Lenovo Yoga A940 Diumumkan – AIO Pesaing Kepada Surface Studio

Komputer riba kini cukup berkuasa bagi menggantikan komputer desktop untuk kegunaan harian. Tetapi tugasan menghasilkan grafik dan menyunting video adalah lebih pantas dilakukan pada desktop. Di CES, Lenovo Yoga A940 diumumkan dan ia adalah AIO yang direka untuk pengguna kreatif yang menjadi pesaing kepada Surface Studio.

Yoga A940 menggunakan penjenamaan Yoga kerana ia mempunyai skrin yang boleh dibaringkan pada sudut 27 darjah pada permukaan meja. Ini membolehkannya menjadi meja lukisan sekaligus pengguna boleh melakar terus pada permukaan skrin menggunakan sebuah stylus. Tombol Lenovo Precision Dial pada bahagian sisi membolehkan pelbagai fungsi program popular seperti Adobe dikawal menggunakan putaran. Menarik sekali tombol ini boleh diubah ke kiri atau kanan skrin mengikut keselesaan pengguna.

Dari segi spesifikasi, Yoga A940 dilengkapi skrin 27″ sehingga resolusi 4K dengan sokongan Dolby Vision HDR, dijana cip Intel Core-i7 generasi kelapan, kad grafik AMD Radeon RX 560, memori sehingga 32GB DDR4, storan SSD 512GB PCIe dan storan HDD sehingga 2TB. Sistem pembesar suara Dolby Atmos disertakan bersama dengan empat mikrofon yang membolehkan kawan suara Cortana dilakukan.

Pilihan I/O pula adalah pelbagai dengan4 USB 3.0, 2 USB 2.0, USB 3.1,  Thunderbolt 3, LAN, bicu audio dan sebuah pembaca kad 3 dalam 1. Unik sekali pada bahagian tapak Yoga A940 terdapat sebuah pengecas nirwayar Qi terbina. Ini membolehkan sebuah telefon pintar dan stylus dicas secara serentak. Berat keseluruhan AIO ini ialah hampir 15 kilogram. Lenovo Yoga A940 akan mula dijual bermula bulan April dengan harga $2,350  (~RM 9665) sebuah.

Sumber : Amanz