Ibu Bapa Kejam, Simbah Anak Dengan Air Panas

Sepasang suami isteri direman selama empat hari bagi membantu siasatan selepas disyaki mendera anak mereka dengan menyimbah air panas gara-gara menghabiskan makanan.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Jenayah George Town Muna Maria Azmi bermula hari ini hingga Khamis selepas membenarkan permohonan reman yang dikemukakan oleh Pegawai Penyiasat Inspektor Zahirah Othman.

Bapa berusia 42 tahun itu dan isterinya berumur 34 tahun tiba di bilik reman pada 11.30 pagi dan keluar dari bilik itu 20 minit kemudian.

Pasangan itu yang ditahan polis semalam disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.

Dalam kejadian minggu lepas itu, kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun melecur selepas disiram air panas oleh bapanya selepas dia dipercayai menghabiskan makanan keluarganya di rumah mereka di Flat Kampung Melayu, Air Itam di sini.

Dalam kejadian pukul 1 pagi itu, mangsa yang merupakan anak tunggal perempuan daripada empat beradik melecur di bahagian lengan, rusuk dan dada kanan, namun keadaannya dilaporkan stabil. – BERNAMA

Sumber : SiakapKeli