Dia Macam Putus Harapan, Keluarga Rayu Sumbangan Tambahan Bawa Pulang Anak Ditahan Di Thailand

KELUARGA RAYU SUMBANGAN TAMBAHAN BAWA PULANG ANAK DITAHAN DI THAILAND

Keluarga Wan Mohd Amirul Adib Wan Mohd Subhi, 22, yang ditahan di Thailand atas kesalahan memiliki ‘walkie-talkie’ pada 14 Dis tahun lalu, memerlukan sumbangan tambahan kira-kira RM10,000 bagi kos pengurusan membawa pulang Wan Mohd Amirul Adib, esok.

Ibunya, Siti Zubaidah Saad, 48, berkata dana itu diperlukan bagi menampung kos tambahan selain wang jaminan RM51,000 yang sudah berjaya dikumpul hasil sumbangan orang ramai sebelum ini.

“Kami akan ke Thailand esok untuk urusan membawa pulang Wan Mohd Amirul Adib dan kami perlukan kos tambahan untuk perbelanjaan di sana termasuk kos peguam, caj tahanan RM50 sehari dan lain-lain,” katanya kepada sumber di Taman Golf di sini, hari ini.

Beliau berkata antara akan menemaninya dalam rombongan esok ialah Pegawai Menteri Besar Kedah, Mohd Azren Ramli, dan anak sulungnya, Wan Mohd Amirul Afiq, 25.

“Kita akan jumpa peguam di sana, Konsulat Thailand dan seorang penjamin warga Thailand bagi proses tersebut dan kami mohon rakyat Malaysia mendoakan perjalanan kami,” katanya.

Siti Zubaidah berkata kali terakhir beliau bertemu anak ketiga daripada lima beradik itu pada 27 Dis lalu di pusat tahanan di Nathawi, Thailand.

“Dia macam putus harapan, tapi saya bagi semangat untuk dia bertahan sehingga kami bawa dia keluar,” katanya.

Wan Mohd Amirul Adib ditahan di pusat tahanan di Nathawi pada 14 Dis ketika membawa tujuh pelancong dari Perak.

Beliau yang pertama kali menjadi pemandu pelancong dan memasuki negara itu ditahan dalam sekatan jalan raya di Sadao kerana memiliki walkie talkie yang menjadi kesalahan serius di Thailand.

Sebelum ini, tular rayuan isterinya, Nur Afiqah Baharuddin, 22, melalui akaun Instagramnya yang meminta sumbangan orang ramai untuk menjamin suaminya.

Sumbangan boleh dibuat terus ke akaun Maybank Siti Zubaidah 152023659716 atau beliau boleh dihubungi di talian 012-6207872.

Sumber : Bernama

Sumber : SiakapKeli