(Video) ‘Tunggu kena kutip ye uncle’

Berang ditegur kerana membeli peket minyak masak melebihi had, seorang pelanggan bertindak keterlaluan dengan menampar juruwang wanita, selain mengugut mengancam mangsa. 
Dalam kejadian jam 8.40 pagi Selasa di sebuah kedai serbaneka di Bayan Lepas, suspek datang untuk membeli tiga peket minyak masak. 
Bagaimanapun, mangsa yang berusia 29 tahun memaklumkan kepada suspek bahawa dia hanya boleh membeli dua peket minyak masak dan jumlah itu terhad kepada setiap pelanggan. 
Berang dengan teguran itu, suspek terus menampar kepala dan mengugut mangsa supaya berjaga-jaga sebelum beredar dari kedai itu. 
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami sakit di bahagian belakang kepala. Mangsa yang juga bimbang dengan ugutan suspek itu segera membuat laporan polis. 
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, hasil semakkan pihaknya pada rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) mendapatkan kejadian itu memang benar berlaku. 
“Mangsa mendakwa, lelaki terbabit marah kerana dia menegurnya yang mahu membeli tiga peket minyak masak kuantiti 1 kilogram, sedangkan ia hanya terhad dijual dua peket sahaja kepada setiap pelanggan,” katanya. 
Polis telah mengenal pasti suspek dan akan menahannya dalam masa terdekat untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 506 dan 323 Kanun Keseksaan.

Sumber : TheReporter