‘Satu negara tuduh saya pembunuh anjing sedangkan saya adalah mangsa keadaan’ – Mohd Asna

Pengerusi Masjid Ibnu Khaldun, Taman Lavender Height, Seremban, Mohd Asna meluahkan rasa kesalnya di mana dia menjadi mangsa fitnah kononnya dia didakwa menjadi dalang beberapa ekor anjing terbiar mati akibat diracun. 
Dalam sesi dialog bersama 200 penduduk yang diadakan malam tadi, Mohd Asna mendedahkan, maruahnya telah cemar ekoran fitnah itu, malah keselamatan keluarganya juga terancam. Lebih teruk lagi, gambar wajahnya juga turut disebarkan di media sosial. 
“Pengguna media sosial menuduh pengerusi masjid bunuh anjing, sedangkan jarak haiwan itu ditemui mati satu kilometer dari masjid. 
“Saya bukan pembunuh anjing dan sehingga sekarang hanya saya seorang disiasat. Foto itu memang terdapat dalam telefon bimbit saya tetapi ia gambar lama iaitu tiga minggu sebelum kejadian. 
“Apa yang saya kesal, ramai orang memperjuangkan nasib anjing terbiar sedangkan haiwan ini sudah membunuh puluhan kucing milik penduduk selain menyebabkan kanak-kanak cedera kerana terjatuh selepas dikejar,” katanya. 
Dalam pada masa yang sama, Mohd Asna turut mempertikaikan tindakan pihak polis yang merampas telefon bimbitnya sedangkan dia sudah memberi kerjasama yang sepenuhnya.
Mohd Asna bimbang jika gambar-gambar keluarga, anak dan isterinya dalam telefon bimbit itu tersebar. Disebabkan isu itu juga, rutin dan kerja Mohd Asna turut tergendala.
Justeru, Mohd Asna berharap isu itu tidak diperbesarkan lagi semata-mata bagi melayan kritikan NGO yang tidak merasa kesulitan yang dialami oleh para penduduk di taman perumahannya yang menghadapi gangguan anjing terbiar. 
“Jika pemilik anjing boleh membuat laporan polis kerana anjingnya ditemui mati, bagaimana pula tindakannya tidak mengawasi haiwan itu sehingga menyusahkan penduduk,” katanya. 
Sumber: Harian Metro
BERITA BERKAITAN

Sumber : TheReporter