LaMetric Sky Adalah Panel LED Seakan Nanoleaf Yang Boleh Paparkan Data Secara Langsung

Peranti-peranti berhubung adalah peranti yang melengkapkan sesuatu rumah atau pejabat menjadi pintar. Ia boleh ditambat, diselarikan dan sentiasa terhubung kepada internet. Selain daripada lampu-lampu, pembesar suaraatau televisyen – aksesori hiasan untuk dinding pintar turut wujud di dunia ini.

Salah satu hiasan dinding pintar yang popular adalah panel LED Nanoleaf. Ia adalah panel LED pintar yang boleh dikawal dengan Google Assistant atau Siri. Ia juga hadir dalam bentuk modular yang boleh disambung-sambungkan mengikut rekaan yang pengguna gemar. Nanoleaf memberi peluang kepada pengguna untuk menjadi lebih kreatif. Kini, pada acara CES 2019 – satu pesaing telah muncul dengan menawarkan panel LED mereka tersendiri.

LaMetric Sky adalah panel LED pintar tersebut. Apa yang menarik dengan panel LED LaMetric Sky adalah ia mampu memaparkan data secara langsung seperti; jumlah pengikut sosial media, jumlah langganan YouTube atau cuaca. LaMetric Sky menawarkan sehingga 32 panel LED dalam bentuk segi tiga dan kemasan setiap panel adalah kaca yang seakan pusam (seperti panel belakang Pixel 3).

Sama seperti Nanoleaf, ia turut menyokong kawalan melalui pembantu maya. LaMetric Sky boleh dikawal dengan Siri, Google Assistant dan juga Amazon Alexa. Buat masa ini, ia hanya sekadar prototaip dan tidak pasti lagi bila akan dipasarkan. Nanoleaf di Malaysia dijual pada harga mencecah RM1,199. Jika harga jualan LaMetric Sky kelak adalah lebih murah daripada Nanoleaf – ia pasti akan laris.

Sumber : Amanz