Acer Swift 7 Diperkenalkan Dengan Nisbah Skrin Ke Badan Mencapai 92%

Acer pada acara IFA 2018 lepas telah memperlihatkan Acer Swift 7 generasi baru secara ringkas, dan hari ini pada CES 2019, mereka berkongsi lanjut mengenai komputer riba baru dengan rekaan nipis.

Acer Swift 7

Acer Swift 7 hadir dengan rekaan nirbingkai, menawarkan kadar nisbah skrin ke badan mencapai 92%. Disamping itu, ia hanya setebal 9.95mm – kurang daripada 1cm, dan membawakan berat kurang 1kg.

Dari segi spesifikasi, komputer riba dengan skrin sentuh 14-inci ini dijana cip dwi-teras Intel Core i7-8500Y, memori sehingga 16GB LPDDR3 RAM, dan storan sehingga 512GB PCIe. Acer turut mengatakan ia menawarkan masa penggunaan bateri sehingga 10 jam lamanya.

Acer Swift 7

Dari segi sambungan, ia dilengkapi dua port USB-C, DisplayPort 1.2, selain sokongan WiFI 5 dan juga Bluetooth 5.

Dengan rekaan skrin nirbingkai, pihak Acer turut menyembunyikan webcam pada komputer riba ini, dan perlu ditekan-untuk-buka. Selain itu, ia turut menyertakan pengimbas cap jari dengan sokongan Windows Hello.

Acer Swift 7 dijangka dipasarkan bermula bulan Mei 2019 kelak.

Sumber : Amanz