5 tahun gadis jadi mangsa nafsu bapa dan datuknya sendiri

Seorang bapa dan datuk ditahan polis kerana dipercayai melakukan perbuatan sumbang mahram terhadap seorang remaja perempuan berumur 13 tahun yang juga merupakan anak serta cucu kepada dua suspek itu sejak 2013.
Ketua Polis Daerah Kampar Supt Hasron Nazri Hashim berkata kedua-dua lelaki masing-masing berumur 39, dan 63 tahun itu direman enam hari mulai semalam hingga 12 Jan bagi membantu siasatan.​​​​​​​
Katanya kejadian itu berlaku di dua lokasi berbeza dekat Malim Nawar di Kampar, semasa remaja terbabit berumur lapan tahun dan ia berlaku berulang kali sehingga pengadu berumur 13 tahun.
“Mangsa telah menceritakan hal tersebut kepada ibunya sebelum membuat laporan polis pada Sabtu lalu,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
​​​​​​​Nasron berkata mangsa kemudiannya telah dihantar ke Hospital Kampar dan sebelum di bawa untuk pemeriksaan lanjut di Hospital Ipoh.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan” katanya. – Bernama

Sumber : TheReporter