”Saya Suruh Dia Cakap Baik-Baik, Terus Dia Pukul Saya” Juruwang Luah Rasa Kesal Dakwa Ditampar Pelanggan

Tular di media sosial, rakaman kamera litar tertutup (CCTV), seorang lelaki dilihat tergamak bertindak keterlaluan dengan menampar seorang juruwang wanita di sebuah kedai serbaneka dengan kuat angkara berang ditegur.

Kejadian tersebut yang menimbulkan kemarahan ramai netizen berlaku di Bayan Lepas pada selasa. Suspek pada mulanya didakwa datang untuk membeli tiga peket minyak masak di kedai tersebut.

Bagaimanapun, mangsa yang dikenali sebagai Norasyra Aziz, berusia 29 tahun itu lantas memaklumkan kepada suspek bahawa jumlah minyak masak adalah terhad di mana setiap pelanggan hanya boleh membeli dua peket minyak masak sahaja.

Tidak berpuas hati dengan teguran itu, suspek didakwa mula mengeluarkan kata-kata kesat. Mangsa yang memintanya supaya bercakap secara baik terus ditampar di bahagian kepala malah turut mengugut mengancamnya.

”Saya cakap dengan dia cakaplah elok-elok, saya cakap dengan awak elok-elok so awak cakap dengan saya elok-elok balik.

”Tapi dia mula tengking dan cakap perkataan kotor, dia datang berdiri di depan saya dan terus pukul saya,” kata mangsa.

Tidak cukup dengan itu, lelaki tersebut yang masih tidak berpuas hati turut didakwa menarik rak di kedai tersebut hingga jatuh sebelum beredar.

”Dia tarik dua-dua rak depan ni bagi jatuh, barang semua berselerak habis, tapi ada pelanggan lain yang tolong bantu dan susun semula.

Mangsa yang bekerja berseorangan di kedai tersebut sewaktu kejadian, telah membuat laporan polis supaya tindakan tegas dapat diambil ke atas suspek.

Sumber : Bernama News Channel

Sumber : SiakapKeli