Penyamun pukau penghuni rumah dengan najis sebelum rembat laptop, tv, kamera, handphone etc.

Satu keluarga terkejut apabila mendapati rumah mereka dalam keadaan berselerak sebaik saja bangun dari tidur kira-kira jam 7 pagi selepas dipecah masuk penyamun.
Dalam kejadian di rumah keluarga itu di Bandar Tasik Puteri, Rawang, mangsa, Mohd Shuhairi, 48, juga menemui najis yang ditinggalkan oleh penjenayah di tempat letak kereta. 
Mohd Shuhairi mengesyaki penjenayah terbabit telah menggunakan taktik pukau kerana dia dan keluarganya langsung tidak sedar daripada tidur pada hari kejadian. 
“Beberapa barang berharga seperti komputer riba, televisyen, kamera, telefon bimbit dan sejumlah wang tunai hilang. Malah saya turut menemui najis manusia di tempat letak kereta dipercayai ditinggalkan oleh penjenayah berkenaan. 
Berdasarkan tempoh masa kejadian, saya percaya penjenayah masuk ke dalam rumah ini antara jam 3 hingga 4 pagi. 
“Saya rasa penjenayah itu menggunakan ilmu pukau kerana kami sekeluarga tidak sedar langsung daripada tidur. 
“Selalunya setiap hari kami bangun jam 4.30 pagi kerana anak bersekolah. Namun semalam kami tidak sedar langsung seolah-olah dipukau,” katanya. 
Ekoran kejadian itu, kontraktor terbabit membuat laporan di Balai Polis Rawang, semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, tiada kesan cap jari penjenayah yang ditemui di lokasi kejadian dan pihaknya percaya suspek menggunakan sarung tangan. 
Semasa kejadian itu berlaku, mangsa bersama isteri dan tiga orang anaknya berusia empat hingga lapan tahun sedang tidur di dalam bilik.
“Berdasarkan keterangan mangsa, dia memaklumkan menyedari kunci mangga pada pintu pagar besi hilang dan terdapat kesan umpilan pada pintu gelongsor,” katanya. 
Pihak polis kini sedang memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.
Sumber: Harian Metro

Sumber : TheReporter