Maharaja Babur – Pengasas Empayar Mughal India

Babur
atau dikenali sebagai Zahir ud – Din Muhammad merupakan Maharaja Mughal yang
pertama mengasaskan Empayar Mughal yang terkenal dalam sejarah India. Baginda
merupakan putera Umar Sheikh Mirza yang merupakan Gabenor Fergana (Uzbekistan
sekarang). Babur juga merupakan cicit Timurlink dari sebelah ayahnya, seorang
tokoh penakluk Islam yang digeruni dari Mongol. Manakala, dari sebelah ibu pula
merupakan keturunan Genghis Khan yang merupakan Penakluk dan pembina Empayar
Mongol. Pada tahun 1494, Babur telah menggantikan kedudukan ayahnya sebagai
Gabenor Fergana yang wafat akibat kemalangan yang berlaku.

Walaupun
Babur ketika itu masih lagi berusia mentah, namun pemikiran baginda lebih
matang daripada usianya. Ini kerana baginda sedar bahawa musuh dalaman mahupun
luar sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkan Babur kerana faktor – faktor
usia baginda yang masih lagi muda dan mentah. Oleh itu, Babur tahu baginda
mestilah seperti seorang Raja yang bijak dalam bermain percaturan. Namun
begitu, Fergana merupakan sebuah negeri yang kurang strategik dan tidak
mempunyai banyak sumber mentah yang boleh menjanakan kekayaan demi
merealisasikan impian Babur untuk menjadi seorang Raja yang terbilang.

Pada
tahun 1497, Babur telah melancarkan serangan keatas Samarkand, pusat
pemerintahan Uzbekistan dengan harapan untuk menjadi seorang penguasa seperti
moyangnya, Timurlink. Setelah berjaya menakluki Samarkand selama beberapa
bulan, telah berlakunya pengkhianatan beberapa golongan bangsawan di Fergana
telah menyebabkan Babur telah kembali ke situ untuk menghukum beberapa
pengkhianat. Walaubagaimanapun, beberapa tentera Babur telah berpaling tadah
telah menyebabkan baginda kehilangan Samarkand. Pada tahun 1501, Babur telah berjaya
menakluki Samarkand kembali. Walaubagaimanapun, Khan Muhammad Syaibani, seorang
Khan dari Uzebkistan telah berjaya menewaskan Babur sehingga terpaksa berundur
diri ke Afghanistan. Babur sedar bahawa baginda tidak mampu untuk
merealisasikan impian baginda untuk membina Empayar Mongol di Asia Tengah.

Babur
dan beberapa pengikutnya telah melarikan diri ke Afghanistan setelah mendapat
jaminan adik perempuan baginda, Khazanda Begum untuk dikahwinkan kepada Khan
Muhammad Syaibani. Disitu, Babur telah memikirkan kembali untuk membina
kekuatan tentera dengan merekrut beberapa kaum Tajikistan untuk menyertai
tentera Babur. Babur telah berjaya membina kekuatan tentera kembali selama tiga
tahun dengan perancangan yang begitu teratur dan terancang. Pada tahun 1504,
Babur telah berjaya menguasai Kabul dan Kandahar setelah berjaya melalui
kawasan bersalji Hindu Kush. Kejayaan menguasai Kabul menjadikan Babur sebagai
Raja Afghanistan dan memperolehi kekayaan yang melimpah ruah. Penguasaan Babur
keatas Kabul telah membuka ruang kepada baginda untuk membina sebuah Empayar
dan menjadikan India sebagai asas untuk membina sebuah Empayar. Kekayaan yang
baginda perolehi selepas berjaya menguasai Kabul telah melayakkan Babur digelar
“Padishah” yang bermaksud Raja segala Raja dalam Bahasa Parsi.

Bagi
mengukuhkan kekuasaan Babur, baginda bekerjasama dengan saudara dari kaum
kerabat Timur iaitu Husayn Bayqarah, Penguasa Herat. Ini kerana Husayn Bayqarah
merupakan musuh ketat Khan Muhammad Syaibani dan Babur amat memerlukan sekutu
bagi menumpaskan musuh ketat baginda. Walaubagaimanapun, Husayn Bayqarah telah mangkat
pada tahun 1506 dan ini telah merencat sedikit sebanyak rancangan Babur untuk
menguasai India dan juga menumpaskan musuh ketat baginda, Khan Muhammad
Syaibani. Namun begitu, Babur telah mengambil kesempatan diatas kemangkatan
Husayn Bayqarah dengan menguasai Herat. Semasa berada disitu, Babur telah
tertarik dengan budaya intelektual telah berkembang dengan begitu pesat sekali
sehingga baginda telah mengambil kesempatan untuk menulis biografi pemimpin
Islam yang pertama, “Baburnama”. Semasa
berada Herat, Babur juga telah memperolehi beberapa meriam yang canggih dari
negara – negara asing bagi memperkukuhkan kekuatan tentera.

Tidak
lama kemudian, salah seorang jeneral kepercayaan Babur yang telah
dipertanggungjawabkan menjaga Kabul semasa ketiadaan Babur telah bangkit untuk
memberontak. Ini memaksa Babur telah kembali ke Kabul untuk menghapuskan
pemberontakan jeneral tersebut. Walaubagaimanapun, Babur telah berjaya ditewaskan
oleh pemberontak dan ini telah memaksa baginda untuk kembali ke Herat. Dua
tahun kemudian, Babur berjaya menawan kembali Kabul dan berjaya mengukuhkan
kekuasaan baginda di Afghanistan kembali.

Pada
tahun 1507, Babur telah merancang untuk menakluki Qandahar dengan membawa
kekuatan bala tentera seramai 2000 orang. Baginda sedar bahawa kekuatan
penguasa Mongol di Qandahar mempunyai kekuatan bala tentera seramai 7000 orang.
Namun begitu, tahap disiplin tentera Babur begitu tinggi sekali. Beberapa ketumbukan
tentera telah terbahagi kepada beberapa bahagian sehingga menyukarkan musuh
untuk menembusi pertahanan tentera Babur. Tahap disiplin dan kebijaksanaan
Babur mengatur strategi telah menjadi kunci kemenangan baginda di Qandahar.

Pada
tahun 1510, kebangkitan Dinasti Safawiyyah dibawah pimpinan Shah Ismail I telah
berjaya menakluki seluruh wilayah Khurasan dan menggunakan gelaran Shah Parsi
setelah berjaya menewaskan Khan Muhammad Syaibani. Babur telah melihat
kekalahan Khan Muhammad Syaibani sebagai satu peluang untuk mengambil kembali
saki baki wilayah – wilayah Timurid di Asia Tengah. Shah Ismail I telah
bersetuju untuk bekerjasama dengan Babur bagi membantu baginda untuk
mendapatkan wilayah – wilayah Timurid di Asia Tengah. Tepat pada 2 Disember 1510,
Khan Muhammad Syaibani telah terkorban ketika pertempuran dengan gabungan
tentera Babur dan Shah Ismail I. Sebagai balasan, Babur bersetuju untuk
bernaung dibawah kekuasaan Safawiyyah. Sebagai bukti dibawah naungan
Safawiyyah, Samarkand telah menggunakan matawang syiling yang mempunyai nama
Shah Ismail I. Namun begitu, nama Babur masih lagi disebut dalam Khutbah
Jumaat. Selain itu, Shah Ismail I juga telah menghantarkan kembali adik
perempuan Babur, Khazanda Begum ke pangkuan Babur.

Walaubagaimanapun,
Babur tidak pula seorang pemimpin yang lemah dan tunduk dengan desakan Shah
Ismail I dengan memaksa rakyatnya untuk memeluk Mazhab Syiah Imamiyyah. Babur
merupakan pemimpin yang sentiasa bijak menggunakan peluang yang sedia ada untuk
mencapai matlamat yang diinginkan. Walaubagaimanapun, Babur sedar bahawa
baginda tidak mempunyai peluang dan masa depan yang cerah di Asia Tengah dan
terus mengintai nasib dan peluang yang ada di India. Babur juga mengetahui
India merupakan sebuah tanah yang mempunyai kekayaan yang mungkin tidak akan
pernah putus. Selain itu, Babur beranggapan baginda berhak keatas benua India
kerana Timur telah melantik Khizr Khan untuk mentadbir benua India. Khizr Khan
telah menabal dirinya sebagai Sultan Delhi dan seterusnya mengasaskan Dinasti
Sayyid di India. Tidak lama kemudian, Dinasti Sayyid pula digulingkan oleh Bahlul
Khan Lodi yang mengasas Dinasti Lodi di India. Oleh itu, Babur menginginkan
India kembali kepada pemerintahan Timurid.

Pada
tahun 1526, Babur telah merancang untuk menakluki India dengan harapan untuk
membina sebuah empayar. Oleh itu, Babur telah menjadikan Panipat sebagai kunci
untuk baginda memasuki benua India. Selain itu, Babur telah dilengkapi dengan
pelbagai senjata ketenteraan yang canggih dan mempunyai kekuatan bala tentera
yang disiplin. Kekurangan kelengkapan tentera Sultan Ibrahim Lodi dengan
ketiadaan senjata api dan meriam yang canggih memberi kelebihan kepada Babur
dan seterusnya menewaskan Sultan Ibrahim Lodi dengan mudah. Faktor – faktor
kemenangan Babur adalah atas bantuan Putera Alam Lodi yang turut membantu Babur
untuk menumpaskan Sultan Ibrahmi Lodi disebabkan dendam kesumat beliau terhadap
Sultan Ibrahim Lodi. Kemenangan Babur telah memberi ruang kepada baginda untuk
memasuki kota Delhi dan baginda diisytihar sebagai Maharaja Hindustan dan
secara rasminya tertubuhnya Empayar Mughal yang amat terkenal dalam sejarah
Islam di India. Pada tahun berikutnya, Babur dan putera baginda, Humayun telah
bersama – sama menyertai kempen penaklukan ke Agra bagi mengukuhkan kedudukan
Empayar Mughal yang baru ditubuhkan.

Kebangkitan
Mughal di India telah memberi ancaman yang serius terhadap kerajaan – kerajaan kecil
Islam dan Hindu di India. Oleh itu, Raja – Raja Islam dan Maharaja – Maharaja
Hindu telah mengadakan satu pakatan untuk memerangi Babur dan seterusnya
mengusir Babur dari Benua India. Sultan Ibrahim Lodi juga termasuk dalam
pakatan menentang Babur. Walaubagaimanapun, Babur berjaya menewaskan pakatan
Raja – Raja India yang diketuai oleh Raja Rana Sanga, Raja Rajasthan. Ini
kerana kecanggihan peralatan perang yang dimiliki oleh Babur telah menyukarkan
pakatan Raja – Raja India untuk menewaskan Babur. Pada tahun 1528, Babur telah
menyerang kubu Chandiri, kubu Raja Rana Sanga telah menamatkan pakatan Raja –
Raja India. Kemenangan tersebut telah mengukuhkan lagi kedaulatan Empayar
Mughal di India. Sehingga kemangkatan Babur pada tahun 1530, Empayar Mughal
meliputi Asia Tengah, Kabul, Punjab, Delhi, Bihar dan Gwalior. Humayun telah
menggantikan Babur sebagai Maharaja Mughal yang kedua.

Rujukan:

Babur
(n.d.) Babur Nama: Journal of Emperor
Babur

De
la Garza, A. (2016). The Mughal Empire at
War: Babur, Akbar and the Indian Military Revolution,
1500-1605
. Routledge.

Gupta,
A. (2008). Babur and Humayun: Modern
Learning Organisation
. Lulu. com.

HAMKA,
A. (1976). Sejarah Umat Islam IV.
Jakarta: Bulan Bintang.

Rapson,
E. J., Haig, W., Burn, R., Dodwell, H., & Wheeler, M. (Eds.). (1922). The Cambridge     History of India: Ancient India, edited by EJ Rapson (Vol. 1).
University Press.

Richards,
J. F. (1995). The Mughal Empire (Vol. 5).
Cambridge University Press.

Sumber : ThePatriots