Lenovo ThinkPad X1 Carbon Dan X1 Yoga Dikemaskini Dengan Rekaan Lebih Nipis Serta Ringan

Di dalam keluarga ThinkPad, siri X1 ialah yang paling premium dengan rekaan yang boleh dikatakan paling menarik. Di CES hari ini Lenovo ThinkPad X1 Carbon dan X1 Yoga dikemaskini dengan rekaan yang lebih nipis serta lebih ringan berbanding model tahun sebelumnya. Kita mulakan terlebih dahulu degan X1 Carbon.

Lenovo ThinkPad X1 Carbon generasi ketujuh ini akhirnya mengekalkan kerangka yang diperbuat daripada gentian karbon. Tekstur sulaman gentian karbon kini kelihatan jelas pada bahagian penutup. Ia dilengkapi skrin sebesar 14″ dengan pilihan skrin yang menyokong paparan 4K Dolby Vision HDR, dijana pemproses sehingga Intel Core-i7 generasi kelapan, memori sehingga 16GB LPDDR3 dan storan SSD sehingga 2TB PCIe. Bateri sebesar 51Wh yang disertakan mampu membekalkan kuasa sehingga 15 jam. Terdapat sokongan pengecasan pantas 65W yang membolehkan ia dicas sehingga 80% dalam masa sejam.

Papan kekunci berlampu dari jenis Smiley, pad sesentuh dan tombol penjejak ThinkPad kesemuanya masih dikekalkan. Kamera web yang disertakan pula kini mempunyai penutup fizikal ThinkShutter yang mengelakkan diri diintip walaupun peranti telah digodam. Seperti model terdahulu, ThinkPad X1 Carbon melepasi piawaian tahan lasak ketenteraan MIL-STD. Pilihan I/O yang diberikan ialah 1 USB-C Thunderbolt 3, 2 USB-C 3.1, satu HDMI 1.4 dan satu DP 1.2.

Selain skrin Dolby Vision, pembesar suara Dolby Atmos turut disertakan dengan konfigurasi satu soundbar pada bahagian atas dan sepasang lagi di bahagian bawah. Pengenalan dua sistem Dolby ini dilakukan selepas mengambil maklum balas pengguna ThinkPad X1 tahun lalu. Kesemua komponen ini berjaya dimasukkan ke dalam sebuah kerangka dengan ketebalan 14.9mm dan hanya seberat 1.08 kg.

Lenovo ThinkPad X1 Yoga generasi keempat mempunyai kerangka aluminium sepenuhnya dan kini ditawarkan dalam warna Iron Gray dan bukan hitam pusam. Ia turut dilengkapi skrin sebesar 14″ sesentuh dengan pilihan skrin yang menyokong paparan 4K Dolby Vision HDR. Spesifikasi lain adalah sama dengan X1 Carbon. Perbezaan terletak pada pilihan I/O yang lebih pelbagai iaitu 2 USB-C Thunderbolt 3, 2 USB-C 3.1, satu HDMI 1.4 dan satu DP 1.4 Thunderbolt 3.

Skrin boleh diputarkan 360 darjah dan turut disertakan ialah stylus ThinkPad Pen. Ia tersimpan kemas di dalam dermaga yang terbina pada kerangka. Kesemua komponen ini berjaya dimasukkan ke dalam sebuah kerangka dengan ketebalan 15.2mm dan hanya seberat 1.35 kg. Ini membuatkannya 11% lebih ringan dan 17″ lebih kecil berbanding model 2018.

Lenovo ThinkPad X1 Carbon akan mula dijual pada bulan Jun hadapan pada harga bermula $1709 (~RM 7035) . Lenovo ThinkPad X1 Yoga pula akan turut dijual pada bulan yang sama dengan harga bermula $1929 (~RM 7940).

Sumber : Amanz