Asal Usul Nama Mersing Di Johor Sempena Nama Gadis

Apabila ke Mersing, Johor sudah pasti ramai peminat filem melayu klasik akan teringat tentang sebuah filem bertajuk Sri Mersing dari tahun 1961. Filem ini dikatakan punyai teori berkaitan tentang bagaimana kawasan Mersing di Johor mendapat namanya.

Ungkapan pantun yang menjadi kekuatan filem tersebut seringkali generasi baru dapat dengar hari ini walaupun ramai yang tidak pasti apakah kisah dan cerita disebaliknya yang ingin disampaikan. Ia bukanlah satu fakta yang dikaji, tetapi satu teori menarik untuk dikongsikan bersama.

Kajang Pak Malau kajang berlipat,
Kajang hamba mengkuang layu,
Dagang Pak Malau dagang bertempat,
Dagang hamba musafir lalu..

Pernah dengar dengan ungkapan pantun ini? Pantun inilah yang dilafazkan oleh Damak hasil lakonan Nordin Ahmad dalam filem Sri Mersing.

Kisahnya bermula apabila Sri Mersing dilarikan oleh Awang Sulung yang merupakan anak kepada Tok Penghulu. Akan tetapi malang sekali Damak yang merupakan seorang teruna perantau dari negeri Pahang difitnah melakukan perkara tersebut.

Asal Usul Nama Mersing Di Johor Sempena Nama Gadis

Akibat daripada fitnah liar yang sengaja digembar-gemburkan oleh Awang Sulung itu, Damak sekeluarga telah menjadi mangsa keadaan dan akhirnya mereka telah dihalau keluar dari kampung tersebut.

Pak Malau yang merupakan ayah kepada Sri Mersing terlalu rindukan anak gadisnya serta risau dengan nasib anaknya yang hilang. Pak Malau berjanji bahawa mana-mana pemuda yang berjaya menemukan Sri Mersing akan terus dijadikan menantunya.

Hakikatnya apa yang sebenarnya terjadi adalah ini semua helah Awang Sulung yang sememangnya menaruh hati terhadap Sri Mersing. Setelah mendengar janji dari Pak Malau, kemudian Awang Sulung sering kali mencari helah untuk membuktikan bahawa dia yang menemui Sri Mersing.

Akhirnya setelah helah Awang Sulung berjaya mengkaburi Pak Malau dan walaupun agak berat untuk kotakan janjinya itu dan tidak mahu dilabelkan sebagai munafik, Pak Malau bersetuju untuk menjodohkan Sri Mersing dengan Awang Sulung.

Namun tuan punya badan iaitu Sri Mersing tidak setuju dan menolak permintaan ayahnya untuk dijodohkan dengan Awang Sulung. Apa yang berlaku selepas itu adalah Sri Mersing terus melarikan diri dan keluar mencari Damak, pemuda yang dicintainya.

Asal Usul Nama Mersing Di Johor Sempena Nama Gadis

Tok Penghulu yang merupakan ayah kepada Awang Sulung bersama-sama orang kampung berang lalu keluar mencari Sri Mersing dan akhirnya terjumpa anak Tok Malau ini di rumah Damak. Jika sebelum ini mereka dihalau, kali ini Damak sekeluarga diseksa dan dihina sekeji-kejinya.

Sebagai seorang anak jantan yang punyai ego dan dengan rasa teraniaya, Damak akhirnya mencabar untuk beradu tenaga sehingga ke titisan terakhir dengan Awang Sulung. Akibat daripada itu, anak Tok Penghulu iaitu Awang Sulung mati di tangan Damak.

Selepas kejadian itu, Damak sekeluarga pulang ke negeri asal mereka di negeri Pahang. Walaupun selepas berkali-kali dipujuk-rayu oleh Sri Mersing dan Pak Malau apabila segala cerita sebenar dan kebenaran sudah terbongkar, namun hati Damak sangat terluka dan tetap berkeras meninggalkan Mersing.

Sebagai cerita dan maklumat tambahan, ada yang menyatakan bahawa nama Mersing ini diambil daripada nama seorang lelaki berbangsa Sikh iaitu Man Singh atau Amer Singh.

Man Singh ini adalah seorang pengawal istana Sultan Pahang di Pekan. Kononnya dia telah melarikan seorang perempuan di istana dan telah menyebabkan Sultan Pahang murka lalu menitahkan pengawal untuk menangkap Man Singh sama ada hidup atau mati.

Akhirnya Man Singh ditangkap lalu menerima hukuman buang daerah ke suatu tempat terpencil. Hukuman itu dikatakan berlaku ketika kawasan itu belum menjadi tumpuan penduduk.

Asal Usul Nama Mersing Di Johor Sempena Nama Gadis

Bagi merujuk tempat buangan penderhaka sultan itu, penduduk sekitar menyebutnya Amer Singh atau Man Singh hingga tempat itu kekal namanya menjadi Mersing hingga hari ini.

Sumber : OrangKedah