HTC Mengacahkan Peranti Realiti Maya HTC Vive Cosmos Dan HTC Vive Pro Eye

Buat masa ini, peranti realiti maya masih lagi sebuah produk yang boleh dikatakan mempunyai tahap pemilikan dan penggunaan yang terhad. Ini adalah kerana kebanyakan daripada peranti-peranti ini masih perlu disambungkan kepada komputer ataupun peranti yang berkuasa yang boleh menggerakkan paparan di dalam peranti pada kadar segar semula yang tinggi.

Di acara CES 2019, pihak HTC telah mengacahkan dua peranti realiti maya baru, iaitu HTC Vive Cosmos dan juga HTC Vive Pro Eye.

HTC Vive Cosmos ini diperlihatkan sebagai sebuah peranti realiti maya kendiri yang boleh digerakkan menggunakan peranti pintar. Ini juga mungkin bermakna bahawa HTC bakal hadir dengan peranti pintar yang boleh menyokong HTC Vive Cosmos ini.

Dengan HTC Vive Cosmos ini juga, HTC memperkenalkan perisian Vive Reality System untuk menggantikan SteamVR.

HTC Vive Pro Eye pula dikatakan bakal hadir dengan teknologi pengesanan mata yang baru, dan bagi HTC, ini adalah sesuatu yang penting untuk memperbaiki lagi mutu penggunaan peranti realiti maya mereka supaya pengguna tidak lagi perlu memusing kepala mereka secara agresif untuk melihat persekitaran mereka.

Kedua-dua peranti realiti maya ini dikatakan akan hadir di pasaran dunia sekitar pertengahan tahun ini.

Sumber : Amanz