‘Tak mau susahkan orang Islam angkat ini…’ – Kisah Aunty Cina ini buat netizen rasa kagum dan respect

Baru-baru ini viral di media sosial kisah seorang pasangan suami isteri berbangsa cina sanggup beratur panjang dan lama di kaunter pasar raya yang sesak berbanding terus pergi ke kaunter kosong tidak beberapa jauh dari mereka. 
Menurut individu yang memuat naik kisah tersebut, Abd Halim Benloo Hj Omar, dia berkunjung ke pasar raya Econsave dan bertemu dengan pasangan berkenaan. 
“Masa beratur tadi, aku ada terdengar aunty ini berborak dengan suami dia. Macam nak menangis aku dengar. Korang tahu apa perbualan dia? Aku terjemahkan kepada bahasa Melayu okay,” katanya yang juga memahami bahasa Cina kerana pernah bersekolah di sekolah jenis kebangsaan cina. 
Suami: “Hey, nasib baik you beratur di barisan ini.”
Isteri: “Yalah, kita jangan buat orang susah.” 
“Pening juga aku fikir apa yang buat orang susah, bayar saja kot? Akhirnya aku dengar lagi perbualan mereka. 
Suami: “Wa pun ingat tadi suruh you beratur sini sebab dari jauh I sudah nampak barisan sana semua amoi Melayu pakai tudung.” 
“Akhir sekali aku tengok apa yang mereka beli. Rupanya diorang ada beli bir. Aku pun mulut gatal berborak dengan aunty itu. 
Aku: “Wah aunty, sudah mahu raya beli banyak bir.” 
Aunty: “Yalah, beli sekarang nanti tak susah ma.” 
Aku: “Kenapa tak bayar sebelah? Sebelah sana kosong ma.” 
Aunty: “Tak mahulah, itu amoi Melayu Islam. Tak mau susahkan orang Islam angkat ini bir. Tak elok ma. Sini amoi India boleh angkat.” 
Aku: “Okey, I faham.” 
“Selepas itu aku pun beredar. Dalam masa yang sama aku dok terfikir kenapa di luar sana masih ramai yang ragu-ragu dengan bangsa ini, padahal okey saja. 
“Sorry aunty, I curi gambar you senyap-senyap. Terima kasih aunty kerana dah selamatkan gadis-gadis bertudung itu dari dilaknat oleh Allah,” tulisnya. 
Kisah itu turut mendapat pelbagai reaksi netizen dan ada segelintir yang berkongsi pengalaman mereka.
“Aku tinggal rumah sekeliling cina sejak tahun 2006. Ada sekali itu jiran sebelah rumah aku buat open house Chinese New year. Dia upah orang Melayu masak semata-mata nak menjemput kitorang datang makan juadah dia. Sejak dari itu, aku tak nak pindah taman lain dah,” kata @potongkelape. 
“Dude, actually I did this a few times before di Giant Kelana Jaya. Tapi ada satu masa it, maklumlah kita manusia yang lemah dan pelupa, aku masuk ke kaunter cashier Indian lady ni. 
“Kemudian dia pegang groceries aku. Baru aku teringat. Then daging itu aku alihkan pakai tangan sekali dengan time nak scan sekali. 
“Pastu aku pandang dia dan cakap, ‘sorry kak, saya tak perasan dan terlupa. Kalau saya beli beef saya takkan pergi ke Indian lady usually.’. 
“Then akak itu kata, ‘Takpe dik, akak Kristian’ dan kami berdua gelak. Tapi dia cakap terima kasih sebab even consider.” kata @Ami_Azham. 
Indahnya dunia jika masing-masing mengalamkan sikap seperti ini. Jadikan kisah ini sebagai contoh dan elakkan bersangka buruk setiap masa terhadap bangsa lain. Ingatlah, jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Peliharalah keharmonian dan perpaduan di negara kita. 

Sumber : TheReporter