Pos Malaysia Memperlihatkan Prototaip ID Digital Kebangsaan

Pada tahun lepas, kita telah mendengar mengenai pengumuman kerajaan sedang melihat untuk membangunkan ID Digital Kebangsaan. Melaluinya, kerajaan ingin memudahkan identiti pengguna digunakan untuk tujuan pengesahan, selain meningkatkan kepercayaan dalam transaksi dunia siber.

Pos Malaysia MSiD

Selari dengannya, kini Pos Malaysia mengambil peluang untuk memperlihatkan prototaip yang dibangunkan mereka, dinamakan sebagai MSiD+.

Melaluinya, pengguna boleh melakukan pendaftaran – dan seterusnya mengesahkan identiti melalui kaunter di pejabat pos. Seterusnya, pengguna boleh mengakses identiti digital untuk sejumlah penggunaan.

Daripada demo yang dipertontonkan kepada kami, Pos Malaysia mengatakan ia boleh digunakan untuk membuka akaun talian telekomunikasi baru, digunakan ketika membuat langganan perkhidmatan, digunakan dalam urusan kerajaan seperti pembaharuan lesen, mengakses rekod perubatan, mahupun untuk permohonan pinjaman.

Pos Malaysia MSiD

Pihak Pos Malaysia turut berkongsi mengatakan kelak mungkin mereka akan membuka API – sekaligus membolehkan rakan kerjasama mereka untuk mengintegrasikan penggunaan ID Digital Kebangsaan ini tanpa memerlukan pengguna melalui proses pendaftaran yang mungkin menyukarkan.

Buat masa ini, ia masih sekadar prototaip sahaja, dan tidak diketahui lagi bilakah ia akan diperkenalkan kepada umum. Pelbagai fasa perlu dilalui, termasuk pengesahan daripada pihak kerajaan untuk mengimplementasi penyelesaian daripada Pos Malaysia ini atau pihak lain.

Sumber : Amanz