‘Anak kau berapa? Oo, anak aku lebih banyak dari kau’ – Sikap suka membanding-beza buat ramai yang menyampah jumpa rakan lama

Apabila bertemu dengan rakan lama, pasti ada banyak perkara yang ingin dibualkan bersama. Untung jika rakan lama yang ditemui itu bukan jenis yang suka membanding-bezakan dirinya dengan kita. Tetapi jika sebaliknya, akan timbul rasa janggal dan menyampah. 
Hal sebegini boleh dielakkan dari berlaku sekiranya masing-masing pandai mengawal tutur kata ketika berbicara. Walaupun rakan lama yang ditemui itu merupakan kawan rapat ketika di sekolah atau institusi pengajian tinggi, beringatlah bahawa mereka berkemungkinan besar bukanlah orang yang sama kelakuannya. 
Mari kita hadam bersama perkongsian dari Dr Zubaidi Hj Ahmad ini. Semoga dapat memberi pencerahan yang jelas dan elakkan dari membanding bezakan diri kita dengan rakan lama. 
SAYA berjumpa dengan rakan. Lama tak jumpa semenjak matrikulasi. Saya tahu dia kontraktor berjaya, saya pula doktor biasa-biasa sahaja. Jadi, pertemuan pertama kami berbual tentang diri dan keluarga. 
“Anak kau berapa?”
Pertanyaannya itu membuatkan saya sudah rasa tidak selesa. 
“Oooo, anak aku lebih banyak dari anak kau,” respon dia apabila saya memberitahunya bilangan anak saya. 
Nada (intonasi) dan gaya percakapannya rasa nak menunjukkan dia lebih dari saya. Ada unsur nak membangga. 
Malas betul nak bercakap dengan orang seperti ini. Saya memang tidak selesa orang membandingkan harta (kereta, rumah), anak, kebun dan sawah, wang dalam bank dan saham yang ada. 
Pada saya, ini semua adalah pinjaman dan amanah. Jadi, tidak perlulah dibangga-banggakan. Itu semua bukan hak mutlak kita. Ada tanggungjawab yang perlu dilakukan dengan amanah yang diberikan. Malah, Allah boleh tarik pada bila-bila masa. 
Mungkin kita tidak berniat untuk membangga dan membanding. Tetapi nada perbualan yang begitu cukup menghiris hati mereka yang kekurangan. Elok sekadar bertanya lebih kurang tentang keadaan rakan lama kita. Kita tidak tahu masalah, susah payah dan ujian yang mereka hadapi. Lainklah kalau ada sahabat yang kaya dan niat hendak membantu. 
Lain sekali jika kita bercakap mengenai pencapaian kerja. Ia sesuatu yang mungkin boleh dikongsikan untuk memotivasikan atau memberitahu. 
Tetapi saya sendiri segan nak cerita kecuali jika ada yang bertanya/ 
Ramai rakan dan saudara mengelakkan diri dari berkumpul (reunion) kerana ada rakan dan saudara yang suka menunjuk-nunjuk dan berbangga. Jangna jadikan perjumpaan yang seharusnya menjadi tautan kasih besahabat, menjadi titik untuk membenci pula.

Sumber : TheReporter