguhannya dalam usaha menyiapkan Shiji.

Legasi Dan
Pengaruh Sima Qian

Sebagaimana yang telah disebutkan pada bab ‘Mewarisi
Tekad Ayahnya’, Sima Tan jatuh sakit dan menyerahkan tekadnya kepada Sima Qian
pada tahun 109 SM. Berkemungkinan Sima Qian telah pun memulakan proses
penulisan Shiji sejak itu. Pada tahun 105 atau 104 SM pula, beliau
terlibat dalam usaha penghasilan Taichuli. Kemudian, peristiwa Li Ling
yang membuatkannya dikenakan hukuman kembiri dan penjara pula berlaku pada
tahun 99 SM. Beliau dipenjarakan selama 3 tahun. Kenyataan ini turut disokong
oleh catatan sumber yang menyebutkan bahawa pada tahun 96 SM, beliau dibebaskan
dan dilantik sebagai Pegawai Setiausaha Istana.

Shiji pula
dilaporkan siap sepenuhnya pada tahun 91 SM sambil beliau mengambil masa selama
hampir sedekad bagi menyiapkan naskhah tersebut. Maka terdapat kemungkinan 5
tahun pertama yang diluangkan adalah sekitar 104-99 SM ketika Sima Qian
terlibat dalam usaha penghasilan Taichuli (yang merupakan indikasi beliau
telah mewarisi jawatan ayahnya) sementara 5 tahun kedua yang diluangkan pula
sekitar 96-91 SM sebelum beliau meninggal dunia pada tahun 90 atau 87 SM atau
menurut pandangan popular, 86 SM.

Hampir 10 tahun yang diluangkan oleh Sima Qian dalam
menghasilkan Shiji sambil menempuh pelbagai macam dugaan ternyata tidak
sia-sia. Kalaulah Qian mampu melihat masa hadapan ketika beliau menulis, “Jika kelak ia diperturunkan kepada insan
yang akan menghargainya dan menyebarkannya ke kampung-kampung dan kota-kota
besar, maka saya rela untuk menempuh 1000 hukuman mutilasi.”

Sungguh, 1 hukuman mutilasi sudah memadai, Sima Qian. Shiji
telah pun dianggap sebagai rekod sejarah ketamadunan paling awal dan paling
lengkap yang pernah ditulis oleh hanya seorang manusia. Tidak cukup itu, Shiji
juga dikenali dan menjadi salah satu rujukan utama dalam ilmu sejarah Cina
Purba.

Akibat 1 hukuman mutilasi yang dialaminya, Sima Qian
tidak mampu memiliki anak. Garis keturunannya juga terputus. Lebih memedihkan
hatinya sebagai seorang penganut ajaran Confuciusme, beliau tidak dapat memberi
sembah penghormatan kepada mendiang bapanya – satu pekerjaan yang hanya boleh
dilakukan oleh lelaki.

Namun berkat kesanggupannya untuk menghadapi
penderitaan yang tak tertanggung itu, beliau mendapat anak-metafora iaitu Shiji.
Daripada Shiji, setiap generasi yang menyusuli beliau akan menganggapnya
sebagai “Bapa Historiografi Cina”. Jika demi Shiji, beliau tidak dapat
menunjukkan ketaatan kepada mendiang ayahnya di alam sana, maka kerana Shiji
jugalah, beliau dan bapanya terus dikenang zaman-berzaman.

Rajah 5: Terjemahan Inggeris Shiji dengan nama Records of The Grand Historian (Sumber)

Beliau memperkenalkan format baharu dalam menulis
sejarah. Beliau memperkenalkan gaya yang lebih ringan untuk mempersembahkan
hikayat-hikayat dinasti dan sosok pemerintah. Beliau mempengaruhi penulisan
ahli-ahli historiografi sesudahnya termasuklah kepada negara jiran, Korea.

Di dalam Shiji, Sima Qian menulis tentang
bagaimana dinasti Han menyatukan seluruh Cina ke bawah satu pemerintahan dan
tulisan yang sama itu jugalah menunjukkan kepada kita bagaimana Sima Qian
menyatukan seluruh pengetahuan sejarah yang meliputi period lebih 2000 tahun –
dari Maharaja Huang hingga Maharaja Han Wu – ke dalam satu buku. Han mungkin
menakluk wilayah geografi, namun Sima Qian menakluk memori seluruh negara. Maka
sangat layaklah gelaran yang diberikan kepada Sima Qian anak Sima Tan; ‘Bapa
Historiografi Cina’.

Bagaimana
Mencontohi Sima Qian

Mengenang kisah hidup Sima Qian sememangnya mampu
menyalakan obor semangat dalam diri kita untuk ikut sama mengusahakan
kerja-kerja penyusunan sejarah. Pada usia sekitar 40-an, beliau memperuntukkan
masa selama hampir sedekad untuk mewariskan sebuah khazanah kepada dunia dikala
dirinya sendiri memiliki kesibukan daripada professionnya sebagai seorang ahli
astrologi ulung (taishi). Pada bab ini, saya kongsikan satu kaedah yang
mudah dan ringkas sebagai langkah pemula untuk kita sama-sama meneladani usaha
Sima Qian.

Jika anda membaca keseluruhan artikel yang terdiri
daripada sekitar 4000 patah perkataan ini, bermakna anda telah membaca tentang
31 buah nama individu, 23 buah nama tempat dan 16 buah nama buku. Sebahagian
besar pembaca mungkin sempat mengingat nama-nama seperti Sima Qian, Sima Tan,
Maharaja Han Wu dan Li Ling. Menerusi kaedah yang dikongsikan di bawah, kita
dapat menyenaraikan setiap nama dan istilah yang terdapat dalam artikel ini
serta memberikan nota ringkas kepada setiap satunya. Hal ini sekaligus
memudahkan kita untuk membuat rujukan-silang atau hubung-jalin antara satu
watak dengan satu watak yang lain pada masa akan datang. Pada contoh di bawah,
saya akan mengambil watak Han Wudi (Maharaja Han Wu) sebagai contoh.

Langkah 1: Selepas selesai membaca bahan bacaan, senaraikan nama watak, nama tempat, nama barang, istilah atau lain-lain dan kelompokkannya mengikut kategori masing-masing. Untuk menjadikannya lebih teratur, masukkannya ke dalam jadual.Rajah 6: Membaca dan menyenaraikan setiap nama watak, tempat dan istilah

Langkah 2: Cari sebutan bagi setiap nama yang telah kita senaraikan itu tadi di dalam bahan bacaan, lalu catatkan nombor halaman, perenggan dan baris tempat nama itu disebutkan. Untuk memudahkan kerja, gunakan ciri enjin-carian yang disediakan oleh perisian yang digunakan (Microsoft Words umpamanya). Langkah 2 ini bertujuan untuk menjadikan pelaksanaan langkah seterusnya lebih mudah, kerana terdapat beberapa nama yang terlalu banyak disebutkan dalam satu bahan bacaan.

Rajah 7: Cari sebutan bagi setiap nama yang telah disenaraikan menggunakan enjin-carian
Rajah 8: Catatkan lokasi sebutan yang diperoleh mengikut halaman, perenggan dan baris

RLangkah 3: Baca semula bahan bacaan, kali ini dengan
berfokus pada nama-nama yang telah disenaraikan dan dilakukan
catatan-lokasi-sebutannya. Gabungkan maklumat-maklumat yang ada pada setiap
sebutan (di lokasi perenggan/halaman yang berbeza) lalu anda akan mendapatkan
maklumat yang lengkap tentang watak tersebut. Selain itu, dengan cara ini juga
kita dapat berikan ‘spotlight’ kepada watak-watak kecil atau watak-watak
sampingan dalam sesebuah bahan bacaan.

Rajah 9: Baca semula maklumat tentang nama itu tadi mengikut aturan sebutan yang telah dicatatkan, dan tuliskan setiap maklumat yang diperoleh.
Rajah 10: Tuliskan semula maklumat yang telah dikumpulkan tadi menjadi naratif yang tersusun. Jika ada maklumat tentang watak tersebut yang mempunyai kaitan dengan watak-watak lain, masukkan juga maklumat yang berkaitan Dan… siap juga nota ringkas tentang watak Maharaja Han Wu.

RPenggunaan kaedah kecil ini tidak hanya terhad kepada
bahan bacaan ilmiah dan sejarah sahaja. Ia juga boleh diaplikasikan kepada
bahan fiksyen seperti novel, animasi kartun, filem dan lain-lain sehingga
karya-karya tersebut turut mempunyai pangkalan data (database) sendiri
seperti Megami Tensei Wiki, One Piece Wikia dan
lain-lain.

Semoga perkongsian tentang kisah hidup Sima Qian dan
kaedah kecil di atas dapat menyuluhkan sedikit obor semangat yang menerangi
keinginan untuk mencontohi Bapa Historiografi Cina tersebut dalam memartabatkan
ilmu sejarah.

Sumber

  1. Carrie Gracie. (8 Oktober 2012). Sima Qian: China’s ‘grand historian’. BBC.
  2. Cristian Violatti. (5 Februari 2014). Sima Qian. Ancient History.
  3. Denis C. Twitchett. (n.d). Sima Qian. Britannica.
  4. N.S. Gill. (8 Mac 2017). Sima Qian ThoughtCo.
  5. New World Encyclopedia. Sima Qian.
    http://newworldencyclopedia.org/entry/Sima_Qian

[i] Sementara tanggungjawab
terakhir seorang anak adalah untuk menjalani kehidupan yang baik, menyebarkan
sifat kemanusiaan, meraih reputasi yang baik selepas mati, dan memberi
kemuliaan kepada kedua ibu bapa kita. Kesimpulannya, tanggungjawab anak yang
pertama adalah untuk mengambil berat kepada setiap kemahuan orang tuanya.
Kemudian memberikan khidmat kepada kerajaan dengan setia dan akhir sekali
mengharumkan namanya sendiri.”

Sumber : ThePatriots