Otterbox Dan PopSocket Bekerjasama – Hadir Dengan Kerangka Tahan Lasak Dengan PopGrip Terbina

Otterbox sedia terkenal dengan kerangka tahan lasak mereka. Selain itu, mereka turut terkenal dengan menjual kerangka-kerangka mereka dengan tanda harga yang agak mahal. PopSocket pula adalah aksesori yang sangat membantu bagi pengguna telefon pintar. Ia adalah pemegang telefon pintar yang turut berfungsi sebagai tetongkat untuk dirikan peranti untuk menonton video.

Ramai yang kurang gemar dengan PopSocket kerana pengguna perlu tampal aksesori peranti ini kepada peranti mereka. Kini, dengan kerjasama Otterbox dan PopSocket – mereka telah atasi masalah ini melalui kerangka tahan lasak dengan PopGrip terbina. Pada kerangka ini, PopTop dengan warna yang sama dengan kerangka sudah disediakan. Tetapi, ini adalah jenama PopSocket – jadi pengguna boleh mengubah PopTop mengikut rekaan yang mereka gemari dengan membeli pelbagai rekaan cantik atau menempah rekaan tersendiri.

Buat masa ini Otterbox hanya lancarkan kerangka dengan PopSocket terbina ini untuk iPhone XS, iPhone X, iPhone 8, iPhone 8 Plus, iPhone 7, dan iPhone 7 Plus. Sayang sekali, tiada kerangka untuk iPhone XR. Terdapat tiga pilihan warna, iaitu hitam, biru atau mauve (unggu pudar) dan ia dijual dengan tanda harga $60 (~RM247). Jika pengguna ingin membeli PopTop tersendiri, ia dijual pada harga $8 (~RM33).

Pada saya ia agak mahal. Ini kerana, kerangka Otterbox ini adalah dari siri Symmetry yang dijual dengan tanda harga $34.95 (~RM143), satu set PopSocket boleh didapati pada harga serendah $10 (~RM41) dan jumlah kedua-dua ini baru RM184. Ia mahal RM63 dan dengan RM63 itu anda boleh beli 2-3 set PopSocket atau beberapa set PopTops.

Sumber : Amanz