JBL Melancarkan Siri Set Fon Kepala ‘Lives’, Pembesar Suara Nirwayar JR POP Dan Flip 5

JBL sedia terkenal dengan pelbagai aksesori audio seperti pembesar suara, set fon kepala dan set fon telinga. Untuk minggu CES 2019 ini – JBL telah melancarkan beberapa produk baru yang agak menarik. Ia mewakili pembesar suara dan set fon kepala.

Set fon kepala yang dilancarkan oleh JBL ini adalah LIVE 100, LIVE 200BT, LIVE 400BT, LIVE 500BT, dan LIVE 650BTNC. Kesemua set fon kepala ini menggunakan teknologi audio JBL Signature Sound, jadi kualiti audio yang dihasilkan sepatutnya baik. Untuk Live 100 dan Live 200BT ia adalah set fon kepala asas, cuma Live 200BT mempunyai sokongan Bluetooth. Live 400BT/500BT/650BTNC adalah tiga set fon kepala dengan pembantu maya terbina, sama ada Google Assistant atau Alexa. Ksemua adalah nirwayar dan menyokong kawalan melalui aplikasi JBL. Live 650BTNC adalah versi yang menyokong pembatalan hingar untuk pengalaman pendengaran yang lebih mengasyikkan. Siri set fon kepala Live ini dijual dengan tanda harga bermula dari $39.95 sehingga $199.95 iaitu sekitar RM164 sehingga RM822 sahaja.

Untuk pembesar suara pertama yang JBL lancarkan adalah JR POP. JR adalah nama singkatan untuk junior, bermakna ia memfokuskan untuk pengguna kanak-kanak. JBL JR POP mempunyai perlindungan kalis air IPX7, ketahanan bateri sehingga 5 jam, mempunyai tali penyambung untuk disambungkan kepada ransel dan mempunyai rekaan dengan warna terang agar ia mengambil perhatian kanak-kanak serta memudahkan ibu bapa atau penjaga mengenalpasti anak mereka. Turut tersedia adalah set pelekat untuk kanak-kanak menghias. Ia dijual dengan tanda harga $29.95 (~RM123).

Untuk pengguna dewasa, JBL mempunyai Flip 5 – iaitu pembesar suara nirwayar dengan sokongan kali air IPX7, bateri sebesar 4800mAh dengan ketahanan selama 12 jam, port pengecasan UBS-C, asas daripada getah tebal untuk tahan lasak, bahan kemasan seakan fabrik atau kekisi secara sekeliling dan pilihan warna Mustard Yellow, Forest Green, Fiesta Red, dan Squad. Tiada harga lagi buat Flip 5, ia akan diumumkan kelak.

Produk terakhir adalah JBL Personi-Fi. Ia adalah satu konsep pilihan tetapan audio peribadi pada peranti penstriman dan diselarikan melalui aplikasi tersendiri terus ke awan. Personi-Fi menurut JBL boleh digunakan pada mana-mana peranti dengan sokongan bluetooth, termasuk inforia pada kereta. Tetapan pilihan peribadi tadi akan diproses di awan dan apabila ditambat pada sesuatu peranti atau gajet, segala proses berlaku pada peranti itu sendiri.

Kesemua produk ini adalah satu aksesori audio yang menarik. Siri set fon kepala Live akan tiba di pasaran terpilih pada musim bunga tahun ini, JR POP sudah boleh dibeli pada laman rasmi, Flip 5 tidak pasti lagi dan Personi-Fi hanyalah satu konsep yang menarik.

Sumber : Amanz