Anker Roav Bolt Dan JBL Link Drive Adalah Pengecas USB Dalam Kenderaan Dengan Google Assistant Terbina

Pengecas USB dalam kenderaan adalah pengecas USB alternatif kepada power bank. Ada sahaja pengguna yang tidak gemar mengusung power bank tetapi tetap ingin mengecas peranti mereka ketika berjalan jauh. Jadi sambil memandu, pengecas ini sangat membantu.

Untuk acara CES 2019, kita sudah tahu JBL dan Anker turut sertai acara ini. Hari ini, mereka telah mengumumkan pengecas USB dalam kenderaan dengan Google Assistant terbina. Anker hadir dengan Roav Bolt dan JBL hadir dengan Link Drive.

Anker Roav Bolt hadir dengan rekaan yang kompak, mempunyai fungsi pembatalan hingar, hadir dengan dua port USB-A dan sistem pengecasan pantas Anker tersendiri VoltIQ dengan teknologi VoltageBoost. Setiap port pada Roav Bolt ini menyokong 5V2.4A maksima dengan kuasa sehingga 24W. Melalui Roav Bolt ini, ia secara asasnya memberi fungsi pintar kepada kenderaan yang tiada inforia seperti Android Auto. Anker Roav Bolt perlu ditambat kepada peranti melalui bluetooth untuk aktifkan Google Assistant. Selesai tambatan, pengguna boleh beri arahan suara seperti mencari navigasi ke sesuatu lokasi, memainkan muzik atau membuat panggilan dan/atau menghantar SMS.

JBL Link Drive pula adalah lebih berkuasa dan sedikit lebih pintar jika dibandingkan dengan Anker Roav Bolt. JBL Link Drive mempunyai dwi-mikrofon pembatalan hingar untuk mendengar arahan pengguna dengan lebih jelas. Ia juga mempunyai butang khas, di mana tekan untuk memberi arahan dan tekan beberapa saat untuk mematikan mikrofon. Ia hadir dengan sokongan pengecasan pantas 12V2.1A, sokongan tambatan ke Google Assistant secara automatik dan mempunyai memori untuk mengingat peranti mana yang pernah ditambat. Rekaan pula adalah sedikit lebih besar dan memanjang.

Kedua-dua pengecas USB dalam kenderaan ini turut mempunyai empat lampu LED seperti Google Home Mini untuk pengguna lihat ia sedang mendengar. Anker Roav Bolt sudah boleh dipra-tempah dengan harga $49.99 (~RM206) dan JBL Link Drive hanya boleh dibeli pada musim bunga kelak dengan harga $59.99 (~RM247).

Sumber: Anker ROAV, Android Police

Sumber : Amanz