Toshiba Memperkenalkan SSD PCIe Bersaiz Padat Dengan Storan Sebesar 1TB Dan Kelajuan 2GB/s

Storan SSD boleh dikatakan diantara komponen-komponen yang hadir dengan rekaan fizikal yang semakin kecil, tetapi mempunyai storan yang semakin besar.

Di acara CES 2019, Toshiba telah memperkenalkan SSD terbaru mereka yang dinamakan Toshiba Single Package BG4 NVMe SSD yang hadir di dalam rekaan M.2 1620 yang bersaiz 16mm x 22mm dan hadir dengan storan sebesar 1TB dan menggunakan sambungan PCIe 3.0 x4.

SSD daripada Toshiba ini dikatakan mempunyai kelajuan pembacaan data sepantas 2250MB/s, sama dengan kepantasan kebanyakan SSD NVMe premium di pasaran sekarang, disamping hadir di dalam dua jenis rekaan, iaitu BGA dimana cip storan ini akan dipateri terus kepada papan induk, dan juga rekaan M.2 2230 untuk mereka yang mempunyai komputer riba dengan slot storan yang boleh dinaik-taraf.

Menurut Toshiba lagi, SSD Single Package BG4 ini akan dipasarkan untuk pembina sistem padat dan juga komputer riba nipis dan ringan yang hadir dengan storan yang bukan sahaja padat, tetapi mempunyai kapasiti yang besar.

Buat masa ini, Toshiba masih belum mengumumkan bilakah storan Single Package BG4 ini akan tiba di pasaran, tetapi berkata ia akan hadir untuk para pembina sistem tidak lama lagi.

Sumber : Amanz