NDT Untuk Pemula

Bayangkan anda berada
di lapangan terbang. Anda sedang beratur untuk melepasi Kastam dan pasukan
keselamatan. Tiba giliran anda, anda meletakkan bagasi anda ke dalam mesin
pengimbas sinaran X. Tanpa perlu menyentuh bagasi anda, pegawai Kastam yang
bertugas mampu menentukan isi kandungan bagasi anda dengan hanya menggunakan
teknologi sinaran X. Sinaran X, merupakan salah satu daripada kaedah analisis
yang dikenali sebagai Non-Destructive Testing, atau NDT.

Non-Destructive Testing
(NDT), atau dalam bahasa Melayunya Ujian Tak Musnah, merupakan salah satu
cabang dalam Sains dan Teknologi di mana objek diuji tanpa keperluan untuk
memusnah, merosakkan atau menyentuh objek yang ingin kita analisa. Disebabkan
ia adalah suatu analisa, maka terdapat banyak kaedah yang mampu digunakan dalam
proses analisa ini.

Figure 1: Antara contoh kegunaan radiografi di lapangan terbang adalah bagi mengelakkan bahan-bahan terlarang memasuki pesawat.

NDT dalam perubatan dan industri.

Industri minyak dan gas adalah merupakan penyumbang utama dalam membangunkan sektor industri di Malaysia. Berikutan daripada pembanguan sektor industri yang pesat, maka terbinalah berbagai-bagai loji dan sistem yang canggih. Ini termasuklah pembinaan loji-loji pemprosesan minyak dan gas, loji-loji kimia, petrokimia dan oleo kimia, loji-loji penapisan minya dan loji janakuasa elekrik.

Pada tahun 1984, masyarakat Malaysia telah menyaksikan bagaimana anak-anak tempatan telah terlibat secara langsung dalam pemasangan pipeline (PETRONAS Gas Utilization) sepanjang 1700 km bermula dari Loji Penapisan di Kerteh ke serata Semenanjung Malaysia. Pelbagai aktiviti bersskala besar yang belum dilihat sebelum ini telah menjayakan pembinaan saluran paip ini.  

Diantara teknologi yang terlibat secara langsung dalam projek ini ialah teknologi ujian tanpa musnah (nondestructive testing-NDT).  Dalam proses transformasi dari sebuah Negara pertanian kepada sebuah Negara industri Teknologi, NDT telah memainkan peranan yang amat besar bagi memastikan integriti komponen kejuruteraan berfungsi dengan sempurna tanpa memberikan risiko kemalangan yang tinggi kepada pekerja industri dan juga orang awam.

Dalam kes lapangan
terbang kita tadi, sinaran X yang kita guna sebagai contoh tadi adalah apa yang
dipanggil sebagai radiografi. Secara umumnya, penggunaan radiografi di Malaysia
lebih tertumpu kepada industri (industrial radiography) dan juga radiografi perubatan
(medical radiography). Antara contoh radiografi industri termasuklah
pemeriksaan kekukuhan sesuat bahan setelah dikimpal serta semakan bagi melihat
kecacatan sesuatu objek. Bagi perubatan pula, agak umum, kita menggunakan
sinaran X atau sinaran Gamma bagi membolehkan kita mendapat imej dalaman bagi
badan kita.

Figure 2: Antara contoh kecacatan yang mampu diperoleh daripada radiografi industri.

Buat masa ini, bilangan pengamal
professional NDT Malaysia yang berkelayakan untuk
melaksanakan  pemeriksaan NDT terhadap kimpalan-kimpalan dalam
pelbagai komponen kejuruteraan masih diperingkat sangat sedikit. Jumlah
pengamal yang terhad bagi memenuhi permintaan dari sektor industri telah
menimbulkan pelbagai kesulitan kepada pihak industri.  Keadaan ini
telah mula disedari sejak sekian lama sehinggakan Kerajaan Malaysia telah
mengambil inisiaatif untuk menubuhkan satu Skim Persijilan yang dikenali
sebagai Sijil Kemahiran Malaysia-NDT (SKM-NDT) pada tahun 1989.   Sejumlah
pelaburan yang tinggi telah dibuat oleh Kerajaan Malaysia untuk memastikan Skim
ini dapat dilaksanakan dan terus berfungsi bagi memenuhi keperluan
industri.  

Skim Kemahiran Malaysia-NDT telah
dibangunkan berasaskan kepada standard antarabangsa iaitu ISO 9712 dan ianya
mampu menghasilkan pengamal NDT yang setaraf kualitinya dengan pengamal NDT
diperingkat antarabangsa yang mana rata-rata dilayakkan menurut skim persijilan
yang juga berasaskan kepada standard ISO 9712. Bagi memastikan sistem SKM-NDT
ini setaraf dengan Skim Persijilan antarabangsa yang lain,  Jabatan
Pembangunan Kemahiran yang merupakan organisasi yang diberi tnggungjawab untuk
melaksanakan skim persijilan  ini telah mengambil inisiatif untuk
ditauliahkan menurut ISO 17024.  Jabatan Pembangunan Kemahiran selaku
Badan persijilan Kebangsaan NDT telah pun dianugerahkan pentauliahan menurut
17024 oleh Jabatan Standard Malaysia pada bulan Oktober 2012.

Figure 3: Encik Muhammad sedang memeriksa peralatan NDT.

Selain sinaran X, satu
lagi contoh aplikasi NDT dalam bidang perubatan adalah penggunaan Magnetic
Resonance Imaging (MRI) dalam pengimejan perubatan. MRI, jika dibandingkan
dengan sinaran X, adalah dianggap lebih ‘selamat’ dalam konteks radiasi, kerana
sinaran X mendedahkan penggunanya dengan bahaya radiasi jika dibandingkan
dengan MRI yang lebih kepada aplikasi medan magnet dengan tujuan untuk
mendapatkan imej. Tambahan pula, gambaran imej yang dibina oleh MRI adalah
lebih jelas jika dibandingkan dengan radiografi akibat sinaran X. Namun
disebabkan kos MRI yang lebih mahal, sinaran X selalunya menjadi pilihan para
pengamal perubatan, ditambah dengan keperluan perubatan yang lain.

Figure 4: Antara perbezaan imej yang didapati daripada sinaran X, CT-scan dan MRI.

Sekiranya objek yang kita ingin analisa akan terjejas akibat radiasi ataupun gelombang elektromagnet, salah satu pilihan lain yang ada adalah teknik analisa NDT yang dipanggil Ultrasound Testing (Ujian Ultrabunyi). Ujian ultrabunyi selalunya menjadi pilihan bagi ibubapa yang sedang menanti kelahiran anak mereka, di mana sebagai salah satu ujian tak musnah, doctor hanya perlu menggunapakai mesin sonar bagi melihat tumbesaran anak mereka, serta jantina anak mereka. Oleh kerana ultrabunyi menggunapakai gelombang bunyi, maka tiada risiko radiasi yang perlu dikhuatiri untuk bayi mereka

Figure 5:Contoh aplikasi ultrabunyi adalah dalam pengimejan bayi yang masih lagi berada dalam rahim.

Bagi aplikasi industri pula, ultrabunyi seringkali digunapakai dalam proses untuk menguji bahan-bahan besi, seperti paip, bagi melihat dan mengesan karat. Kaedah pengesanannya adalah agak unik, kerana di dalam ujian ultrabunyi, sekiranya berlaku kecacatan, akan berlakunya perubahan pada gelombang bunyi yang diberikan.

Kerjaya dalam NDT

Anak-anak tempatan kini amat
digalakkan untuk menyertai kursus-kursus NDT yang ditawarkan oleh pusat-pusat
latihan Kebangsaan NDT dan seterusnya menduduki peperiksaan dan memperolehi
sijil kompetensi yang mempunyai nilai yang sangat tinggi dalam pasaran
pekerjaan pada hari ini. Aplikasi teknologi NDT dalam sektor minyak dan gas,
sektor penerbangan, sektor otomobil, sektor pembinaan, sektor fabrikasi
kejuruteraan dan sebagainya mewujudkan permintaan yang sangat tinggi
terhadap  khidmat pemegang sijil NDT
seperti radiografi, ultrasonik dan sebagainya.  Maklumat yang
diperolehi dari industri menunjukkan masih ramai lagi pengamal NDT diperlukan
bagi memenuhi keperluan industri yang sangat berhajatkan kepada teknologi ini
bukan sahaja diperingkat pembinaan bahkan ianya berterusan sehingga keperingkat
senggaraan sistem-ssitem kejuruteraan kritikal dan juga pembaik-pulihan
loji-loji pemprosesan.

Rujukan:

NONDESTRUCTIVE TESTING METHODS AND NEW APPLICATIONS (2012). Mohammed
Omar, IntechOpen

Fundamentals of Diagnostic Radiology (1994). William E. Brant, Clyde
A. Helms, Lippincot Williams and Wilkins.

Artikel ini ditulis bersama Encik Muhammad bin Abd Nassir, RPO dari
Syarikat Madani NDT Training Centre Sdn Bhd

Sumber : ThePatriots