Google Assistant Pada Skrin Terkunci Bakal Hadir Ke Semua Peranti Android Serta Pengesahan Tiket Penerbangan

Pada peranti Pixel, pengguna boleh mengakses Google Assistant terus dari skrin yang terkunci. Pelbagai arahan boleh diberikan seperti lokasi restoran berhampiran dan maklumat akan dipaparkan terus pada skrin tanpa peranti dinyahkunci terlebih dahulu. Google kini mengesahkan fungsi yang sama akan hadir pada kesemua peranti Android di pasaran dalam masa beberapa minggu. Dengan fungsi ini maklumat yang diperlukan boleh dipaparkan dengan lebih pantas tanpa peranti perlu dinyahkunci terlebih dahulu.

Tambahan lagi kelak pengguna boleh melakukan pengesahan tiket penerbangan dengan hanya kawalan suara pada peranti Android dan iOS. Apabila syarikat penerbangan mula membenarkan pengguna melakukan pengesahan tiket (selalunya 24 jam sebelum), mereka boleh melakukan proses ini dengan menggunakan kawalan suara. Kesemua proses pengesahan akan dilakukan oleh Google Assistant menerusi maklumat pengguna yang telah tersimpan.

Pas penerbangan elektronik juga akan disimpan terus pada peranti. Ia kemudian boleh diseru juga menggunakan Google Assistant. Fungsi ini walau bagaimanapun hanya diaktifkan untuk penerbangan domestik di Amerika Syarikat menerusi syarikat United Airlines sahaja buat masa ini.

Sumber : Amanz