Xiaomi Melancarkan Dua Gajet Rumah Pintar Baharu – Mi Table Lamp Pro Dan XiaoAi HD Speaker

Xiaomi mempunyai banyak produk untuk rumah pintar, seperti pembesar suara pintar, lampu pintar, penghawa dingin pintar dan banyak lagi. Tetapi kebanyakan produk ini dilancarkan di China dan hanya menyokong pembantu maya XiaoAi atau kawalan menggunakan aplikasi Mi Home dan/atau Mijia dalam bahasa China.

Sejak kebelakangan ini, gajet-gajet rumah pintar dari Xiaomi ini semakin popular di seluruh dunia – baik dibeli secara rasmi atau dibeli secara import. Xiaomi mula sertakan sokongan Apple Homekit dan/atau Google Assistant pada produk mereka. Terkini, Mi Table Lamp Pro telah dilancarkan dengan sokongan Apple Homekit untuk kawalan menggunakan Siri dan kawalan melalui aplikasi Mijia.

Mi Table Lamp Pro boleh dilaras sehingga tiga posisi, menggunakan lampu LED yang tidak akan menyakitkan mata, kecerahan yang boleh dilaras dan warna dari jingga ke putih turut boleh bertukar-tukar dan mempunyai banyak mod yang berbeza mengikut kesesuaian penggunaan. Ia dijual dengan tanda harga RMB349 iaitu sekitar RM210.

Bersama-sama dengan Mi Table Lamp Pro, Xiaomi turut melancarkan XiaoAi HD Speaker. Ia adalah pembesar suara pintar dengan pembantu maya Xiaomi XiaoAi terbina. Pembesar suara ini menggunakan sistem HiFi 360 darjah untuk pengalaman pendengaran yang lebih baik. Dari segi rekaan ia adalah mirip Apple HomePod, cuma XiaoAi HD Speaker sedikit lebih panjang dan ‘kurus’.

Pada bahagian atas pembesar suara ini terdapat empat butang, iaitu butang aras suara, butang kuasa, dan butang main atau jeda. Menurut Xiaomi, driver pada pembesar suara ini adalah sangat kuat, baik dan kaya dengan ekspresi muzik. Sama seperti Apple HomePod atau Google Home, ia turut mempunyai banyak mikrofon untuk mendengar arahan suara pengguna. XiaoAi HD Speaker dijual dengan tanda harga RMB599 iaitu sekitar RM360 sahaja.

Sumber : Amanz