Tidak Berharap Dilayan Bak Puteri Cukuplah Diberikan Kasih Sayang dan Meluangkan Masa Bersama

Ramai ibu bapa hari ini terpaksa bekerja siang dan malam untuk menjana pendapatan lebih sehingga terpaksa mengorbankan masa bersama anak-anak. Tanpa kita sedar, keadaan ini membuka peluang kepada anak-anak kita untuk terlibat dengan pelbagai gejala yang tidak sihat seperti ponteng sekolah dan merokok.

Terutama golongan remaja, mereka mudah terpengaruh dengan kawan-kawan dan juga budaya dari luar. Ketidakprihatinan ibu bapa menyebabkan anak-anak bebas keluar tanpa mengira waktu dan juga bergaul tanpa mengira batas antara perempuan dan lelaki.

Emosi dan perasaan anak-anak perlu dititikberatkan supaya mereka tidak memberontak dan melakukan perkara yang di luar jangkaan. Hari ini penulis akan berkongsi beberapa tips dari Dr Rozanizam Zakaria bagaimana cara untuk mendeposit emosi anak-anak.

Sumber Facebook: Dr Rozanizam Zakaria

1. Cuba sebaik mungkin memahami sudut pandang mereka.
Jangan terlalu mementingkan diri dengan menganggap apa sahaja yang kita lontarkan, itulah yang betul dan tepat baginya. Cuba buat dia percaya apa yang penting bagi dia, penting juga bagi kita. Apa yang penting bagi dia? – itu yang kita kena cuba duduk dan cari jalan untuk fahami. Jadi pendengar yang baik. Zaman di mana apa yang diperkatakan oleh ibu bapa itu semuanya betul dan anak-anak hanya perlu dengar sudah berakhir. Perubahan zaman menjadikan kaedah ‘abah dulu atuk kau buat camni je..’ tidak semestinya berkesan.

2. Tolong perkara yang kecil, buat kebaikan yang sedikit, hormati dia walaupun kecil.
Inilah antara saham-saham kecil yang biasanya membiak keuntungan dengan cepat. Jangan jadi ayah atau ibu yang sekadar memenuhi keperluan asas. Jangan anggap cukup duit, cukup makan itu sudah mencukupi. Duduk dengan anak semasa dia membuat kerja sekolah, ajar dia tanam pokok, ajar dia baiki basikal, tolong buatkan minuman waktu dia sedang belajar, tolong jahitkan tali beg yang koyak, dukung dia waktu dia demam…semua ini kecil pada kita, tapi jika kena gaya, masa dan keadaannya inilah memori yang akan kekal dalam ingatan sampai bila-bila. Kebaikan ibu dan ayah yang menjadi penolak kepadanya untuk mendoakan kita apabila sudah tiada nanti.

3. Disiplin dengan komitmen kita.

  • Jangan berjanji sesuatu yang kita tidak mampu untuk penuhi. Jangan berbohong dan mungkir janji kerana walaupun perkara itu nampak kecil pada kita, mungkin besar pada mereka.

4. Pastikan ‘matlamat’ kita jelas pada mereka.

  • Setiap kali kita ingin mereka penuhi sesuatu permintaan, jelaskan apa yang kita harapkan – ‘jelas dan tegas’. Generasi ini, generasi yang sukar memahami falsafah dan metafora. Itu hakikat yang kita harus terima.

5. Jujur dan tunjukkan kejujuran kita.

  • Jangan bermuka-muka, jangan double-standard dan tunjukkan integriti kita sebagai seorang dewasa. Prinsip “buat apa yang disuruh, jangan ikut apa yang dibuat” adalah pelaburan yang pasti rugi. Anak-anak belajar dengan melihat dan memerhati kelakuan ibu bapa.

6. Mohon maaf jika salah.

  • Ketidaksempurnaan kita adalah sebahagian proses menjadi ibu bapa yang terbaik untuk anak-anak. Jika salah, akui kesilapan dan perbetulkan keadaan.

7. Bonding, bonding dan terus berbonding.

  • Bina memori eksklusif bersama anak-anak. Memori itu tidak semestinya mahal. Apa yang penting membina makna yang mengesani perasaan mereka. Biarpun ia sekadar duduk bersama mencungkil tanah.

Bila 7 pelaburan kecil ini kita lakukan secara berterusan, insyaAllah bila tiba masa kita nak ‘withdraw’ kebaikan dari anak-anak kita mudah. Nak minta mereka lakukan sesuatu perkara yang sama pada kita dan orang lain juga mudah.

Anak-anak adalah anugerah dan mereka tidak minta untuk dilayan seperti puteri cukuplah sekadar kasih sayang dan juga masa yang diluangkan untuk mendengar apa yang mereka lakukan setiap hari.

#psikologisikecil

Sumber: Dr Rozanizam Zakaria

Sumber : SiakapKeli